13 Sep 2010

Penyewa Terkejut Tuan Rumahnya Suspek Kes Bunuh Sosilawati

Penyewa rumah peguam berpangkat Datuk yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya terkejut dengan penahanan "tuan rumahnya" itu selepas gambarnya disiarkan media hari ini.

Seorang peniaga yang juga menguruskan perniagaan katering dan hanya mahu dikenali sebagai Kak Ana, 45, terkejut dan seolah tidak percaya dengan penangkapan peguam itu kerana menyifatkan tuan rumahnya itu seorang lelaki yang baik, peramah dan sentiasa bertegur sapa.

"Akak terkejut tengok gambar dia (peguam) dalam akhbar hari ini. Memanglah tahu kes ini libatkan seorang peguam berpangkat Datuk di Banting, tapi tak sangka pula dia...Akak memang tak percaya dia buat semua tu sebab dia baik sangat," katanya.

Ketika ditemui di rumah sewanya, iaitu bersebelahan rumah peguam berusia 41 tahun itu di sebuah taman di sini, beliau berkata, peguam itu menginap di rumah semi-D berkembar di situ seorang diri manakala anak-anak dan isterinya tinggal di Puchong untuk menemani salah seorang anak mereka yang bersekolah (sekolah swasta) di sana.

"Masa akak pindah sejak April tahun ini, dia (peguam) ada beritahu anak-anak dan isterinya hanya akan datang serta melawatnya di rumah itu seminggu sekali sahaja," katanya.

Isteri seorang pesara polis itu berkata, sepanjang menyewa di rumah itu, beliau tidak melihat sebarang kecurigaan di rumah peguam itu mahupun peguam itu sendiri.

"Macam biasa, dia memang rajin bertegur sapa, tak cakap lebih-lebih. Akak tak syak apa-apa. Hanya nampak dia pergi dan balik kerja sahaja," katanya.

Semalam, polis mengesahkan penangkapan peguam berpangkat Datuk, adiknya yang juga seorang peguam dan enam lagi bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala LUmpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Semalam, polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong dekat sini. -Bernama


Pejabat Sosilawati lengang, operasi CIMB di Kg Baru normal

Pejabat Nouvelle Beauty Sdn Bhd di Jalan Raja Bot, Kampung Baru di sini milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang turut menempatkan pusat rawatan muka dan spa ditutup hari ini manakala pekarangan premis itu juga kelihatan lengang.

Yang tertera di pintu masuk pejabat tersebut hanyalah sekeping notis yang memaklumkan bahawa perniagaan ditutup sempena Aidilfitri bermula 10 September dan akan dibuka semula seperti biasa pada 15 September.

Sosilawati, 47, yang memperkenalkan produk kosmetik jenama Nouvelle Visages sejak 12 tahun kini mempunyai 300 cawangan di seluruh negara dan di sekitar Asia Tenggara termasuk Indonesia dan Brunei.

Beliau bersama tiga lelaki iaitu pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44: pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Misteri kehilangan mereka akhirnya terungkai semalam setelah polis Berjaya menahan lapan suspek yang disyaki terlibat dalam pembunuhan yang disifatkan sebagai kejam apabila kesemua mangsa ditahan, dipukul sehingga mati, dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sebuah sungai di Kampung Kanchong Laut, Banting.

Sementara itu, suasana di bank CIMB di Kampung Baru di sini, iaitu di mana Noorhisham Mohammad, salah seorang rakan Sosilawati yang menemui ajal bekerja, pula kelihatan seperti biasa sejak dibuka pukul 8.30 pagi.

Seorang kakitangan bank berkenaan yang ditemui Bernama berkata, pemergian Noorhisham tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakan setugas.

Katanya pemergian Noorhisham merupakan satu kehilangan besar kepada bank tersebut kerana beliau merupakan seorang pekerja yang sangat berdedikasi dan komited terhadap pekerjaannya.

“Saya percaya jika rakan setugas anda ''pergi'' pun mungkin perasaan sama akan dirasai," katanya. — Bernama


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sekiranya BN jatuh PRU13 insyaallah banyak perkara lagi yang rakyat terkejut akan timbul...