27 Okt 2011

[Bergambar & Video] Gempa Turki: Pelajar & 2 Guru Wanita Mangsa Terbaru Diselamatkan

Ercis (Turkey): Para pekerja penyelamat di sini awal semalam berjaya mengeluarkan pelajar universiti berusia 18 tahun dari celah runtuhan sebuah apartmen, selang 61 jam gempa bumi melanda timur Turkey.

Agensi berita Anatolia melaporkan Eyup Erdem mengalami kecederaan tetapi masih hidup apabila diselamatkan

Erdem berpindah ke bandar Ercis sebulan lalu bagi mengikuti pengajian di sebuah universiti setempat dalam bidang mekanik.

Selang enam jam kemudian, seorang guru wanita berusia 27 tahun, Cik Gozde Bahar, pula diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan di sini.

Di bangunan berasingan, seorang lagi guru wanita, Cik Seniye Erdem, 25 tahun, dilaporkan turut diselamatkan di bandar yang sama.

Gempa sekuat 7.2 pada skala Richter pada Ahad lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 461 sejauh ini.

Menurut pegawai Kementerian Kesihatan, Encik Seraceddin Com, sekitar 40 orang berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan dalam keadaan selamat kelmarin.

Ini termasuk seorang bayi berusia dua minggu, ibu dan juga neneknya. Ayah bayi itu bagaimanapun masih belum ditemui.

Dengan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, Turkey berkata ia akan menerima bantuan antarabangsa, termasuk dari Israel.

Turkey berkata ia perlukan rumah pasang siap bagi menempatkan semula para penduduk yang terjejas, menjelang musim sejuk.

Sekitar 2,000 bangunan dilaporkan telah runtuh dan sekitar 1,350 penduduk cedera.

Sementara itu, hampir 500 gegaran susulan telah dicatatkan sejak Ahad lalu.

Satu gegaran susulan yang sekuat 5.7 pada skala Richter kelmarin telah mencetuskan rusuhan di sebuah penjara di bandar Van, yang terletak 90 kilometer ke selatan Ercis.

Jurucakap pengurusan bencana di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Gerald Rockenshaub, berkata tempoh 48 jam hingga 72 jam pertama selepas bencana adalah yang paling genting bagi para pekerja penyelamat mengeluarkan mangsa dari puing bangunan.

Ini kerana peluang mengeluarkan mangsa yang masih hidup adalah tipis selepas itu, kerana mereka tidak mempunyai bekalan air ketika terperangkap. -- AP, AFP.













Tiada ulasan: