1 Dis 2009

BTN Sudah Lari Dari Matlamat Asal


Ketua Perhubungan Parti Pakatan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman menganggap Biro Tata Negara (BTN) dijadikan alat oleh pemimpin tertentu untuk menghentam parti pembangkang melalui pelbagai isu yang dicetuskan.

Menurut beliau, matlamat awal kewujudan BTN secara tersurat dilihat sangat baik untuk rakyat, sebagai satu platform untuk memupuk sivik konvensional, namun terdapat pihak yang cuba mencabuli matlamat asal itu secara tersirat, iaitu untuk mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN).

“Dahulu, BTN sangat relevan untuk rakyat negara ini mendapat pemahaman mengenai cita-cita negara melalui pengisian kursus yang menerapkan input mengenai dasar kerajaan yang disampaikan secara terus.

“Apabila rakyat memahami mengenai dasar kerajaan, mereka akan membuat pilihan untuk menyokong kerajaan, namun sekarang ia sudah menjadi medan untuk pihak tertentu memburukkan pemimpin lain dan memberi gambaran negatif kepada sesebuah parti politik.

“Saya cukup kecewa apabila lama-kelamaan, ia semakin memperlihatkan perbuatan menghentam parti pembangkang, apabila BTN membangkitkan isu skandal pemimpin politik terdahulu kepada peserta kursus yang kebanyakan terdiri daripada golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan untuk menghentikan BTN oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, kerana berpendapat BTN mencetuskan semangat perkauman dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.

Fauzi menegaskan, hasrat untuk melahirkan masyarakat 1Malaysia pasti tidak akan tercapai sekiranya matlamat BTN itu terus diseleweng pemimpin yang terlibat.

Katanya, usaha ‘bijak’ yang dilakukan menerusi BTN oleh sesetengah pemimpin boleh memecah-belah masyarakat secara sistematik.

“Justeru, saya cukup bersetuju sekiranya BTN dimansuhkan, sekiranya pengisian kursus berterusan dipergunakan untuk memburukkan dan menghentam pemimpin politik yang dikaitkan dengan pelbagai isu.

“Cadangan menubuhkan BTN di negeri yang diterajui parti pembangkang adalah satu cara untuk memperkenalkan dasar alternatif yang diamalkan oleh setiap negeri,” katanya.

Fauzi turut menyatakan rasa terkilan, apabila institusi perlembagaan sudah tidak dihormati, malah menjadi semakin kucar-kacir kerana kerajaan seperti menutup mata terhadap kepentingan Perlembagaan Negara. -SH

Tiada ulasan: