6 Jan 2012

Isu Jamil Khir Salahguna Wang Zakat: NGO Serah Surat Kepada Ketua Jabatan Audit Negara

Ssebuah NGO, Jingga 13 semalam menyerahkan surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato Setia Haji Ambrin Bin Buang berhubung Penyelewengan dan Salahguna kuasa menggunakan wang zakat terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Encik Shamsuddin Hussain.

Jingga 13 diketuai oleh Ketua Koordinator, Fariz Musa telah hadir ke Jabatan Audit Negara di Presint 2, ditemani oleh 10 orang ahli-ahlinya pada pukul 2.00 petang.

Ketibaan NGO tersebut disambut Pegawai Khas, Jamilah Binti Jais yang menerima surat bagi pihak Ambrin yang sedang bermesyuarat.

Pertemuan selama 15 minit tersebut berlangsung secara baik.

Pada 21 November lalu, Ambrin mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010.

Namun sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun lalu, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula'.

Khir bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain didakwa melakukan penyelewengan wang zakat yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini terdapat kes amil zakat di Johor, Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini.

Pada 30 Disember lalu, Jingga 13 hari ini mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi individu Datuk Che Mat Che Ali serta Shamsuddin Hussain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam kepada seluruh umat Islam berhubung isu penggunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). -tvsnews


Berikut adalah isi kandungan surat yang dihantar kepada Ketua Audit Negara semalam

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia Haji Amrin bin Buang,

Ketua Audit Negara,
No. 15, Aras 4, Persiaran Perdana,
Persint 2,
62518 Putrajaya.

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia,

MOHON PENJELASAN TERHADAP ISU PENYELEWENGAN DAN PENYALAHGUNAAN WANG ZAKAT MAIWP OLEH YB SENATOR MENTERI JABATAN PERDANA MENTERI DATO’ SERI JAMIL KHIR BAHAROM, PENGARAH JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KETUA PENDAKWA SYARIE WILAYAH PERSEKUTUAN

Adalah dengan segala hormat perkara di atas adalah dirujuk.

2. Untuk makluman Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia bahawa kami Jingga 13 telah membuat laporan dan aduan rasmi di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 30 Disember 2011 berkaitan isu penyelewengan dan salahguna kuasa menggunakan wang zakat terhadap YB Senator Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pandakwa Syarie Wilayah Persekutuan En. Shamsuddin Hussain.

3. Berdasarkan laporan pemeriksaan audit telah dijalankan di MAIWP terhadap pembelanjaan bagi kos guaman RM63,650 bersabit kes tuntutan qazaf YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh seperti mana laporan yang dihantar kepada YB. Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, rujuk Fail : AUDIT/BBP/147/379/15(12) bertarikh 21 November 2011 oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia menyatakan :

3.2 YBhg. Datuk Haji Che Mat bin Che Ali telah meluluskan bayaran interem berjumlah RM 31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 januari 2010. Bayaran ini diluluskan pada 9 Februari 2010 melalui baucar no. 2010B01304 menggunakan peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran. Kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

3.3 Pada 29 April 2010, MAIWP telah membuat pembayaran baki kos guaman berjumlah RM 32,150 ( termasuk perbelanjaan pelbagai berjumlah RM650) menggunakan peruntukan sumber zakat terlebih dahulu. Bayaran ini dibuat apabila menerima laporan penuh perbicaraan daripada Tetuan Zainul Rijal Talha Dan Amir setelah kes selesai.

3.4 MAIWP telah menerima geran Kerajaan berjumlah RM700,000 pada 22 Jun 2010 untuk peruntukan sumber am. Pada bulan Disember 2010, MAIWP telah menyelaraskan perbelanjaan peruntukan wang zakat yang telah dibayar untuk kos guaman berjumlah RM63,650 kepada peruntukan sumber am melalui jurnal pelaras. Dengan pelarasan ini, wang zakat berjumlah RM63,650 telah dikembalikan kepada sumber zakat dan kos guaman dikenakan kepada peruntukan sumber.

4. Kenyataan YB Senator DatO’ Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pada 31 Disember 2011 sepertimana dilaporan oleh Bernama, bertajuk “Jamil Khir Perjelas Dakwaan Seleweng Wang Zakat” ternyata menyimpang daripada laporan tersebut dan cuba memutarbelitkannya malah memperlekehkan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak jabatan yang diketuai oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia selaku Ketua Audit Negara.

5. Kami tidak menafikan bahawa berlaku pembayaran balik wang zakat tersebut oleh MAIWP pada bulan Disember 2010 sepertimana dijelaskan oleh laporan pihak Y.Bhg Tan Sri Dato’ Setia sepertimana di bawah :

6. Isu pembayaran balik oleh MAIWP adalah tidak timbul namun laporan tersebut telah mengesahkan bahawa wujud penyelewengan dan salahguna kuasa terhadap wang zakat selama hampir sebelas (11) bulan ( Februari – Disember ) yang cuba dinafikan oleh YB Senator Menteri yang mengurustadbir Hal-Ehwal Agama Islam malah kini memutarbelitkan kenyataan dan fakta.

7. Pada 21 Jun 2011, Timbalan Menteri Jabatan perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim telah mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan wang zakat ketika menjawab soalan YB Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Machang dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.

8. YB Senator Dato’ Seri Jamil Khir juga secara nyata dan jelas telah MEMPERLEKEHKAN INTEGRITI DAN KREDEBILITI laporan daripada jabatan yang dipimpin oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia dan BERBOHONG kepada seluruh rakyat Malaysia.

9. Sehubungan dengan itu, kami memohon jasa baik Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia menjelaskan kepada umum berkaitan percanggahan fakta yang telah di buat oleh YB Senator Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang menyangkal bahawa penggunaan wang zakat oleh beliau dan dua yang lain.

Sekian, terima kasih.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

Saya yang menjalankan tugas,
( FARIZ MUSA )
Ketua Koordinator Jingga 13






4 ulasan:

master jos berkata...

Harap-harap sangat Jabatan Audit Negara bertindak mengikut landasan undang-undang & berlaku adil. Siasatan haruslah telus.

Tanpa Nama berkata...

Aku ingatka cerdik anak Pak Baharom nie...lagi tersesat rupanya. Apalah pendapat Pak Baharom kat Yan Kedah sana? Mak bapa dia penyokong PAS tapi anak ??? Itulah Nabi telah bersabda, di akhir dunia ini manusia banyak yang sanggup mengadai maruah dan agama demi sedikit pangkat dan harta.

Sykadeer.

Teh non berkata...

kenapa dlm hal ini JAKIM diam aja knpa tk d hebohkan melalui khutbah sedangkan ini penyalahgunaan wang zakat dan knapakah dalam kes 901 yg telah d bnrkan olih polis untok di adakan di jadikan modal untok berkhutbah sebenar nya rakyat telah nampak siapa yg di sebalik tirai dlm hal ini

Tanpa Nama berkata...

Buat laporan pada Ketua Odit Negara buat apa? Sepatutnya buat laporan polis dan juga pada Badan perncegah Rasuah.