20 Feb 2011

Selangor Kesal Hishammuddin Politikkan Isu Keselamatan Rakyat

Isu keselamatan rakyat Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor hari ini mengecam sikap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mempolitikkan isu keselamatan rakyat negeri itu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, pihaknya kesal atas dakwaan Hishammuddin bahawa kerajaan negeri tidak pernah menolong membanteras jenayah.

“Tetapi pada masa yang sama menolak pula tawaran kami untuk menyediakan pasukan polis bantuan yang dicadangkan sejak Julai 2010,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujar Faekah, “inilah akibatnya apabila pemimpin-pemimpin mengutamakan kepentingan politik melebihi kepentingan rakyat.

“Amat menyedihkan apabila tawaran kami yang dibuat berkali-kali ditolak dengan alasan yang lemah dan jelas menunjukkan bahawa keputusan itu dibuat demi menjaga air muka pemimpin Barisan Nasional,” katanya.

Kadar jenayah menurun, bukan alasan

Beliau berkata, kenyataan Hishammuddin bahawa kadar jenayah di Selangor kian menurun tidak boleh menjadi alasan untuk menolak tawaran Selangor menyediakan pasukan polis bantuan.

“Walaupun kadar menurun, namun bilangan jenayah masih lagi tinggi dan dalam jumlah yang bahaya,” tambahnya.

Menurutnya, nisbah anggota polis dan rakyat yang disyorkan oleh Interpol adalah 1 anggota polis untuk 250 penduduk.

Mengikut statistik 2011, Selangor mempunyai 11,700 anggota, yang mana hanya 30% yang bertugas pada satu syif. Ini bermakna dalam satu syif nisbahnya menjadi 1:1,424.

Jelas katanya, pasukan polis tidak boleh menampung keperluan rakyat. Kerajaan Selangor amat prihatin dengan suara rakyat yang semakin kuat mendesak pihak berkuasa mengambil pendekatan yang lebih teguh untuk menangani gelombang jenayah yang semakin mengancam rakyat.

Ujar beliau, “walaupun Menteri Dalam Negeri mempunyai pendirian yang lain, kami tiada ragu-ragu bahawa kadar jenayah belum berada ditahap yang cukup rendah dan jaminan keselamatan untuk rakyat perlu dipertingkatkan.

“Rakyat Selangor jelas masih tidak puas dengan tahap keselamatan dan semakin bergantung kepada syarikat-syarikat swasta untuk menjaga keselamatan mereka,” katanya.

Faekah berkata, wakil rakyat yang ikhlas dan bertanggungjawab seharusnya elak dari sombong dengan ‘pencapaian’ setakat ini tetapi tetap gandakan usaha dan bekerjasama dengan semua pihak demi menyampaikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

“Tiada alasan munasabah Kementerian Dalam Negeri menolak usahasama ini yang akan meningkatkan keselamatan semua rakyat di Selangor,” katanya.

Bagi kerajaan Selangor katanya, tiada sebarang unsur politik dalam cadangan kami untuk bekerjasama dengan polis dan Persekutuan untuk bersama mempertahankan keselamatan rakyat.

“Kami tidak mencari pengiktirafan atau berhasrat mengambil alih peranan pihak polis. Kami hanya inginkan kerajaan Persekutuan mengambil sikap yang lebih terbuka dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan kiraan politik,” katanya lagi. -FMT

Tiada ulasan: