13 Sep 2010

MCA Bidas Mahathir, DAP Anggap Anti-Perkasa Hanya Gimik UMNO

MCA kesal komen Dr M, gesa Umno-BN tidak kompromi isu Perkasa

MCA kesal dengan pendirian bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa Umno tidak harus membelakangi Perkasa jika tidak mahu Barisan Nasional (BN) hilang sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha juga berkata, BN tidak harus sama sekali berkompromi dalam soal menjauhkan diri daripada Perkasa.

Kata Kong, MCA mengalu-alukan komen pelbagai pemimpin Umno yang mahu menjauhkan diri mereka daripada Perkasa yang dilihat mengambil pendirian berbaur perkauman atas alasan sebarang kerjasama dengan pertubuhan itu hanya akan menghakis sokongan kepada Umno. “Kami kesal apabila membaca kenyataan seorang pemimpin terkemuka yang mendakwa Umno masih memerlukan sokongan Perkasa jika ia tidak mahu berhadapan dengan risiko Barisan Nasional kehilangan sokongan (dalam pilihan raya),” kata beliau.

Ujar Kong, BN tidak hanya terdiri daripada satu parti politik, sebaliknya merupakan anggota 13 komponen yang mewakili pelbagai kaum.

“Oleh itu, BN berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada setiap kaum, bukan sahaja daripada orang Melayu,” kata Menteri Pengangkutan ini.

Tegas pemimpin MCA itu, BN tidak boleh memikat sokongan ramai menerusi kerjasama dengan kumpulan-kumpulan ekstrem, sebaliknya memerlukan mandat daripada semua lapisan rakyat.

Oleh itu tambah Kong, sebarang ikatan dan kerjasama dengan pertubuhan ekstrem hanya akan menghakis undi kepada BN.

Jelas Kong, BN sentiasa mengamalkan formula menyelesaikan apa jua rungutan ataupun masalah menyentuh orang ramai menerusi semangat konsensus.

“Oleh itu, BN tidak harus berkompromi atau bertolak ansur dengan mana-mana pertubuhan perkauman atau komen-komen ekstrem mana-mana individu atau kumpulan,” katanya lagi.

Katanya, sebagai satu ikatan yang bertanggungjawab mengutamakan keharmonian negara, keamanan dan keselamatan mengatasi segala-galanya, BN akan memastikan bahawa masa depan Malaysia tidak dikorbankan menerusi pendirian Perkasa yang bersifat perkauman dan regresif.

Mengulas mengenai pendirian Umno-BN terhadap Perkasa, Dr Mahathir mengulangi sokongan kepada Perkasa semalam dengan memberi amaran, Umno boleh kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-13 jika parti dominan BN itu memutuskan untuk menyisihkan pertubuhan hak Melayu tersebut.

“Mereka (Umno) sudah pun berpecah, dan langkah menjauhkan diri daripada Perkasa akan menyebabkan Umno semakin berpecah,” kata Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno.

Sehubungan itu kata Dr Mahathir, Umno tidak seharusnya menjauhkan diri daripada Perkasa kerana tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan mereka kehilangan lebih banyak undi berbanding prestasi dua tahun lalu.

“Dalam pilihan raya umun lalu, jurang perbezaan undi sangat kecil. Jika anda kehilangan sokongan, anda mungkin kalah teruk dalan pilihan raya (umum ke-13).

“Umno tidak kukuh. Kita tidak boleh mengetepikan sesiapa sebab dengan kita kehilangan 100 atau 200 orang, kita mungkin kalah di bahagian-bahagian tertentu,” kata beliau. -TMI


Pendirian anti-PERKASA hanya gimik Umno, kata DAP

DAP mendakwa tindakan Umno yang kononnya berbalah dan memisahkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) adalah hanya sekadar gimik politik BN yang bertujuan memancing undi.

Penolong bendahari DAP pusat, Nga Kor Ming dalam kenyataan akhbarnya berkata Umno terlalu taksub dengan PERKASA sehingga membolehkan parti itu memecahkan ikatan hubungan mereka itu.

Nga berhujah ahli PERKASA yang sebahagian besarnya adalah ahli Umno dan penasihat umum NGO Melayu itu yang disandang oleh bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohammad menguatkan lagi dakwaannya.

Tambahnya lagi, PERKASA juga mendapat sokongan dari akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

“Dengan hubungan yang intim ini, adalah sukar untuk mempercayai bahawa Umno sekarang ini bercadang memutuskan hubungan mereka dengan PERKASA,” katanya.

“Saya percaya ini satu lagi gimik pilihan raya BN untuk memerangkap orang bukan Melayu...dan strategi untuk menarik sokongan kumpulan konservatif kanan Melayu yang selama ini dipinggirkan oleh golongan sederhana dan patriotik Melayu yang memegang kuasa,” kata Nga yang juga ahli parlimen Taiping.

Awal minggu ini, BN berkata ia akan menjauhkan dirinya daripada PERKASA kerana ia boleh menjejaskan usaha untuk memenangi semula sokongan bukan Melayu.

Setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang bercakap bagi pihak parti itu berkata, parti Melayu itu tidak akan mengaitkan dirinya dengan PERKASA selepas menerima tekanan daripada parti-parti komponen BN, yang bimbang dengan pendirian pertubuhan itu yang didakwa bersifat rasis.-mk


Ulasan GB

Dari dua tulisan di atas, ternyata, 100% masyarakat Cina tolak Perkasa. Bagus sangat jika UMNO terus-terusan berpelukan dengan Perkasa, lebih cepat BN runtuh dan lebih pantas Najib tercampak dari kerusi PM. GB dah ulas isu ini di SINI dan SINI

Tiada ulasan: