28 Mac 2009

Khir Toyo Bukan Saja Wajar Kalah, Malah Wajar Dipenjarakan

Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyalahkan Pakatan Rakyat sebagai salah satu punca kekalahannya dalam persaingan merebut jawatan ketua Pemuda Umno Rabu lalu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini - tempat berlangsungnya perhimpunan agung Umno -Dr Mohd Khir berkata kerajaan siasatan Pakatan Rakyat Selangor terhadap isu Balkis telah mempengaruhi pengundian perwakilan.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Selangor itu bertegas bahawa beliau tidak bersalah kerana siasatan pihak polis mendapati beliau dan pertubuhan tersebut, tidak melakukan sebarang kesalahan.

Kontroversi membabitkan Balkis tercetus apabila dilaporkan dana miliknya dipindah ke akaun lain apabila Selangor jatuh ke tangan Pakatan dalam pilihanraya umum 8 Mac 2008.

Bekas presiden Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik, yang juga isteri Dr Mohd Khir, dilaporkan telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 11 Mac tahun lalu untuk membubarkan pertubuhan itu dan menutup akaunnya sehari kemudiannya.

Sementara itu, Khir Toyo mungkin digantung dari menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri, manakala isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik akan dikenakan tindakan undang-undang kerana enggan hadir di perbicaraan awam Selangor.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim berkata, kedua-dua mereka didapati ingkar terhadap perintah dewan untuk memberi penjelasan pada mesyuarat jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat) bermula Isnin lalu.

Teng hairan kerana Khir Toyo mempertikaikan kesahihan jawatankuasa yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor, Mei tahun lalu.

“Apabila Selcat ini dibentang untuk diluluskan pada bulan Mei 2008, tidak ada bantahan daripada mana-mana ahli, termasuk Khir Toyo sendiri. Beliau tidak membangkitkan apa-apa bantahan terhadap penubuhan Selcat ini.

“Saya tidak tahu mengapa beliau mengambil 10 bulan mengatakan beliau tidak setuju dengan penubuhan badan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Selcat hari ini.

Teng memberitahu, beliau menerima surat daripada Khir Toyo dan isterinya melalui peguam mereka pada petang Isnin lalu, iaitu pada hari pertama siasatan awam Selcat dijalankan.

Sembilan orang telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) pada siasatan awam Selcat yang pertama kali diadakan di Negara ini.

Antaranya, bekas Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Datuk Harun Salim, Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Datuk Abdul Karim Munisar, Pengurus Besar Prebadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Haji Nordin Md Dahan dan Ketua Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad, Datin Khairiyah Abu Hassan.

Mengenai tindakan yang boleh dikenakan ke atas Khir Toyo yang enggan hadir pada perbicaraan awam itu, Teng memberitahu;

“Kalau mengikut bidang kuasa yang ada, mengikut amalan dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, hukuman yang boleh dikenakan ke atas mana-mana ahli yang telah melanggar hak dan kebebasan dewan, boleh digantung kerja dan boleh dirampas elaun Adun.”

Manakala bagi isteri Khir Toyo, Datin Seri Zaharah Kechik, Teng berkata Setiausaha Dewan Undangan Negeri Selangor, akan membuat laporan polis kerana Zaharah didakwa melakukan kesalahan melanggar perintah dewan.

Laporan polis itu akan dibuat selepas siasatan awam Selcat itu tamat, Rabu depan.


Tiada ulasan: