10 Feb 2011

Pengerusi FELDA Yang Perasan Dirinya Terlebih Hebat

Isa: Hebat sangat ke orang yang buat kritikan?

Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad mengambil pendirian tidak menghiraukan kenyataan pihak tertentu yang mempersoalkan pelantikannya sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana tidak mahu menjejaskan fokus beliau untuk memajukan Felda.

Beliau berkata, sekiranya diambil serius perkara itu, ia akan menghalang fokusnya untuk membangunkan Felda dan memberikan taraf kehidupan lebih bermakna kepada peneroka di seluruh negara.

Sambil berjanji untuk komited dalam menjayakan agenda yang sudah dirancang untuk membangunkan Felda, beliau berkata: "Bila kita dilantik, biasalah ada yang tak suka, orang tak suka saya dari dulu. Apa sahaja jawatan yang saya pegang...ada sahaja yang tidak suka. Biarlah, saya tetap akan terus majukan Felda."

Mohamed Isa berkata demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini sebagai mengulas dakwaan Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof, semalam bahawa pelantikannya menerajui Felda adalah suatu yang sedih dan mengakibatkan kebimbangan pasaran.

Beliau mendakwa ini berpunca daripada Mohamed Isa yang terpalit dengan gejala rasuah dan didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang ketika pemilihan parti itu dan digantung jawatannya oleh lembaga disipin Umno pada 2005.

Mohamed Isa berkata, latar belakang individu yang membuat kenyataan juga perlu dilihat sama ada mereka hebat di dalam bidang yang mereka ceburi sehingga boleh membuat kenyataan itu.

"Mereka yang cakap begini biasanya mestilah hebat tapi kita kena tengok rekod mereka, hebat sangat ke sehingga boleh sesuka hati mendakwa itu dan ini... apapun biarlah," katanya.

Mengenai pencapaian Felda, beliau berkata tahun lalu mereka mencapai kutipan jualan keseluruhan tertinggi oleh peneroka sejak 2006 iaitu sebanyak RM1.06 bilion berbanding hanya RM911 juta tahun sebelumnya.

Beliau berkata, Felda pada tahun ini mensasarkan hasil daripada jualan keseluruhan bernilai RM2 bilion.

"Kita juga bangga, daripada 36,000 usahawan yang menghasilkan produk untuk Felda, 33 orang mencatatkan jualan lebih RM1 juta setahun," katanya.

Terdahulu, Mohamed Isa melancarkan program Promosi Produk Usahawan Satu Wilayah Satu Industri Felda di Aeon Jusco di AU2, Setiawangsa, yang bermula semalam hingga Ahad.

Sebanyak 150 produk makanan dan kraftangan hasil daripada usahawan Felda dipamerkan di ruang legar pusat membeli-belah itu sebagai langkah meletakkan produk Felda dalam pasaran pasaraya besar tempatan. - Bernama

Ulasan GB

Demikian perlekehan Pengerusi FELDA terhadap para pengkritiknya seolah-olah hanya dia yang paling hebat.

Memang manusia yang bernama Mohd Isa Samad itu hebat kerana walau pun terpalit dengan gejala rasuah dan didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang, tapi masih boleh terpilih sebagai wakil rakyat dan masih dapat memegang jawatan tertinggi di dalam Felda.

Kerana itulah wajah sebenar UMNO. Tidak bermoral dan tidak berakhlak itulah yang akan diangkat ke atas. Malah "dengar cerita" dari negeri yang sama, ada kisah seorang menteri kabinet didakwa merogol amahnya. Benar atau tidak, wallahu alam. Kebenaran akan tetap terdedah jua, jika tidak sekarang, akan datang.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Datuk Dr. Zainal Aznam bukan calang-calang orang TS Isa Samad oi.

Tanpa Nama berkata...

calang tak calang mai tengok kuku sapa panjang takat nak cakap takdak mengedeh pun.

Tanpa Nama berkata...

Muka tembok ni mana tau malu.Cakap apa pun dia buat muka selamba aje.Spisis ni semua macam tu,serupa macam Khusrin yang diSelangor tu.Cakap dan buat apa pun,tak mendatangkan kesan sebab muka dah tebal macam tembok.