8 Nov 2010

"Lelong... lelong... " Kedengaran Selepas Banjir

Lelong musim banjir

Gambar: LARIS...Penyapu, berus lantai dan mop antara peralatan membersihkan rumah yang mendapat permintaan ramai selepas banjir berikutan keadaan banjir yang beransur pulih di negeri ini ketika tinjauan di sebuah kedai di Jalan Jitra-Bukit Kayu Hitam di sini hari ini. Kelihatan pemilik kedai barangan plastik, Lee Leong Chai, 46, (kiri) bersama pembantunya Nizam Nik Leh, 30, menunggu pelanggan di hadapan kedainya.

JITRA - Orang ramai mulai membanjiri kawasan pekan Jitra 2 untuk membeli pelbagai barangan yang dilelong peniaga di sini, apabila kawasan ini mula reda dengan banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, banyak pengguna mengambil peluang membeli pelbagai barangan termasuk pakaian, tudung, tuala dan barangan keperluan lain yang dijual dengan harga lelong di sini sejak beberapa hari lalu.

Dalam masa sama, peniaga juga mengambil kesempatan melelong barangan mereka dengan harga serendah 50 sen kepada pembeli akibat banyak barangan terjejas banjir baru-baru ini.

Peniaga Perniagaan Kain Lim, Lim Kheng Seng berkata, mereka mengambil peluang mengadakan jualan lelong untuk menghabiskan pelbagai stok pakaian yang kebanyakan rosak akibat banjir.

“Banyak juga pakaian yang basah, namun masih elok, jadi saya melelongnya dengan harga yang murah kepada pembeli dan ia akan diteruskan sehingga tiada lagi pembeli yang datang membeli barang lelongan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian banjir itu, perniagaan Lim terjejas teruk dan melibatkan kerugian kira-kira RM30,000 dan terpaksa menjual pelbagai jenis pakaian yang basah dengan harga lelong sehingga mencapai potongan sehingga 40 peratus.

Sementara itu, tinjauan di Kedai Wan Hantaran, pemiliknya, Low Poh Wan, 47, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 pada kejadian banjir kali ini.

Menurutnya yang menjual pelbagai barangan untuk hantaran perkahwinan dan bunga-bunga plastik itu, dia mula membuka kedainya itu semalam dan pada masa sama membersihkan setiap penjuru kedai yang terjejas banjir baru-baru ini.

“Dalam kejadian banjir baru-baru ini, kita sempat menyelamatkan sebahagian barang dan disimpan di bahagian atas kedai dan sebahagian lagi diangkat dan diletakkan pada tempat yang lebih tinggi dalam kedai ini.

“Jika tidak diselamatkan pasti lebih banyak barang yang rosak dan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun Poh Wan berkata, banyak juga barangan yang dijual di kedainya yang perlu dicuci semula sebelum dijual kepada pengguna kerana kesan lumpur yang masih ada pada barang berkenaan.

“Jika ada barang yang masih boleh digunakan kita akan jual, jika rosak teruk kita akan membuangnya sahaja,” katanya.

Sementara itu, Tinjauan di Pusat Optik Jitra mendapati, pemiliknya sibuk membersihkan kedainya bersama beberapa pembantu sebelum membuka semula perniagaan cermin mata itu.

Pemiliknya, Doreen Tan berkata, banyak juga kotak cermin mata yang rosak akibat terkena lumpur dan ia berkemungkinan tidak lagi boleh digunakan semula.

Menurutnya, dia menutup kedai cermin matanya itu sejak hari pertama banjir dan tidak dapat menganggarkan kerugian yang dialami kerana masih belum membuat pengiraan ke atas barangan yang rosak.

“Malah, saya juga tidak pasti bila kedai ini akan mula beroperasi memandangkan masih banyak benda perlu diselesaikan selepas banjir mulai surut,” katanya.

Banjir di Ayer Hitam masih teruk

Dalam perkembangan lain, banjir di Ayer Hitam masih buruk memandangkan air di kawasan Jitra mula surut dan ia turun ke kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad berkata, beberapa kawasan di DUN itu yang terlibat dengan banjir termasuklah Kampung Telaga Batu, Kampung Telaga Batu Putat, Kampung Kota Rentang, Kampung Alor Biak, Sungai Korok, Permatang Bonglai, Pida 1, 2, dan 3.

Menurutnya, sejak banjir mula melanda kawasan itu, beliau bersama skuad banjir Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Ayer Hitam dengan kerjasama penghulu dan Majlis Ketua Kampung (MKK) sentiasa bergerak ke kawasan banjir yang terlibat untuk memberi bantuan.

Menurutnya, bantuan makanan dan keperluan asas diberikan kepada mangsa banjir di seluruh kawasan DUN Ayer Hitam yang terlibat.

“Kita mengambil tanggungjawab sepenuhnya membantu semua mangsa tidak kira mereka yang berpindah ke pusat penempatan sementara mahupun yang mendirikan khemah di sekitar kawasan rumah yang selamat.

“Bantuan tidak mencukupi juga tidak timbul memandangkan kita sentiasa memberi bantuan dari masa ke masa kepada mangsa mengikut keperluan mereka.

“Setiap hari kita akan menghantar skuad banjir ke kawasan yang mengalami banjir bagi melihat keperluan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kelmarin beliau bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga melawat beberapa kawasan di DUN Ayer Hitam dan DUN Kota Siputeh bermula dengan pusat penempatan di Sekolah Kebangsaan Kodiang.

Menurutnya, Azizan bersamanya juga melawat di Sekolah Kebangsaan Sri Muda, Alor Biak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Putra, Alor Biak di samping menyampaikan bantuan keperluan makanan dan barangan lain kepada mangsa.

Sehingga jam 10 malam kelmarin, jumlah mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sri Muda, Alor Biak ialah seramai 2,197 manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Putra, Alor Biak pula seramai 713 mangsa ditempatkan di situ buat sementara waktu. -SH


Banjir di Pokok Sena dan Pendang pulih, Kota Setar dan Kubang sedang pulih

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah semakin pulih dengan semua pusat pemindahan di dua daerah iaitu Pokok Sena dan Pendang ditutup sepenuhnya petang ini.

Sehingga jam 4 petang, hanya 56 pusat pemindahan masih dibuka di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dengan jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan banjir ialah 22,829 orang dari 5,761 keluarga, berbanding 28,208 orang pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara berkata, jumlah mangsa banjir di daerah Kota Setar ialah 16,760 orang dengan 4,112 keluarga, manakala di Kubang Pasu mangsa yang masih berada di pusat pemindahan ialah 6,069 orang membabitkan 1,649 keluarga.

Sebanyak 39 pusat pemindahan banjir masih dibuka di Kota Setar, manakala di Kubang Pasu masih terdapat 17 pusat pemindahan beroperasi.

Jurucakap itu berkata, semua mangsa di daerah Pokok Sena dan Pendang sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat selepas air di kawasan mereka surut sepenuhnya.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pelajaran Kedah berkata, sebanyak 50 sekolah masih ditutup iaitu lapan di Kubang Pasu dan selebihnya di Kota Setar.

"Ada juga sekolah-sekolah itu dijadikan pusat pemindahan banjir dan ada juga yang masih ditenggelami air," katanya.

Sehingga petang ini, semua jalan telah dibuka kepada lalu lintas. Hanya empat jalan sahaja yang masih digenangi air iaitu Jalan Alor Setar-Kangar, Jalan Gunung Keriang-Alor Janggus, Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang dan Jalan Titi Besi-Kampung Pasir.

Tinjauan di sekitar bandaraya Alor Setar mendapati kebanyakkan premis perniagaan telah beroperasi seperti biasa. Bekalan elektik dan air sudah pulih di kebanyakan tempat, cuma masalah tekanan air dan bekalan air bersih masih menjadi masalah kepada kebanyakan penduduk. -Bernama


4 ulasan:

din tok diah berkata...

SADA awat tak bagi subsidi air macam Perlis ? Tiru yang baik tak kan salah kot ? Kalau depa bagi RM20, SADA bagi la RM30 baru nampak lebih prihatin...

tokey beras berkata...

hehehe khir toyo elok ni bukak kedai juai penyapu kat kedah/perlis.

Tanpa Nama berkata...

kerajaan BN diputrajaya pun dah nak dilelong kepada Yahudi APCO

Tanpa Nama berkata...

SADA syarikat yang telah diswastakan kepada UMNO masa pemerintahan UMNO, tanya mahathir khalid