13 Sep 2010

Najib Dalam Dilemma. Akan Dipaksa Letak Jawatan??

Amaran Mahathir: Umno akan kalah teruk jika abai Perkasa

SERI KEMBANGAN, 12 Sept — Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi sokongan kepada Perkasa hari ini dengan memberi amaran, Umno boleh kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-13 jika parti dominan Barisan Nasional itu memutuskan untuk menyisihkan pertubuhan hak Melayu tersebut.

“Mereka (Umno) sudah pun berpecah, dan langkah menjauhkan diri daripada Perkasa akan menyebabkan Umno semakin berpecah,” kata bekas perdana menteri ini kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau sini hari ini.

Sehubungan itu kata Dr Mahathir, Umno tidak seharusnya menjauhkan diri daripada Perkasa kerana tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan mereka kehilangan lebih banyak undi berbanding prestasi dua tahun lalu.

“Dalam pilihan raya umun lalu, jurang perbezaan undi sangat keci. Jika anda kehilangan sokongan, anda mungkin kalah teruk dalan pilihan raya (umum ke-13).

“Umno tidak kukuh. Kita tidak boleh mengetepikan sesiapa sebab dengan kita kehilangan 100 atau 200 orang, kita mungkin kalah di bahagian-bahagian tertentu,” kata beliau sambil menambah, pada pilihan raya umum lalu ahli-ahli Umno juga telah mengundi PAS.

Dengan menekankan prinsip asas hanya boleh bermusuhan dengan satu pihak bukannya dengan semua, Dr Mahathir berkata, Umno seharusnya menjalin hubungan rapat dengan sebanyak kumpulan yang boleh berbanding bertelagah sesama sendiri.

Ditanya sama ada Umno akan kerugian jika menjauhkan diri dari Perkasa, Dr Mahathir berkata: “Kita tidak mampu berbalah dengan ramai orang. Jika anda mahu bertengkar, bertengkarlah dengan seorang, bukan semua.”

Sementara itu, menyokong sentimen ayahnya, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak melihat sebarang keuntungan mengapa Umno memilih untuk menjauhkan diri daripada Perkasa di mana perjuangan kedua-dua pihak itu adalah sama iaitu memperjuangkan hak orang Melayu.

“Saya tidak nampak bagaimana saya harus tidak menyokong mereka. Saya bukan anggota Perkasa tetapi jika mereka mempelawa saya kepada majlis, saya akan pergi,” katanya pada majlis itu.

Kira-kira 10,000 pelawat dari pelbagai kaum dan kewarganegaan menghadiri majlis rumah terbuka itu.


13 parti komponen BN sokong jauhi PERKASA

Barisan Nasional (BN) dengan sokongan sebulat suara 13 parti komponennya terutama UMNO, membuat keputusan untuk menjauhi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum.

Dalam keputusan pada mesyuarat bulanan BN bagi memperkukuhkan gagasan itu yang pertama kali diadakan di sini semalam, semua parti komponen turut mengalu-alukan tindakan UMNO mengambil langkah pertama menyatakan pendirian mahu menjauhkan diri daripada PERKASA.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata UMNO tidak akan menyokong PERKASA atau Presidennya, Datuk Ibrahim Ali pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.

"PERKASA sudah beberapa kali mengadu domba parti komponen BN hingga menjejaskan perpaduan BN, selain mencetuskan persoalan di kalangan rakyat mengenai pendirian kita.

"UMNO tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan PERKASA seperti didakwa sesetengah pihak dan parti komponen BN lain yang selama ini bimbang dengan maklum balas akar umbi dan mereka menerima baik pendirian ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beberapa parti komponen BN secara terbuka membidas kepemimpinan PERKASA kerana tindakan mereka menjejaskan usaha kerajaan mencapai matlamat konsep 1Malaysia, walaupun Datuk Seri Najib Razak menegaskan hak orang Melayu akan sentiasa dilindungi dan terjamin. -BH


Ulasan GB

Najib dalam dilemma.

Isu Perkasa boleh pada bila-bila masa memaksa beliau turun dari kerusi PM.

Menyokong Perkasa bererti membunuh gagasan 1Malaysianya sendiri, malah akan menerima kritikan keras serta kehilangan undi dari rakan-rakan BN yang bukan-Melayu.

Menidakkan Perkasa bererti beliau perlu bersedia berhadapan dengan keris-keris telanjang UMNO yang konon memperjuang bangsa di dalam Perhimpunan UMNO nanti.

Samada menyokong atau menentang Perkasa, salah satu kumpulan akan mengugut Najib untuk turun dari kerusi PM. Lebih buruk dari nasib yang menimpa Pak Lah satu ketika dulu dimana Najib dikatakan secara halus telah memaksa Pak Lah meletak jawatan.

Giliran Najib pula akan tiba. Balasan yang diterima kerana merampas hak orang secara kotor, menggunakan wang dan istana merampas Perak dari PR.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Yeah... mari kita sama2 sokong perkosa yg ultra melayu ni agar melayu akan terus menerus ditindas dgn kuota 30% yg tak pernah kesampaian tu. Sedarlah wahai melayu... mari kita bodohkan lagi melayu yg ada terutama melayu bandar supaya jadi bodoh mcm melayu felda.

Balqis berkata...

Kenapa takut dgn hak sendiri dalam negara tanah air sendiri?

Sia-sia sahaja perjuangan datuk-nenek kita di masa silam. Jangan bersejarah mulai merdeka sahaja. Semestinya kita umat Melayu tahu hasil penat lelah Kesultanan Melaka, Demak dan lain-lain nya menyebabkan kita bernama umat Melayu.

Otak kita tidak sempit yang sempit adalah pemikiran kita sahaja.

Tanpa Nama berkata...

najib dan mahathir sedang berlakon arahan pengarah yang sama...melayu mudah lupa.