10 Mac 2010

Gobind Persoal Mengapa Kecederaan Teoh Tidak Ada Di dalam Laporan Pertama (updated)

Peguam mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock berkata kecederaan yang dialami bekas Setiausaha Politik kepada Exco Selangor itu adalah sebelum mangsa terjatuh, seraya mengundang beberapa ersoalan penting.

Gobind Singh Deo berkata dua patologis kerajaan tidak menjawab bagaimana, mengapa dan untuk apa kecederaan-kecederaan ini dalam laporan bedah siasat pertama mereka.

"Pertama sekali, laporan bedah siasat pertama tidak menyebut secara terperinci kecederaan pada leher mangsa, dan saya berpendapat kesaksian dari (pakar patologi kedua) Dr. Shahidan Md Noor telah menonjolkan betapa pentingnya kecederaan pada leher mangsa dalam kes ini," kata Gobind.

"Ini kerana kecederaan ini berlaku sebelum mangsa jatuh. Maka, seseorang perlu bertanggungjawab kerana mencederakan mangsa. Ini mengundang persoalan bagaimana dua pakar patologi sebelum ini tidak perasan atau tidak menonjolkan kecederaan ini dalam laporan mereka," tambah beliau.

Namun sebelum mencapai kesimpulan, Gobind berkata semua pihak perlu menunggu pendapat dari pakar-pakar patologi lain.

"Kita biarkan mahkamah untuk tentukan perkara ini, lagipun kita ada dua lagi pakar patologi iaitu Dr Pornthip Rojanasunand dan Prof Vanezis. Tuan Majistret telah meminta mereka untuk hadir, dan dengar penemuan mereka dahulu, sebelum kita panggil doktor-doktor dari bedah siasat pertama untuk menjelaskan kedudukan mereka," tegas beliau.


Ahli Patologi Nafi Teoh Dijerut Sebelum Terjatuh
Oleh Fazilah Sahir

SHAH ALAM 10 Mac - Ahli patologi yang melakukan bedah siasat kedua ke atas Teoh Beng Hock, Dr Shahidan Md Noor memberitahu mahkamah bahawa tidak mungkin mendiang dipukul atau dijerut sebelum jatuh dari tingkat 15, Plaza Masalam tersebut.

Menurut Dr Shahidan walaupun ada kesan tekanan pada leher namun lebam kebiruan pada bibir dan kuku serta bintik-bintik merah pada muka tidak ditemui bagi mencadangkan bahawa mangsa dibunuh.

"Mungkin terdapat tekanan yang digunakan di bahagian leher. Kesan lebam di leher tidak ada kesan asphyxia. Malah bintik-bintik merah di leher itu bukan penyebab kematian Teoh.” katanya ketika disoal balas oleh Ketua Pendakwa dan Bahagian Perundangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abdul Razak Musa.

Tambah Dr Shahidan lagi kecederaan di kawasan dubur Teoh bukan atas sebab diliwat namun ia konsisten dengan kecederaan akibat terjatuh.

"Kawasan tulang pinggul retak sebelum patah semasa si mati jatuh dan mengakibatkan ia tertusuk di belakang. Kecederaan adalah sebahagian daripada peringkat yang didapati ketika si mati jatuh," katanya lagi.

Malah tiada sebarang kesan atau bukti yang menunjukkan Teoh dipukul atau dilemaskan kerana tiada sebarang tanda seperti lebam di bibir, bintik kemerahan pada muka dan lebam kebiruan di hujung jari.

Dalam pada itu Dr Shahidan yang melakukan bedah siasat kedua pada 22 November lalu menolak laporan oleh ahli patologi Thailand yang mewakili kerajaan negeri Selangor Dr Pornthip Rojasunanand bahawa kepala Teoh dipukul dengan objek yang tumpul.

Ini kerana melalui siasatannya retak yang ditemui di bahagian kanan badan dan tengkorak Teoh menunjukkan konsistensi dengan kesan jatuh.

Jelas beliau keadaan "jatuh" juga boleh diklasifikasikan sebagai satu pukulan objek yang tumpul.

"Kesan retak di kanan tubuh mangsa dan tengkorak konsisten dengan jatuh. Bahkan, jatuh juga boleh ditakrifkan sebagai dipukul objek tumpul," katanya.

Sementara itu Abdul Razak turut memohon pihak Mahkamah Majistret Shah Alam memanggil semula dua ahli patalogi Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar yang melakukan bedah siasat pertama untuk tampil memberi keterangan.

Namun Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Selangor membantah permintaan itu kerana dilihat memberi peluang kepada mereka memperbetulkan kenyataan awal.

Majistret Azmil Muntapha Abas kemudiannya menangguhkan inkues dan memberi ruang kepada Dr Pornthip memberi keterangan pada 20 April ini.

Manakala ahli patologi yang mewakili SPRM Dr Peter Venezis menyusul pada 26 dan 27 April bagi memberi keterangannya pula. - SK




Tiada ulasan: