27 Okt 2011

Mahkamah Tolak Rayuan Timb Speaker Perak, Yit Foong, Si Penyembur Lada

Timbalan Speaker Perak Datuk Hee Yit Foong Khamis gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan saman berhubung kes botol penyembur serbuk lada semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, pada 7 Mei, 2009.

Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie menolak rayuan Hee terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman yang difailkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Aulong Yew Tian Hoe terhadap Hee.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Sulong berkata tiada sebab bagi mahkamah untuk meminda keputusan Mahkamah Tinggi memandangkan Pesuruhjaya Kehakiman telah membuat keputusan berdasarkan keterangan yang dikemukakan di hadapan beliau.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan yang dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Tarmizi Abd Rahman pada 14 Jun tahun ini, yang membenarkan permohonan injunksi Yew untuk menghalang Hee daripada melakukan salahguna atau serangan terhadapnya di masa depan.

Hakim Sulong yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Clement Allan Skinner, bagaimanapun, membenarkan rayuan balas Yew terhadap Mahkamah Tinggi yang tidak membuat sebarang keputusan mengenai ganti rugi yang dituntut beliau dalam saman itu.

Mahkamah Rayuan membenarkan bayaran RM100 sebagai ganti rugi nominal kepada Yew. Mahkamah turut memerintahkan Hee membayar kos RM20,000 kepada Yew.

Pada 26 Jun, 2009, Yew memfailkan saman terhadap Hee selepas Hee mengugut dan menyerang beiau dengan botol penyembur serbuk lada di muka terutamanya di mata kiri semasa mereka menghadiri perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Perak, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh, pada 7 Mei, 2009.


Beliau berkata insiden itu berlaku di hadapan anggota DUN yang lain, dan akibatnya beliau mengalami kesakitan dan kecederaan di mata kiri, kekejutan gelisah dan kesengsaraan mental, kejatuhan harga diri, penghinaan, kerugian maruah dan gangguan mental.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yew turut mendakwa Hew adalah seorang yang tidak menyesal dan berbohong kepada media dengan mengatakan botol penyembur lada itu adalah rantai kunci hotel atau pemacu cakera padat mudah alih (pen drive) sebelum mengakui bahawa alat itu sebenarnya botol penyembur serbuk lada.

Beliau berkata Hew enggan dan gagal meminta maaf walaupun diberi peluang dan beliau mendakwa kelakuan defendan itu berniat jahat serta zalim.

Beliau membuat laporan polis berhubung insiden itu di balai polis Taiping.

Antara lain, beliau memohon ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan selain kos, faedah dan relif lain yang ditentukan wajar oleh mahkamah, serta injuksi untuk menghalang Hee atau pekerja atau ejennya daripada melakukan salahguna, ancaman atau serangan terhadapnya dengan apa juga cara sekalipun. -- BERNAMA

Tiada ulasan: