1 Dis 2009

Isu Doa & Royalti : Kerajaan Kelantan Mahu Jumpa Najib

Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat mengadakan pertemuan dengan Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat bagi membincangkan isu tuntutan royalti minyak yang tertangguh.

Pengerusi Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Najib supaya perbincangan tersebut dapat diadakan dalam masa terdekat.

“Pertemuan tersebut diadakan bagi menerangkan kepada Kerajaan Pusat kenapa Kelantan berhak mendapatkan royalti berbanding dengan wang ihsan yang diberikan. Hak rakyat tetap dipertahankan dan perkara ini diakui oleh bekas pengerusi Petronas Tengku Razaleigh sendiri,” katanya semalam.

Mengenai kenyataan Najib yang menjelaskan bahawa tidak ada beza antara royalti dengan wang ihsan kerana jumlah yang diberikan adalah sama, Husam berkata; “Sebab itu kita perlu adakan pertemuan ini. Saya akan memperjelaskan kepada Najib apakan perbezaan keduanya.”

Husam berkata, jika isu tersebut tidak diselesaikan sebaik mungkin, nama negara akan terjejas di peringkat antarabangsa memandangkan tuntutan yang dilakukan berdasarkan perjanjian yang telah dibuat sebelum ini.

Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Desa dan Bio Teknologi, Abdullah Mat Nawi berkata, tindakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minta bala kepada UMNO dan Perdana Menteri adalah tepat berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat.

Malah katanya, doa itu sepatutnya dilakukan oleh rakyat Kelantan memandangkan Kerajaan Pusat telah bertindak mencuri hasil petroleum yang ada di negeri ini.

“Saya anggap ini sebagai pencuri kerana kerajaan tidak pernah memberitahu bahawa mereka telah meneroka minyak di negeri ini. Tetapi apabila kita memanaskan isu baru mereka memberikan wang ihsan, yang peliknya setelah mencuri mereka pula minta berterima kasih, itulah kerajaan UMNO,” katanya.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau sedia berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelbagai perkara termasuk isu royalti petroleum jika ruang perbincangan dibuka.

Katanya, beliau sebelum ini bukan tidak mahu berbincang namun sudah serik dengan tindakan UMNO yang mengabaikan suratnya bagi meminta penjelasan tentang beberapa perkara berbangkit.

"Kalau nak bincang, bincanglah. Saya sedia. Hantarlah surat nanti saya akan pergi (berbincang). Saya sebenarnya sudah perit. Dulu pernah saya hantar surat kepada Perdana Menteri tanya kenapa UMNO tolak Islam (cara hidup Islam) dan beberapa perkara lain, namun sampai sekarang masih tiada jawapan.

"Telefon pun tidak, surat pun tiada. Lagipun minyak tersebut hak milik kita. Kenapa pula kita hanya diberi wang ihsan, (sepatutnya) kita yang ambil dan bagi dia (Pusat) wang ihsan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir di Kompleks Markaz Dewan Ulamak (Madu), Labok di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam yang menyatakan Nik Abdul Aziz harus menggunakan pendekatan perbincangan untuk mencari penyelesaian dan bukannya menggunakan cara yang boleh mencetus pergaduhan.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz berkata, tindakannya yang mahu berdoa tersebut adalah salah satu usahanya bagi memastikan hak rakyat Kelantan terbela dan tidak salah apabila ditujukan sekiranya Najib mempunyai niat jahat untuk tidak memberikan royalti minyak sebaliknya hanya menawarkan wang ihsan.

Dalam pada itu, Husam berkata, isu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, yang dibangkitkan oleh media adalah semata-mata untuk mencetuskan kontroversi kepada kerajaan Pas Kelantan pimpinan Nik Abdul Aziz.

Beliau yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan berkata, sesetengah media hanya melaporkan separuh daripada kenyataan sebenar Menteri Besar Kelantan sekali gus itu sekali gus menimbulkan kekecohan.

“Bukan soal sokong atau tidak (kepada kenyataan) tersebut, tetapi Nik Aziz berkata, doa itu ditujukan kepada Najib sekiranya dia tidak melaksanakan tuntutan Kerajaan Negeri. Jadi kalau perkara ini dipenuhi perkara ini tidak berbangkit,” katanya.

Tiada ulasan: