28 Sep 2010

2 Abang Usahawan India Beri Kenyataan Kepada Suruhanjaya Tinggi India

Dua abang usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilaporkan hilang sejak awal tahun ini, Isnin memberi kenyataan berhubung perkara itu kepada pegawai kanan Suruhanjaya Tinggi India di Jalan Taman Duta di sini.

Gambar: Adik kepada kepada jutawan dari India yang hilang, Allal Kanthan Muthuraja, Vijaya Subramaniam (kiri) dan Dr Rasi Visuanathan ketika keluar dari Kedutaan India selepas bertemu Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia mengenai kehilangan abangnya di sini hari ini. foto: Bernama

Vijaya Subramaniam dan adiknya, Dr Kasi Viswanathan tiba di bangunan suruhanjaya tinggi itu pada 3.30 petang dengan ditemani bekas anggota Majlis Tertinggi MIC K P Samy, sebelum dilihat beredar keluar dari bangunan kira-kira 5 petang.

Dr Kasi berkata mereka akan berada di ibu kota sehingga kes kehilangan Muthuraja selesai, manakala ibu bapa mereka akan datang jika diminta berbuat demikian oleh Polis Diraja Malaysia.

"Kami menunggu polis Malaysia memberikan jemputan rasmi kepada kedua ibu bapa kami... Saya akan berada di sini sehingga masalah selesai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar bangunan suruhanjaya tinggi di sini, Isnin.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kedatangan kedua-dua abang jutawan itu.

"Pihak polis tidak mengetahui tentang kehadiran mereka, mungkin mereka dijemput oleh pihak suruhanjaya," katanya.

Muthuraja, 34, dilaporkan hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, sejurus tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas.

Isteri mangsa, S Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 Sept lepas, dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat Jumaat lepas. - BERNAMA


Keluarga saudagar fail bantahan

KUALA LUMPUR: Keluarga saudagar batu permata dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, yang dipercayai dibunuh suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mengemukakan bantahan rasmi secara bertulis kepada Kerajaan Malaysia.

Bantahan difailkan melalui Kedutaan India di Jalan Duta dilakukan adik mangsa, Dr Kasi Vishwanathan, 30-an, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Dr Kasi yang tiba di ibu negara Jumaat lalu bagi memantau perkembangan kes abangnya berkata, keluarganya mengambil keputusan itu selepas kurang berpuas hati dengan pengendalian kes berkenaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, kes kehilangan ahli perniagaan itu dibuat pada 8 September lalu sedangkan ahli perniagaan itu datang ke negara ini pada Januari lalu. Ini menyebabkan polis tiada maklumat terperinci mengenai kehilangan jutawan itu.

Beliau mempunyai perniagaan di Russia juga mendakwa keluarganya tidak pernah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan siasatan kes terbabit, malah tidak pernah dipanggil bagi membantu siasatan termasuk memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) seperti dilaporkan media.

“Tujuan kami ke sini (Kedutaan India) adalah untuk memfailkan bantahan rasmi kepada Kerajaan Malaysia. Banyak perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli keluarga berhubung kes ini.

“Keputusan ini dibuat selepas mendapat nasihat peguam. Yang pasti, kami berada lebih lama lagi di negara ini untuk mengikuti perkembangan kes dan membantu siasatan sekiranya diperlukan,” katanya.

Katanya, segala kenyataan isteri mangsa, S Usharani, 24, juga bercanggah dengan situasi sebenar kehilangan abangnya itu. Antara kenyataan yang dikatakan bercanggah itu ialah mengenai maklumat awal kehilangan suaminya yang dilaporkan media.

Kunjungan Dr Kasi ke Kedutaan India turut ditemani isterinya, seorang wanita warga Russia; adik lelakinya, Vijay Subramaniam dan wakil pembangkang, K P Samy yang bertindak sebagai pegawai perhubungan mereka di Malaysia.

Dalam kejadian 18 Januari lalu, Muthuraja, dilaporkan hilang selepas dijemput dua beradik peguam yang juga suspek utama kes bunuh dan bakar Sosilawati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sebelum dibawa ke Banting.

Sebelum ini, isteri mangsa, Usharani, berkata mangsa yang memiliki perniagaan batu permata, syarikat kewangan, restoran dan hartanah di Chennai, berkunjung ke Malaysia untuk meninjau peluang pelaburan selepas diyakinkan kedua-dua suspek.

Kali terakhir mangsa menghubungi isterinya sejurus tiba di KLIA dan memaklumkan dijemput kedua-dua suspek untuk dibawa ke Banting sebelum gagal dikesan hingga kini. -BH


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

macam kes altantuya nampaknya?

Tanpa Nama berkata...

ini datuk mana boleh siasat, macam datuk kes kapal selam juga.