25 Mei 2011

Kes Polis Tembak Mati Remaja: Ibu Mohon Bedah Siasat Kedua

Shah Alam: Permohonan seorang ibu agar bedah siasat kedua dilakukan ke atas mayat anak lelakinya yang ditembak polis di Dengkil, dekat sini, pada 13 Mei lalu, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Peguam N Surendran yang mewakili Salmah Mohamed Shariff, 41, berkata tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Khairul Nizam Abu Bakar selepas kes itu disebut di hadapannya dalam satu prosiding pengurusan kes, semalam.

Surendran ketika ditemui di luar mahkamah, berkata anak guamnya memfailkan notis usul berkenaan pada 19 Mei lalu, bagi memohon supaya bedah siasat kedua dilakukan ke atas mayat Mohamad Johari Abu Bakar, 17, yang kini berada di Hospital Serdang, untuk mengetahui kecederaan sebenar anaknya.

Dalam permohonan itu, Salmah meminta bedah siasat itu dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan serta-merta untuk mengetahui punca kematiannya mengikut Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah.

Selain itu, Salmah juga menuntut supaya semua laporan bedah siasat dan dokumen berkaitan bedah siasat yang dilakukan di PPUM dan Hospital Serdang, diserahkan kepada peguam yang mewakilinya pada masa munasabah yang ditetapkan mahkamah.

Pada 13 Mei lalu, seorang remaja yang dipercayai terbabit dengan geng samun kenderaan mewah, mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis tidak jauh dari sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil.

Ketika kejadian, remaja itu baru saja keluar dari hotel berkenaan sebelum memasuki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di belakang hotel.

Mohamad Johari, anak ketiga daripada tujuh beradik itu dilaporkan tidak lagi bersekolah sejak kematian bapanya pada 2009. -BH

1 ulasan:

joe penang berkata...

off topic
Minta sesapa yg rajin dan expert. Tolong design contdown bersih dan imej utk dibuat promo bersih 9 julai nanti. X rasmi punya pun xpe. Dah kuar yg rasmi kita guna yg rasmi la...