14 Jul 2009

MANEK URAI : PAS AKAN MENANG BESAR

Hari ini hari mengundi, kemenangan hampir pasti memihak kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah di Manek Urai.

Inilah mood yang ada di kawasan pilihan raya ini. Para pemimpin Pakatan Rakyat kelihatan gembira manakala kem Umno mulai resah.

“Mereka (pemimpin Umno) tidak jawab panggilan telefon dah petang ini,” kata seorang wartawan veteran yang membuat liputan pilihan raya kecil ini untuk sebuah akhbar harian.

“Saya jangkakan, PAS akan menang lebih baik dalam pilihan raya ini berbanding pilihan raya umum lalu,” kata seorang petugas bilik gerakan PAS.

Sementara itu, petang tadi, sebuah badan pro-PAS mengeluarkan poll yang mereka buat semalam.

Dari 520 respondan yang mereka hubungi, 61.2 peratus dari mereka berkata akan mengundi PAS esok manakala 38.8 peratus berkata akan mengundi Umno.

Berdasarkan kepada ketiga-tiga sumber itu bolehhlah dibuat andaian PAS akan menang dengan majoriti melebihi majoriti yang mereka perolehi dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS, Ismail Yaakub mengalahkan calon BN dari Umno dengan majoriti 1,325 undi.

Menurut seorang profesor sains politik dari sebuah pusat pengajian di Singapura yang turun ke Manek Urai mulai semalam, kebanyakan pengundi yang beliau temui berkata, “Saya akan undi Tok Guru.”

Ia merujuk kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am yang menjadi ikon kempen pilihan raya PAS kali ini.

PAS telah menjadikan Nik Aziz sebagai ikon kempennya dalam pilihan raya ini dengan slogan “Pimpinan Tok Guru Manek Urai Berkat.”

Ekoran ikon ini, antara kempen Umno adalah menyerang Nik Aziz secara peribadi atau kepimpinannya.

Menyerang Nik Aziz adalah antara kesilapan besar BN dalam pilihan raya kali ini. Ini kerana, rakyat Kelantan terlalu sayang dengan MB mereka ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, penduduk Kelantan berduyun-duyun balik ke Kelantan dengan satu tujuan, “Selamatkan Negeri Tok Guru” yang ketika itu mendapat ancaman paling getir sepanjang tempoh PAS memerintah Kelantan.

Ini kerana, ketika itu, kerajaan PAS hanya bertahan dengan kelebihan satu kerusi sahaja. Salah satu dari kerusinya pula adalah Kemuning yang dimenangi oleh Zakaria Yaakub dengan hanya majoriti dua undi.

Kebetulan pula dua undi itu datangnya dari sepasang suami isteri yang bertugas di Sarawak yang balik mengundi PAS dalam pilihan rayya 2004 lalu.

Apabila jentera BN secara besar-besaran menyerang kerajaan negeri Kelantan dalam pilihan raya 2008 lalu, penyokong PAS di luar Kelantan pulang untuk mempertahankan negeri Tok Guru dari jatuh ke tangan Umno.

Dalam pilihan raya kali ini sekali lagi sejarah akan berulang apabila Umno mengambil pendekatan menyerang Nik Aziz.

Hampir 2,000 pengundi PAS berada di luar kawasan pilihan raya itu. Dalam pilihan raya umum lalu, kirta-kira 1,200 dari mereka pulang mengundi.

Dalam pilihan raya kali ini, PAS mengharapkaan sekurang-kurangnya 1,000 dari mereka pulang mengundi kali ini.

Jika mereka benar-benar pulang, harapan untuk menang dengan majoriti yang lebih besar akan menjadi kenyataan. -MI

Tiada ulasan: