8 Nov 2010

15 Bergilir Apungkan Daniel, Berzikir Berpegangan Tangan Dalam Bulatan Di Tengah Lautan

Kemaman - Dalam keadaan keletihan dan nyawa di hujung tanduk, semua 15 mangsa masih mampu bersepakat untuk bergilir-gilir memegang dan mengapungkan Mohd Daniel Aiman Mohd Zulkifli, 4, bagi memastikan kanak-kanak itu terus selamat.

Gambar: Mohd Daniel Aiman Mohd Zulkifli,4, menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Daerah Kemaman sebaik tiba di Pengkalan Marin di sini hari ini Foto Bernama

Salah seorang mangsa, Sany Salman Mohd Kasim, 42, berkata, apabila melihat bapa kanak-kanak tersebut, Mohd Zulkifli Ahmad Daud, 33, keletihan, mereka mengambil giliran mengapungkan kanak-kanak itu bagi memastikannya tidak tenggelam.

“Dalam tempoh itu, memang banyak dugaan yang kami terpaksa harungi namun kami tidak berputus asa. Kami nampak cahaya, malah tiga buah helikopter melepasi kami namun tiada siapa yang menyedari kelibat kami,” katanya yang masih kelihatan terharu dengan kejadian itu.

Ditanya mengenai percutian itu, Sany Salman yang berasal dari Seremban berkata, mereka datang ke Terengganu pada Jumaat lalu untuk bercuti dan menyelam.

Menurutnya, mereka bermalam di Dungun, sebelum bertolak ke Pulau Tenggol keesokan paginya untuk menyelam.

“Mengikut perancangan, kami dijangka pulang pada waktu petang. Malah saya sendiri sempat menyelam tiga kali sebelum bertolak pulang. Namun tidak lama selepas kami menaiki bot, pemandu menjerit dan memberitahu bot mengalami kebocoran.

“Dia berkata, bot akan berpatah balik namun tidak sampai tiga minit, bot terhuyung-hayang sebelum pemandu mengarahkan kami terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan,” kata bapa kepada dua anak itu.

Menurutnya, walaupun berdepan situasi mencemaskan, mereka tidak panik sebaliknya bersepakat dan mula membuat bulatan bagi membolehkan mereka mudah bergerak secara berkumpulan dan tidak terpisah.

Dalam tempoh itu katanya, mereka cuba berenang bersama-sama ke tanah besar namun keadaan arus menyebabkan mereka sukar melakukannya.

“Kami sangat gembira apabila melihat sebuah bot marin datang ke arah kami namun mereka berpatah balik kerana tidak menjumpai kami. Namun pada masa itu, kami sudah mampu tersenyum kerana tahu usaha mencari sedang dilakukan.

“Tidak lama selepas itu, bot marin kembali sekali lagi dan menyelamatkan kami. Pada masa itu, hanya Tuhan yang tahu bagaimana gembiranya kami,” katanya lagi. -SH


Berzikir berpegangan tangan dalam bulatan

KEMAMAN: Hanya zikir dan doa mengingat Allah SWT meniti di bibir 15 daripada 16 mangsa yang menganggap mereka ibarat mati hidup semula apabila terselamat selepas terapung kira-kira 16 jam sebaik bot dinaiki karam dipercayai bocor di bahagian enjin, kira-kira 6.30 petang kelmarin.

Kejadian membabitkan bot jenis katamaran yang ketika itu dalam perjalanan membawa 15 pelancong dalam perjalanan pulang ke jeti Kuala Dungun selepas melakukan aktiviti selam di Pulau Tenggol.

Sepanjang terapung di laut, semua mangsa mendakwa melihat kelibat bot lain tetapi tidak mengendahkan mereka sehinggalah seorang daripada mereka iaitu Loo Kit Choong, 54, bertindak berani membuka jaket keselamatannya.

Loo terpaksa memperjudikan nyawanya kerana ketika itu hanya dia masih bertenaga dan melambungkan jaket keselamatan sebelum objek itu dilihat anggota Pasukan Gerakan Marin yang kemudian segera menyelamatkan mereka.

Selain itu, penyelam, Badrulhisham Shariman, 40, turut menggunakan segala kudrat yang ada untuk memastikan mereka mengikut arus dengan menguak kakinya kerana ketika kejadian hanya dia masih memakai ‘flipper’.

Semua mangsa dikatakan berada dalam kumpulan dan memegang erat antara satu dengan lain dalam satu bulatan sambil berzikir dan melambung-lambungkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang turut terapung bersama mereka.


Semua 16 mangsa dilaporkan hilang ditemui terapung kira-kira 16 batu nautika dari lokasi mereka dilaporkan hilang iaitu lapan batu nautika dari Pulau Tenggol, semalam.

Sementara itu, pemandu bot berkenaan, Zul Fadhly Yahya, 29, berkata bot yang dikemudinya itu tiba-tiba menjadi perlahan pada jarak kira-kira lapan batu nautika dari Jeti Kuala Dungun.

“Apabila toleh ke belakang saya nampak enjin bot hampir tenggelam dan air mula memasuki badan bot,” katanya di Jeti Marin Wilayah Timur di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengambil keputusan berpatah-balik ke Pulau Tenggol namun botmenjadi semakin perlahan dan apabila air semakin banyak memasuki badan bot, dia mengarahkan semua penumpangnya terjun dari bot.

Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain.

“Waktu itu bot sudah senget. Saya risau jika mereka tidak terjun, mereka akan tenggelam bersama bot,” katanya.

Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot berkenaan tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain.-hm


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah