27 Okt 2011

Lagi Kes Remaja Perempuan Mati Dibunuh

Kota Tinggi: “Apa salah cucu saya hingga dia dibunuh begitu kejam, dia hanya berumur 15 tahun,” kata Muhammad Kasim, 62, di sini, semalam.

Cucu warga emas berkenaan, Nurul Atikah Samsiah ditemui mati dibunuh dengan keadaan muka serta badannya lebam teruk dipercayai dibelasah sebelum mayatnya dihumban di dapur sebuah kediaman yang terletak selang tiga rumah dari rumah ibu bapanya.

Mayat Atikah ditemui pada jam 6.30 pagi semalam, selepas hilang sejak jam 2 petang kelmarin, dari rumah keluarganya di Rumah Kakitangan Ladang Kambau, dekat sini.

Menurut Muhammad, dia hampir pengsan selepas menerima panggilan telefon daripada anaknya, Rahimah mengatakan cucunya itu ditemui mati.

“Kali terakhir saya bertemu Atikah ialah Isnin lalu apabila dia datang ke rumah saya di Kampung Sungai Perepat yang terletak 10 kilometer dari rumahnya untuk bertanya khabar selain makan tengah hari. -hm


Gadis hilang mati dibunuh

ANGGOTA polis mengangkat mayat Nurul Atikah yang ditemui mati dibunuh di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor semalam.

KOTA TINGGI – Misteri kehilangan seorang gadis sejak petang kelmarin terjawab apabila dia ditemui mati akibat dibunuh di ruang dapur sebuah rumah jirannya di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedeli kira-kira 40 kilometer dari sini semalam.

Mayat Nurul Atikah Samsiah, 15, yang lengkap berbaju T dan berseluar sukan ditemui dengan kesan lebam di seluruh muka dan anggota badan.

Difahamkan, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibawa ke situ berdasarkan terdapat kesan seretan di lantai dapur dan di kawasan sekitar. Rumah itu hanya terletak selang tiga pintu dari kediaman gadis malang tersebut.

Rumah itu sering kosong dan hanya didiami oleh seorang pekerja bujang yang hanya datang untuk memasak.

Datuk mangsa, Muhammad Kasim, 62, berkata, mangsa yang menetap di situ bersama ibu bapanya dikatakan hilang sejak pukul 2 petang kelmarin.

Katanya, mayat mangsa ditemui pukul 6.30 pagi semalam oleh penduduk yang melancarkan operasi mencari sejak kehilangannya dihebahkan.

“Saya terus membuat laporan di Balai Polis Tanjung Sedeli sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat cucu saya oleh ibunya, Rahimah. Ketika itu saya berada di Kampung Sungai Perepat kira-kira 10 kilometer dari Ladang Kambau,” ceritanya yang enggan mengulas lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Abdul Samad Salleh memberitahu, pihaknya telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya menganggap kes itu selesai dengan penahanan pekerja ladang berusia 41 tahun tersebut. -kosmo

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pemimpin BN hidup selamat, rakyat hidup tak selamat, tumbangkan BN PRU13

Tanpa Nama berkata...

selagi undang2 yg ALLAHswt tentukan tidak dilaksana selagi itulah berluluasanya kejadian jenayah seperti;bunuh, rogol, rompakan dan kecurian.
alam ini hak mutlak milik ALLAHswt apa yg berlaku semuanya kehendak dan kekusaanNYA, hanya orang2 yg tidak beriman saja buta dengan ayat2 ALLAH itu.