Pergerakan Puteri Umno mahu kerajaan meneruskan dasar PPSMI tanpa sebarang keraguan dan kebimbangan sementara Umno Johor dan Kedah pula mahu Umno mengambil ketetapan tegas memansuhkan dasar tersebut yang diperkenalkan lapan tahun lalu.
Wakil Puteri, Seriwani Sabtu dari Bahagian Setiawangsa berkata, di samping memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, "kita tidak boleh melupakan kepentingan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris."
Justeru usaha-usaha memberi kesedaran terhadap orang Melayu terutamanya betapa penting bahasa ini di peringkat global, kata beliau yang merupakan pembahas ketiga menyentuh usul pendidikan dan agama hari ini - hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2008.
Tujuh perwakilan membahaskan usul sebelum ucapan penggulungan mulai 11 pagi ini.
Tambah beliau, PPSMI harus diteruskan tanpa ada keraguan dan kebimbangan bahawa bahasa ibunda akan terjejas.
"Sekurang-kurangnya dengan ada PPSMI pelajar-pelajar kita terutama bangsa Melayu telah mendapat pendedahan terhadap bahasa global ini dan di peringkat awal lagi.
"Ini dapat memberi mereka persediaan yang lebih mantap untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Dalam pada itu, perwakilan dari Johor, Ayub Rahmat menegaskan, Umno negeri tersebut mahu Majlis Tertinggi (MT) mengambil tindakan tegas untuk memansuhkan PPSMI.
"Jika MT boleh memutuskan untuk laksanakan dasar ini, badan ini juga harus bertindak tegas mansuhkan dasar PPSMI," kata beliau.
Jelas beliau, pendirian Umno Johor bukan bermakna pihaknya menghalang penggunaan bahasa Inggeris tetapi mahu bahasa kebangsaan dipertahan martabatnya.
Perwakilan dari Pendang, Kamal Saidin turut persoalkan mengapa mahu mendaulatkan bahasa penjajah sedangkan kebanyakan ilmu yang tersebar di dunia sebelum ini tidaklah menggunakan bahasa Inggeris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan