25 Mei 2011

PAS Ganti UMNO: PAS Perlu Serius - Prof Abd Aziz Bari

Aziz Bari: PAS jangan syok sendiri tapi perlu serius jika nak ganti Umno

KUALA LUMPUR, 25 Mei — Prof Dr A Aziz Bari mengingatkan PAS, komponen Pakatan Rakyat, agar tidak terlalu syok sendiri sekiranya serius mahu menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13.

Justeru kata penganalisis politik itu, PAS yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu melakukan lebih banyak transformasi dalam parti.

“Yang kita nak cari dalam PAS ini bukan tok imam tapi panglima, pejuang... sebab itu PAS jangan syok sendiri.

“PAS nak syok sendiri atau mahu kemukakan alternatif kepada rakyat, kalau PAS masih bincang berapa ramai tok lebai nak diletakkan di atas (barisan tertinggi PAS) buat apa? Kalau macam ini PAS belum layak untuk menggantikan Umno?” katanya pada pada forum “Melakar Masa Depan PAS” di sini malam tadi.

Selain itu, beliau juga menegaskan ideologi pimpinan PAS bahawa barisan tertinggi harus dari kalangan golongan ulama perlu dikikis selain bersikap lebih terbuka untuk menerima lebih banyak perubahan dalam parti.

“Dalam PAS ini memang ada yang antiperubahan yang mana mereka nak kekal dengan apa yang ada dan memang ada kumpulan yang gabra dengan perkembangan baru ini.

“Ada yang rasa gelisah bila parti ini buka pintu kepada orang bukan Melayu dan mereka yang gabra ini masih bertanyakan perkara ini,” katanya penganalisis ini yang seringkali memberikan pandangan keras mengenai masa depan PAS.

Sementara itu, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Khalid Samad berkata, konsep kepimpinan ulama dari sudut perlembagaan parti itu merujuk kepada Majlis Syura.

Selain itu beliau juga menegaskan tiada dalam perlembagaan parti bahawa barisan kepimpinan harus terdiri daripada golongan ulama.

“Soal kepimpinan ulama kalau dari segi perlembagaan parti merujuk kepada Majlis Syura, tidak mengatakan presiden dan timbalan presiden harus dari golongan ulama.

“Cuma ahli PAS kadang-kadang terpengaruh dengan peranan media dan golongan yang berkepentingan dalam parti yang mengatakan presiden dan timbalan presiden harus dari kalangan ulama,” katanya.

PAS, yang berusia lebih enam dekad, akan mengadakan muktamarnya awal bulan depan dengan pemilihan peringkat pusat bagi penggal 2011-2013.

Hadi telah berjaya mempertahankan jawatannya tanpa saingan. -TMI


Aziz Bari: Nasha akan terima kesan lebih parah bila Tuan Ibrahim bertanding

Pengumuman Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang akan datang dijangka memberi "kesan yang lebih parah" kepada penyandang yang mempertahankan jawatan, iaitu Nasharuddin Mat Isa, berbanding dengan seorang lagi calon iaitu Mohamad Sabu, kata Profesor Abdul Aziz Bari.

Pertandingan tiga penjuru dijangka berulang dalam pemilihan parti pada Jun 2011, setelah tiga orang pemimpin memperolehi pencalonan yang mencukupi mengumumkan kesediaan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Dalam pemilihan pada tahun 2009, pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Sabu, Husam Musa dengan Nasharuddin Mat Isa akhirnya memihak kepada penyandang, meskipun jumlah undi yang diperolehi kedua-dua orang "pencabar" lebih daripadanya.

Sesetengah penganalisa menganggap Nasharuddin Mat Isa menang kerana kebanyakan perwakilan PAS meletakkan "kepimpinan ulamak" sebagai pertimbangan utama mereka, lantas Husam dan Mat Sabu yang bukan dari golongan ulama gagal mendapat tempatnya. Kali ini, apakah pula kesudahannya apabila Tuan Ibrahim yang berasal dari golongan ulama mengambil bahagian dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden?

"Itu tanggapan atau persepsi kita (bahawa ahli PAS mahukan ulama menyandang jawatan Timbalan Presiden). Sama ada ia benar atau tidak kita kena lihat masa pengundian nanti. Saya yakin perwakilan mahu PAS melonjak dalam politik nasional," jawab Abdul Aziz Bari kepada MerdekaReview melalui emel.

Beliau menambah, "Saya tidak fikir PAS akan mendapat lonjakan di peringkat nasional melalui Tuan Ibrahim atau Nasharuddin . Logiknya saya fikir Tuan Ibrahim akan mengambil undi yang dijangka memihak kepada Nasharudin. Logiknya Nasharuddin yang akan menerima kesan lebih parah berbanding Mat Sabu."

Penilaian terhadap Nasharuddin

Ketika diminta untuk menilai prestasi penyandang jawatan Timbalan Presiden, Aziz Bari melontarkan kritikannya, "Beliau tidak banyak bekerja untuk memperkuat jentera parti. Nasha lebih banyak keluar negara. Di parlimen beliau tidak aktif. Kawasan parlimen juga tidak dijaga dengan baik sama ada di Yan (1999-2004) atau sekarang di Bachok. Nasha juga terlibat dengan usaha mendekati UMNO. Jadi Nasha bukan sahaja tidak memperkasa parti tetapi juga melemahkan PAS dan Pakatan Rakyat."

Abdul Aziz Bari juga mengulas "kepimpinan ulamak", yang dikatakan masih menjadi faktor pertimbangan utama ketika perwakilan memilih pemimpin mereka. "Kita kena sedar bahawa kelayakan 'ulama' ini tidak ada dalam perlembagaan PAS. Ia hanya timbul kerana pengaruh revolusi Iran pada tahun 1979 dan begitu kedengaran sebagai slogan untuk menjatuhkan Asri Haji Muda pada tahun 1982. Selepas itu slogan itu terus ditiup untuk menjadi retorik parti. Tetapi dalam keadaan politik yang sudah berubah dan PAS perlu merakyat dan membuka pintu kepada non-muslim, ulama tidak lagi penting. Malahan ia seperti menjadi liabiliti apabila mereka yang digelar ulama gagal menjalankan kerja," Katanya.

Tuan Ibrahim mengumumkan bahawa kesediaannya untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PAS -MR



10 ulasan:

hussin berkata...

tepat pandangan aziz bari. itulah realiti semasa pas. 'pas ganti umno' akan menjurus kepada 'pas gabung umno'. pas lebih yakin bersama umno dari menggantikan umno! itu mentaliti yang ada sehingga 'kepimpinan ulama' dicalari dengan presiden dan timbalan presiden mesti ulama? kekurangan jati diri amat terserlah. kredibiliti bukan lagi kualiti pemimpin. saya tidak akan bertanding jawatan nombor 2 kerana ada yang lebih berpengalaman dari saya bertukar menjadi saya akan bertanding kerana tidak mahu mengecewakan mereka2 yang telah mencalonkan saya. di mana pas nak letak muka apabila orang tiada kredibiliti ini di tempat nombor 2 dan sekali gus berkemungkinan menduduki kerusi orang nombor 1. kepada Allah sahajalah tempat kita mengadu kerana kita yakin bahawa Allah tidak akan membiarkan pemimpin islam yang lemah dan tidak kredibel.

diod berkata...

Syabas Prof Dr A Aziz Bari Pandangan yang berterus terang tak ada lapik-lapik lagi. Tak jemu2 beliau mengingatkan pimpinan PAS jangan berangan tawan putrajaya. PAS perlukan transfomasi.

Tanpa Nama berkata...

Kumpulan UG dan penyokong tegar Hadi, Nasa, Tn Ibrahim, Mustapha Ali mesti tak suka dengan artikel ini.

Dia orang cuma suka sesuatu yang membodek, yang mengkritik dianggap musuh.

Tanpa Nama berkata...

Biarah saya berterus terang di sini dan takperlu berlapik lagi untuk menyatakan bahawa PAS perlu berubah seperti yang dinyatakan oleh Prof Aziz Bari. biar lah abang mat sabu menang untuk melihat perubahan.

Abu Abdurrahman Kg Jawa berkata...

Seperti yang selalu diwar-warkan, meletakakn 'ulama' sebagai pemimpin tidak menjamin PAS ke hadapan. Lihat 'track record' ulama-ulama yang dipilih dalam pemilihan yang lepas:

(a) mereka ada visi jangka panjang untuk Islam di Malaysia ini kah(dan sudah tentu dalam PAS sendiri)
(b) adakah mereka buah kerja, atau mengharap 'bukan ulama' tolong buat kerja untuk mereka

Tanpa Nama berkata...

ada juga dikalangan pemimpin pas berminat nak masuk umno kerana jawatan menteri dijanjikan untuk mereka, walau pun segenap lapisan ahli UMNO mengutuk pas seharian. Kalau Orang Pas nak kenal orang umno pasang telinga, jangan jadi pekak badak, pada kesuluhannya umno memang benci dengan pas, Pas perlu bangun dari tidor dan bercampurlah dengan segenap lapisan masyarakat,barulah pas kenal diri mereka dan siapa mereka.
Rakyat orang Melayu TERPAKSA menyokong Pas kerana tiada pilihan .harap ubahlah cara lama dalam kepimpinan pas sekarang kalau nak maju.

hussein berkata...

Pandangan dan persepsi Prof.Aziz ini amat wajar direnungkan dengan mendalam jika PAS berhasrat menjadi parti dominen dalam Pakatan Rakyat.PAS perlukan "pemimpin" dan "pejuang" untuk memimpin PAS.Tak usah risau tentang "ulamak" sebab dalam PAS sudah ada Majlis Syura Ulamak.Jika Majlis Syura ini tidak berfungsi dan berperanan sebagai mana sepatutnya,ini kerana pengisian dan fungsi Majlis Syura itu sudah diselewengkan.Jika perlu Perlembagaan PAS wajar dipinda untuk Majlis Syura Ulamak diperkasakan dan berperanan sebagai mana yang sepatutnya.

penjual ubat berkata...

SEBENARNYA PGU TU BUKAN PAS GANTI UMNO,
PGU TU PAS GANTI ULAMA, KALAU TAK MAU PAS GABUNG UMNO.
PA ALI SEDANG MENGATUR DAN MENCATUR.
KESIAN KAT UST NASHA, DI KAMBING HITAMKAN.

Rahman berkata...

Mujur Aziz yg tegur, klu ahli pas yg tegur cmni, dah lama kena kutuk kt pimpinan ni.

Tanpa Nama berkata...

Kalau kita berserah kepada Allah, Insyallah kita tidak takut kepada mencari keredhaan manusia. Politik hanyalah sebahagian daripada kehidupan....Lihatlah adakah yahudi benar2 memerintah dunia...walaupun dikatakan mereka menguasai dunia dengan ekonomi. Tapi adakah ekonomi segala-galanya. Marilah kita sama-sama kembali kepada ilmu dan bermuhasabah kembali.