28 Sep 2010

Kes Sosilawati: Pencarian Bahan Bukti Terbaru, Usha Sambung Beri Keterangan

Empat suspek dibawa ke Ladang Gadong cari bahan bukti terbaru.

Gambar: Kelihatan seorang wakil media sempat merakam suspek kes bunuh di dalam kenderaan polis ketika kenderaan itu memasuki kawasan ladang milik suspek utama bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dan seorang ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini hari ini. foto: Bernama

BANTING - Empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dibawa memasuki Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini, hari ini dengan sebuah van polis.

Tinjauan Bernama mendapati kesemua suspek yang berpakaian oren itu dibawa ke situ kira-kira pukul 11.20 pagi tadi dipercayai bagi membantu pasukan forensik mengesan bukti-bukti terbaru kes itu.

Kira-kira 20 minit sebelum itu, lima buah kenderaan forensik termasuk kereta polis memasuki kawasan ladang itu.

Wartawan dan jurugambar yang pada mulanya dibenarkan memasuki kawasan ladang kemudiannya diarah keluar oleh anggota polis yang mengawal pintu masuk ladang milik suspek utama yang merupakan seorang peguam kira-kira 20 minit kemudian.

Pada kira-kira 3.30 petang, sesemua suspek dibawa keluar dari ladang itu.

Difahamkan tiada sebarang bukti terbaru ditemui selama operasi empat jam itu.

Bagaimanapun, operasi itu dijangka disambung semula esok.

Sosilawati, 47; pemandu peribadinya Kamarudin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat. -Bernama


Usharani sambung keterangan berhubung kehilangan suami

S Usharani, isteri usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilaporkan hilang di negara ini sejak awal tahun lalu, hari ini menyambung keterangan berhubung kehilangan suaminya selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini.

Usharani, 27, tiba di IPD berkenaan pada 1.45 tengah hari bersama Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, dan dua lelaki yang tidak dikenali.

Sebelum ini, Usharani membuat laporan mengenai kehilangan suaminya 8 September lalu dan memberi keterangan berhubung perkara itu di IPD sama pada 23 September.

Semalam, beliau dilihat hadir ke IPD berkenaan pada 10.00 pagi dan meninggalkan premis itu 45 minit kemudian.

Manikavasagam berkata, Usharani memberi keterangan dari jam 2 petang hingga 6 petang dengan bantuan seorang jurubahasa Tamil.

"Proses ditangguhkan hari ini kerana semalam pegawai berkenaan terbabit dalam proses mendapatkan perintah tahanan reman untuk tiga suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain," katanya.

Beliau berkata, Usharani dijangka pulang ke Chennai pagi Rabu depan dan malam ini wanita itu akan melakukan upacara sembahyang untuk suaminya di sebuah kuil di Pudu.
Katanya, Usharani akan dibawa bertemu dengan pegawai Kedutaan India petang esok. -Bernama


Tiada ulasan: