1 Dis 2010

Pengikut Ajaran Sesat Islam Jamaah Dibebaskan Dengan Ikatjamin

Kajang: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, membebaskan dengan jaminan semua 21 individu yang didakwa pengikut ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) bagi membolehkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan siasatan.

Masing-masing yang ditahan selepas solat Jumaat di Lot 34 dan 38 Jalan Sungai Tangkas, dekat sini, dibebaskan dengan jaminan antara RM1,500 hingga RM8,000 dan mahkamah menetapkan 28 Disember ini untuk sebutan semula.

Semua mereka, enam warga Indonesia, dua Bangladesh dan selebihnya rakyat tempatan berusia 30-an hingga 50-an disiasat mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu mengingkari kuasa yang sah, Seksyen 13 (1) iaitu mengembangkan atau menyebarkan ajaran Islam atau hukum syarak yang bertentangan dengan fatwa dan Seksyen 97(1)(2) Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor iaitu mendirikan bangunan untuk bersolat tanpa kebenaran Majlis.

Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah memerintahkan individu rakyat tempatan dijamin isteri atau keluarga masing-masing manakala warga asing perlu mengemukakan antara 10 hingga 12 penjamin selain perlu menyerahkan pasport masing-masing. Mahkamah turut dimaklumkan Pendakwa Syarie, Mat Isa bahawa sembilan suspek sudah diambil keterangan.

Semua suspek hadir dan kelihatan tenang ketika proses jaminan berjalan.

Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan penguatkuasa Jais menyelinap ke dalam kumpulan terbabit yang taksub mendengar khutbah dalam bahasa Arab dan selepas selesai bersolat, penguat kuasa Jais mengepung surau itu dan menahan 21 lelaki.

Ajaran IJ difatwakan menyelewang oleh Kerajaan Selangor selepas berlaku penyelewengan yang memesongkan akidah termasuk menolak sumber hukum ijmak dan qias, najis mughallazah tidak perlu disamak, binatang yang mati di dalam perkampungan orang Islam Jamaah tidak perlu disembelih dan halal dimakan. Hasil risikan Jais, kira-kira 1,000 pengikut IJ dan kebanyakan mereka terdiri daripada kelas menengah. -hm

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ajaran sesat BN tak kisah, jangan ceramah atau berhimpun tanpa permit nanti lama kena tahan polis