28 Mac 2009

Bukit Selambau : Kemenangan Pertama Pakatan Rakyat

Bernama melaporkan seorang peniaga yang sudah menyatakan hasratnya bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menarik diri sehari sebelum hari penamaan calon.

Mohd Reduan Md Isa, 52, berkata beliau membuat pengumuman untuk bertanding pada tiga minggu lalu, tetapi kemudiannya menukar fikiran selepas berbincang dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

"Masa saya umumkan bertanding misi saya ialah untuk membela rakyat dan menerusi perbincangan dengan Anwar Ibrahim baru-baru ini, saya dapati misi kami sama iaitu untuk membawa perubahan dan oleh kerana itu saya tidak bertanding untuk memberi sokongan pada calon PKR," katanya kepada pemberita di bilik gerakan PKR di sini, hari ini.

Beliau menafikan dakwaan kononnya mendapat inisiatif daripada pihak tertentu untuk menarik diri.

Bekas Ahli Jawatankuasa PKR Bahagian Merbok itu, berkata beliau akan memberikan sokongan kepada calon PKR S Manikumar yang akan bertanding.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Ahmad Kasim berharap lebih ramai calon Bebas menarik diri dan memberi laluan kepada PKR dan Barisan Nasional (BN) bertanding bagi satu lawan satu.

"Jika calon bebas itu mempunyai latar belakang daripada PKR, maka calon itu akan menarik sedikit sebanyak pengundi PKR. Jadi kalau ramai yang jadi calon Bebas daripada PKR, maka rugilah kita," katanya.

Setakat ini, 10 calon bebas sudah membayar deposit untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Mengenai hari penamaan calon esok, beliau menganggarkan kira-kira 10,000 penyokong PKR akan memberikan sokongan kepada calon mereka iaitu Manikumar.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau diadakan berikutan peletakan jawatan V Arumugam daripada PKR pada 8 Februari lalu.

Tiada ulasan: