1 Dis 2010

Maut Dirempuh Lori

Maut dirempuh

SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangi terbabas menyebabkannya terjatuh sebelum dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Jalan Senawang-Paroi, berhampiran Taman Guru, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.55 pagi itu, mangsa Ahmad Abu Samah, 83, pesara tentera mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.

Harian Metro difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Rashidah Utama selepas keluar membeli barangan keperluan harian di Pasar Tani Ampangan.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan sebaik menerima maklumat kemalangan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai gagal mengawal motosikal menyebabkannya terjatuh.

“Pada masa sama, datang sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 60-an dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh mangsa menyebabkannya mati di tempat kejadian.

“Pemandu lori terbabit kemudian membuat laporan tidak lama selepas kejadian dan diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta saksi tampil menyalurkan maklumat.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi, berkata siasatan lanjut masih dilakukan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Mohd Taufiq Abd Samad di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jalanraya sudah tidak selamat, saman ekor berleluasa, jenayah meningkat, BN patut diganti

Tanpa Nama berkata...

strategi BN mencipta RON95 yang membakar kenderaan dan membunuh rakyat, bila beralih guna RON97, harganya dinaikkan lepas menang pilihanraya