1 Dis 2010

Komputer Syarikat Guna Perisian Cetak Rompak Dirampas

Peralatan komputer 20 syarikat guna perisian cetak rompak dirampas

PETALING JAYA: Pihak berkuasa merampas komputer dan peralatan komputer bernilai hampir RM5 juta daripada 20 syarikat yang didapati menggunakan perisian cetak rompak di daerah Petaling Jaya sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Petaling Jaya, Mohd Ruhani Bakar, berkata serbuan dijalankan hasil maklumat orang ramai dan Business Software Alliance (BSA).

"Kebanyakan syarikat yang menggunakan perisian palsu ini terdiri daripada syarikat kejuruteraan di mana perisian yang digunakan biasanya untuk membuat lukisan (pelan rumah) dan sebagainya.

"Lazimnya mereka (syarikat) menggunakannya kerana ia menjimatkan kos kerana membeli perisian cetak rompak jauh lebih murah daripada yang asli," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Ruhani berkata pihaknya juga merampas lapan unit komputer riba bernilai RM174,000 hasil serbuan terhadap sebuah anak syarikat Australia yang beroperasi di sini semalam.

Beliau berkata, syarikat tersebut yang menjalankan perniagaan industri minyak dan gas didapati menggunakan perisian cetak rompak dalam menjalankan operasi mereka.

Katanya, lanjutan kepada aduan yang diterima daripada BSA, sepasukan penguatkuasa dari cawangan KPDNK Petaling Jaya membuat serbuan ke atas premis di Damansara itu pada 12 tengah hari.

Beliau berkata, syarikat tersebut akan dikenakan tindakan menurut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM2,000 setiap salinan langgaran dan tidak lebih daripada RM20,000. - BERNAMA

Tiada ulasan: