27 Apr 2011

UMNO Terus Dibelenggu Pemikiran Perkauman Sempit

Khalid Samad: Bersatulah Melayu

Semenjak selesai Pilihan Raya Sarawak di mana DAP telah menang di 12 kerusi DUN, DAP telah menjadi sasaran pencacai UMNO khususnya Utusan Malaysia dengan slogan ‘Bersatulah Melayu’ mereka.

Ini dilakukan walaupun diketahui umum bahawa semua parti-parti komponen PR juga turut menunjukkan prestasi yang semakin meningkat. DAP dijadikan sasaran kerana mereka telah berjaya memperolehi kebanyakan undi dari masyarakat Cina dan dengan itu dikatakan bahawa Cina telah bersatu bawah DAP!

Dengan gaya pemikiran perkauman sempit yang menguasai minda UMNO, maka tidak pelik bagi kita apabila kejayaan DAP untuk meraih undi Cina ditafsirkan sebagai penyatuan Cina untuk ‘menentang Melayu’.

Pemikiran perkauman yang menguasai minda UMNO, yang diluahkan melalui lidah tidak rasmi mereka, iaitu Utusan Malaysia, tidak berkemampuan memikirkan sebab dan alasan yang lain mengapa masyarakat Cina secara padu menyokong DAP.


Mata mereka dikaburi perkauman dan telinga mereka didendangkan dengan sorakan-sorakan perkauman. Tiada yang mereka mampu lihat dan tiada yang mereka mahu dengar melainkan perkauman.

Hakikatnya, masyarakat Cina telah menyokong calon DAP dan menolak calon SUPP. Kedua-duanya adalah berbangsa Cina. Persoalannya, mengapa masyarakat Cina menyokong seorang calon Cina dan menolak calon Cina yang satu lagi?

Ianya tidak boleh dijawab dengan alasan perkauman kerana pada hakikatnya dua-dua calon adalah berbangsa Cina. Yang berbeza adalah seorang calon (SUPP) berdiri bersama BN dan seorang lagi (DAP) berdiri bersam PR. BN melambangkan kerajaan yang tenggelam dengan rausah dan kronisma sambil PR pula melambangkan kerajaan yang bebas rasuah, telus dan berkebajikan.

Keadaan Taib Mahmood sebagai pemimpin yang kaya raya hasil rasuah jelas terukir dipemikiran masyarakat Sarawak dan oleh itu masyarakat Cina menolak BN dan sekutu-sekutunya!

Kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada DAP dan kumpulan NGO Cina yang telah berjaya mendidik masyarakat Cina untuk menolak pemimpin Cina yang rasuah ataupun yang bersubahat dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah.

Penolakan menyeluruh oleh masyarakat Cina terhadap amalan rasuah adalah berdasarkan kefahaman yang telah dibina bertahun-tahun melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menyakinkan mereka bahawa rasuah ini akan memusnahkan Negara.

Oleh itu, saya sememangnya bersetuju bahawa masyarakat Cina telah bersatu, tetapi bukan untuk menentang Melayu, mereka bersatu untuk menentang rasuah dan penyelewengan. Mereka telah berjaya membuktikan di Sarawak bahawa mereka akan menolak mana pemimpin Cina, walau ‘BESAR’ mana sekalipun, walaupun Presiden pada sebuah parti, sekiranya pemimpin itu mengamal atau bersubahat dengan rasuah.

Sememangnya, orang Melayu juga wajib bersatu seperti mereka! Tetapi bukan bersatu di atas dasar perkauman seperti seruan Utusan Malaysia dan PERKASA. Orang Melayu harus bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa orang Melayu beragama Islam dan Rasulullah (SAW) telah menyatakan dengan jelas bahawa “pemberi dan penerima rasuah berada di dalam api neraka”.

Sepatutnya, kita yang menunjukkan penolakan dan penentangan terhadap rasuah dan pemerintahan yang menyeleweng ini jauh lebih awal dari masyarakat lain. Sepatutnya kita yang berada di depan mendahalui yang lain, menjadi ummat yang boleh dicontohi, tetapi malangnya kita tetap berada ditahap lama, ditinggalkan masyarakat lain, khususnya masyarakat Cina pada ketika ini.

Ini berlaku kerana malangnya, orang Melayu Islam di bawah pengaruh UMNO; dan UMNO di atas sebab kejahilan mereka, telah mengharuskan rasuah di dalam alam politik dengan menganggap pengampunan Allah akan terjamin apabila dilakukan umrah sekali sekala!

UMNO yang menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari UMNO kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa. UMNO yang memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka terus tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila UMNO kalah yang menang bukan DAP; tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR.

Dalam suasana kejahilan, ketakutan dan kebodohan ini UMNO meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu. Oleh itu, UMNO ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa. Dan inilah cabaran yang perlu diharungi PAS, khususnya. Untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari belenggu kejahilan, ketakutan dan kebodohan yang dipasang oleh UMNO ke atas mereka.

Sehingga, satu hari kelak, masyarakat Melayu Islam akan bersatu, bukan untuk menentang Cina, tetapi untuk menentang rasuah dan menolak pemimpin yang rasuah dan parti yang membudayakan rasuah.

Kalau DAP boleh berjaya dengan masyarakat Cina, mengapa tidak kita, masyarakat Melayu yang beragama Islam? Sekiranya tidak maka kita akan ketinggalan dan masyarakat lain akan menjadi jauh lebih maju dari kita. Bukan sekadar lebih maju dari sudut material, tetapi lebih maju dari sudut nilai ketamadunan juga.

Maka akhirnya apa yang akan ada dengan masyarakat Melayu Islam? Seperti yang dikatakan TGNA, "sudahlah tiada wang, tiada ilmu, tiada akhlak pula!". Naudzubillah-himin dzalik.

Pada hakikatnya, UMNO mahu menutup kelemahan dan kegagalan mereka dengan melaungkan kembali laungan zaman jahiliyyah. Korupnya mereka, tidak cekapnya mereka, menyelewengnya mereka, semua ini ingin mereka tutupi dengan laungan jahiliyyah perkauman. Supaya Melayu terus sokong mereka walaupun mereka telah gagal dalam semua aspek. Semoga kita tidak tertipu dengan laungan ini dan kita ingat kembali saranan Rasulullah (SAW);

“Tidak dariku, mereka yang menyeru atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang berperang atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang mati atas dasar assobiyyah”.

Maka apabila ditanya oleh sahabat Baginda apa itu assobiyyah, maka dijawabnya “menyokong kaummu atas dasar yang zalim”. Rasuah itu zalim, penyelewengan itu zalim, pemborosan wang rakyat itu zalim dan perkauman itu zalim. Yang dizalimi adalah rakyat yang akhirnya dinafikan hak mereka dan diadu-domba atas dasar perkauman sehingga persoalan kebenaran dan keadilan menjadi kabur dan tidak diutamakan.

Semoga kita dibebaskan dari belenggu UMNO dan masyarakat Melayu juga akan turut bersatu menolak calon dari UMNO dan BN yang merupakan lambang pemerintahan rasuah dan penyelewengan.

WaLlahu 'Alam
--------------------------
Penulis (Khalid Samad) adalah anggota Parlimen Shah Alam yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum GB dan pembaca,

Orang Melayu sudah lama bersatu, malah ada pepatah yang mencerminkan keutuhan ini. Jestru itu ramai keturunan dari Arab yang ada sayidnya, mamak ee, turki dan lainnya yang kita ketahui memang bukan dari gugusan bangsa Melayu mengakui ujudnya kerukunan rumpun Melayu ini. Keutuhan Rumpun Melayu ini telah mempengaruhi golongan ini untuk mahu turut sama menjadikan diri mereka 'Melayu' melalui perkahwinan, walaupun pada zahirnya jelas mereka masih tidak punya perawakan Melayu,jawa, bugis, banjar, dayak,iban, melanau dan yang dari segugusannya.

UMNO tidak perlu membuat projek besaran bagi penyatuan bangsa Melayu. Yang perlu dilakukan ialah HANYA dengan membuang semua pemimpin UMNO yang fasik, korup dan kotor perangainya. Juga mahu menghukum ahli-ahli yang didapati atau dilihat berkelakuan sama. Semua orang tahu siapa mereka-mereka ini. Malangnya hingga sekarang orang seperti ini masih lagi kelihatan di kalangan UMNO dengan perangai yang menjijikkan dan seterusnya menjatuhkan mertabat UMNO kita sendiri. Mereka juga kelihatan masih berusaha gigih mahu menjadi pemimpin dan penyokong ketua yang kuat. Inilah yang membuatkan sebahagian besar rakyat Melayu mahu membenci UMNO. Lawatilah kedai kopi atau di mana sahaja, bahawasanya cerita kejijikan inilah yang dilapaz dan dipersendakan, seolah-olah kita orang Melayu telah rendah moral perbualannya.

Nak tahu lagi?, di PRU 2008 dahulu ramai antara warga Melayu mengundi DAP, PAS atau Keadilan kerana mereka benci melihat kelibat kebanyakan pemimpin UMNO. Ia bukan semata-mata kerana kecantikan janji parti-parti PR dikala itu.

Orang akan lebih membenci UMNO dengan setiap paparan berita di TV3 dan di akhbar perdana kita. UMNO itu Melayu, tiada satu parti yang boleh mendabik mengatakan ia parti Melayu. Oleh itu UMNO perlu merobah kepincangan yang ada sekarang ini. Bangunlah dari masih terlena.

Kemenangan dan pemerintahan PR adalah sesuatu yang dinanti-nanti dan diharapkan sekarang, walau dibenak kita masih tergantung suatu pertanyan 'PASTI-kah PR akan dapat menyediakan pemimpin yang berakhlak tinggi dan setia pada sumpah perjuangan untuk bangsa, agama dan negara ?', atau akhirnya tetap di takuk yang lama juga. Lihat sahaja apa yang ada sekarang. Namun, jika janji itu yang kita akan dapat dari PR ayuh marilah bersama sokong PR !. Shabas Zaini dari Utusan, dan GB yang berpandangan jauh, 'bila Melayu mula bersuara semuanya akan gentar, walaupun mereka yang tumpang berteduh'. Wassalam

Tanpa Nama berkata...

Demi survival Melayu, orang Melayu perlu berubah. BN/UMNO sudah tidak mampu untuk membawa orang Melayu ke arah kemajuan dari segi ekonomi, kesejahteraan dan mantap mengamalkan agama Islam dalam semua disiplin.