28 Mac 2009

Pembubaran Balkis : JPPN Selangor Ditegur

Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri (JPPN) Selangor yang menurut anggota Selcat, Mohamed Azmin Ali, tidak memberi nasihat dan ulasan yang tepat kepada jabatan di peringkat pusat berhubung pembubaran Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) dikesali.

Azmin berkata sebagai satu badan di peringkat negeri, JPPN Selangor seharusnya bertanggungjawab memandangkan ia yang telah meluluskan perlembagaan Balkis.

“Mengapa JPPN Selangor ambil inisiatif meluluskan perlembagaan (Balkis), tetapi tidak mengambil inisiatif untuk memastikan sama ada perlembagaan itu dipatuhi atau tidak?,” katanya.

Menurut Azmin, juruaudit bagi Balkis turut mengesahkan yang Balkis tidak memberi penyata kewangan bagi tahun 2007 untuk diaudit walaupun telah diminta beberapa kali.

“Adakah Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya telah melanggar peruntukan dan perlembagaan?,” soal Azmin.

Apa yang menjadi persoalan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau Selcat ialah bagaimana permohonan Balkis untuk dibubarkan diberi kelulusan walaupun penyata kewangan mereka tidak diaudit.

Hadir memberi keterangan hari ini saksi kesembilan Pegawai Pendaftar Pertubuhan JPPN Selangor, Tairah Yusof.

Pengerusi Selcat, Teng Chang Khim pula berkata selepas pembatalan pendaftaran Balkis, semua harta akan diuruskan oleh Jabatan Insolvensi. Ini katanya membawa maksud yang penyata kewangan Balkis yang dihantar ke jabatan itu sudah terlebih dahulu dihantar ke JPPN Selangor.

Menjawab soalan itu, Tairah berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Mana boleh tidak tahu, kamu yang proses, bila (permohonan untuk pembubaran) sudah lengkap baru hantar ke Putrajaya,” soal Teng.

“Kami ingat ia (penyata akaun) yang betul,” jelas Taira.

Menurutnya lagi, selepas mengemukakan permohonan berkenaan kepada pengarah untuk ditandatangani, beliau tidak tahu perkembangan perkara berkenaan selepas itu.

“Ia bukan bidang kuasa kita untuk mengkaji sama ada penyata itu telah diaudit atau belum. Pada saya, kalau dia (Balkis) bagi (penyata) yang tak betul, itu kesalahan dia,” katanya.

Teng berkata jabatan itu seharusnya menyemak dengan teliti permohonan Balkis yang minta dibubarkan, termasuk penyata kewangannya yang perlu diaudit oleh juruaudit yang dilantik mengikut perlembagaan.

“JPPN langsung tak tengok, lebih baik kita musnahkan sahaja Akta Pertubuhan kalau tak semak,” kata Teng.

Tairah berkata urusan penyemakan diuruskan oleh unit kawalan jabatan itu.

selangorkini


Tiada ulasan: