27 Apr 2011

Guru Dilaporkan Hilang Ketika Berjoging Ditemui Mati

Tiping: “Hati saya remuk sejurus mengetahui suami tersesat, akhirnya ditemui tidak bernyawa dan lebih menyedihkan dia tidak sempat menimang cahaya mata pertama yang diidamkannya,” kata Norziah Zulkifli, 26, yang sedang mengandung empat bulan, selepas jenazah suaminya, Abdullah Zubair Ismail, 27, dilaporkan tersesat di Bukit Larut, Ahad lalu, ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan muka tersembam dalam lopak air, pagi semalam.

Mangsa, guru sejarah di Sekolah Menengah King Edward VII dikatakan melakukan riadah dengan mendaki bukit berkenaan bersendirian kira-kira jam 10 pagi Ahad lalu, sebelum kehilangannya disedari rakan serumah pada petang hari sama.

Norziah yang ditemui di bilik jenazah Hospital Taiping berkata, suaminya ada menghubunginya malam Sabtu lalu bagi menyatakan hasratnya mendaki bukit berkenaan.

“Bagaimanapun saya tidak setuju dan menasihatinya membatalkan rancangan itu, namun dia tetap mahu meneruskan keinginan itu.

“Dia sempat menghubungi saya pada jam 8.30 pagi hari Ahad lalu ketika keluar bersarapan pagi. Itulah panggilan terakhir sebelum dia gagal dihubungi,” katanya.

Norziah yang kini menjalani latihan praktikal perguruan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor, berkata kali terakhir dia bertemu suaminya ialah Isnin minggu lalu, di Taiping.

“Masih teringat kata-katanya yang tidak sabar bergelar bapa dan mendukung cahaya mata pertama kami. Malang hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya yang melangsungkan perkahwinan November tahun lalu.

Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula kelmarin, bertukar duka apabila pasukan menyelamat menemui jenazah mangsa terbaring kira-kira 2.8 kilometer dari kaki bukit berkenaan.

Ketika ditemui, jenazah mangsa yang tertiarap dalam lopak berair manakala kasut kanannya tercabut, selain kesan darah di kepala dan kening kiri.

Mangsa dipercayai terjatuh dari lereng bukit setinggi lebih tiga meter tidak jauh dari kawasan air terjun di hutan simpan bukit peranginan berkenaan. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah yang ditemui di lokasi kejadian berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula jam 10 pagi kelmarin disertai anggota polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela, Jabatan Hutan dan Kelab Team Penyelamat Taiping (Taiping Off Road Club). -hm

2 ulasan:

Imi berkata...

Al Fatihah buat Allayarham Abdullah Zubair, moga rohnya di tempatkan bersama insan2 soleh

Tanpa Nama berkata...

al fatihah buat keluarganya.. harap tabah mnghadapi dugaan ilahi.. smoga rohnya dicucuri rahmat dn ditempatkan dikalangan org2 yang beriman.. amin.. Abdullah Zubair atau dikenali sebagai Mat Bet. Facebooknya Ali Bana.. Al fatihah//...