20 Feb 2011

Jika Benar Jenayah Menurun Di Selangor, Berani Buang Semua Pagar Keselamatan

Polis bantuan kerana rakyat rasa tidak selamat

(Gambar fail: Di mana-mana pengawal keselamatan swasta ditubuhkan kerana rakyat rasa tidak selamat tetapi Hishamudin tidak faham)

SHAH ALAM, 19 Feb: Kerajaan Selangor kesal dengan sikap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mempolitikkan usaha kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan keselamatan rakyat di Selangor.

"Beliau katakan kerajaan negeri tidak pernah menolong membanteras jenayah tetapi dengan masa yang sama menolak pula tawaran kami untuk menyediakan pasukan polis bantuan yang telah dicadangkan sejak Julai 2010," kata Faekah Husin, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.

Bagi beliau, kenyataan Hishamudin adalah akibat apabila pemimpin-pemimpin mengutamakan kepentingan politik sebelum kepentingan rakyat.

"Amat menyedihkan apabila tawaran kami yang dibuat berkali-kali ditolak dengan alasan yang lemah dan jelas menunjukkan bahawa keputusan itu dibuat demi menjaga air muka pemimpin Barisan Nasional," katanya.

Menurutnya, kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa kadar jenayah di Selangor kian menurun tidak boleh menjadi alasan untuk menolak tawaran Selangor menyediakan pasukan polis bantuan.

Walaupun kadar menurun, namun bilangan jenayah masih lagi tinggi dan dalam jumlah yang bahaya, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nisbah anggota polis dan rakyat yang disyorkan oleh Interpol adalah 1 anggota polis untuk 250 penduduk.

Mengikut statistik 2011, Selangor mempunyai 11,700 anggota, yang mana hanya 30% yang bertugas pada satu syif. Ini bermakna dalam satu syif nisbahnya menjadi 1:1,424, katanya.

"Jelas pasukan polis tidak boleh menampung keperluan rakyat. Kerajaan Selangor amat prihatin dengan suara rakyat yang semakin kuat mendesak pihak berkuasa mengambil pendekatan yang lebih teguh untuk menangani gelombang jenayah yang semakin mengancam rakyat," beritahu beliau.

Walaupun Menteri Dalam Negeri mempunyai pendirian yang lain, kata Faekah, kerajaan negeri Selangor tiada ragu-ragu bahawa kadar jenayah belum berada ditahap yang cukup rendah dan jaminan keselamatan untuk rakyat perlu dipertingkatkan.

Rakyat Selangor jelas masih tidak puas dengan tahap keselamatan dan semakin bergantung kepada syarikat-syarikat swasta untuk menjaga keselamatan mereka.

"Wakil rakyat yang ikhlas dan bertanggungjawab seharusnya elak dari sombong dengan 'pencapaian' setakat ini tetapi tetap gandakan usaha dan bekerjasama dengan semua pihak demi menyampaikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

"Tiada alasan munasabah Kementerian Dalam Negeri menolak usahasama ini yang akan meningkatkan keselamatan semua rakyat di Selangor," katanya.

Bagi kerajaan Selangor, kata Faekah, tiada sebarang unsur politik dalam cadangan kami untuk bekerjasama dengan polis dan Persekutuan untuk bersama mempertahankan keselamatan rakyat.

"Kami tidak mencari pengiktirafan atau berhasrat mengambil alih peranan pihak polis. Kami hanya inginkan kerajaan Persekutuan mengambil sikap yang lebih terbuka dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan kiraan politik," jelas beliau. -harakahdaily


DAP minta KDN henti beri alasan tempang

DAP mendesak kerajaan berhenti bermain politik dan memberikan alasan tempang berhubung penolakan terhadap hasrat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri bagi mengurangkan jenayah.

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua berkata alasan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein - bahawa tindakan itu bertentangan dengan perlembagaan - itu tidak bertanggungjawab.

"Alasan menteri dalam negeri, bahawa pasukan polis bantuan bertentangan dengan perlembagaan pincang sepenuhnya ekoran tiada sebarang peruntukan menghalang pembentukan pasukan itu, sebagaimana tiada peruntukan menentang penggajian petugas keselamatan," kata Tony.

Semalam, Hishammuddin dilaporkan tidak berganjak daripada keputusan menolak permohonan Selangor yang mahu meneruskan permohonan menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri kerana ia "bertentangan dengan perlembagaan".

Beliau sebaliknya mendakwa, kerajaan negeri mahu melakukan provokasi sedangkan mereka didakwa tahu ia bercanggah dengan perlembagaan dan tidak masuk akal.

Hishammuddin turut dilaporkan melahirkan rasa terkilan terhadap kerajaan Selangor yang didakwa tidak pernah tampil ke hadapan membantu polis dalam usaha mengurangkan indeks jenayah di negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tony mencabar Hishammuddin membuang semua pagar keselamatan, penghadang automatik dan rumah pengawal keselamatan sekiranya dia benar-benar yakin bahawa kadar jenayah menurun.

Tony menambah, kerajaan negeri selama ini bertolak ansur dengan pembinaan pagar yang munasabah - walaupun keabsahannya dibangkitkan - kerana simpati dengan perasaan takut penduduk kepada jenayah yang memuncak pada 2008 dan 2009.

"Tindakan rakyat Malaysia itu sebaliknya membuktikan bahawa mereka tidak percaya polis mempunyai sumber yang cukup untuk melindungi mereka dan sebaliknya terpaksa mengambil alih fungsi itu sendiri," kata Tony.

"Bagaimanapun, sekiranya diberi peluang, rakyat Malaysia tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membayar pengawal keselamatan dan tinggal dalam kawasan berpagar yang tidak selesa, yang menjadikan bandar seperti Petaling Jaya umpama "zon perang". -mk



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dalam tempoh 2 tahunni, rumah aku dah 3 kali di masuki pencuri.3 buah laptop dah lesap.laporan polis dah buat.Aku xnampakpun jenayah dah turun?