14 Jul 2009

Manek Urai : Pakatan Rakyat Semakin Mantap - Hadi

Pakatan Rakyat semakin utuh dan mantap kerana ketiga-tiga parti dalam gagasan itu adalah mangsa kezaliman UMNO dan tidak mempunyai perwatakan oportunis seperti parti Barisan Nasional itu, kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, Angkatan Perpaduan Ummah yang disertai oleh PAS dan Semangat 46 tidak dapat bertahan kerana golongan UMNO dalam gagasan itu bersikap opportunis dan hanya mencari kuasa politik semata-mata.

"Pakatan Rakyat sebaliknya dianggotai mereka yang dizalimi dan dianiayai oleh sistem yang ada. Tidak ada ruang opportunis kerana golongan ini ialah golongan yang tidak bersedia menghadapi kezaliman atau melarikan diri daripada cabaran. Saya melihat Pakatan Rakyat yang kita ada pada hari ini sanggup menghadapi cabaran,"katanya.
Menurut Hadi, kerjasama antara PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP semakin mantap sejak pilihanraya umum yang lalu.

"Kita telah berjaya memimpin 5 buah negeri, walaupun Perak telah jatuh, kita telah menunjukkan satu kejayaan yang sangat baik, melalui kerajaan negeri yang kita kuasai, di Kelantan yang kita pertahankan, di Kedah, di Selangor di Pulau Pinang, kita memimpin sehingga kini, tidak ada ruang bagi BN untuk bertindak kepada kita atas sebab penyelewengan,"katanya.

"Saya yakin dan percaya BN akan menyalahgunakan kuasa politik untuk menerokai segala ruang bagi menjatuhkan kerajaan kita, namun sehingga kini tidak ada apa-apa masalah yang boleh diambil oleh mereka,"ujarnya.

Hadi sekali lagi menegaskan Pas menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan menuduh parti komponen BN itu memperalatkan media bagi terus menjaja isu Kerajaan Perpaduan untuk cuba mengelirukan orang ramai dan memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, konsep perpaduan yang beliau anjurkan melibatkan kerjasama semua parti politik dalam membawa pembaharuan ke arah mewujudkan institusi yang adil dan berwibawa di negara ini.

Sebaliknya, Umno menolak syarat itu, sebaliknya cuba menghadkan usaha berkenaan kepada kerjasama di antara Pas dan UMNO.

"Kerajaan Perpaduan yang kita maksudkan melibatkan semua parti politik, membersihkan sistem yang ada, mewujudkan SPR, Kehakiman, pentadbiran yang adil. Ini tidak disetujui oleh Umno. Umno yang menolak sebenarnya perpaduan yang bersifat ini, mereka telah mengalihkan perhatian kerjasama PAS dengan Umno sahaja, meninggalkan parti-parti lain dan cuba menghancurkan Pakatan Rakyat,"ujar beliau.

"Ini trend yang mereka bawa melalui media, dan inilah yang menyebabkan ahli-ahli PAS marah. PAS tidak mahu bersama Umno kerana masih dibayangi oleh kezaliman-kezaliman Umno di masa lalu dan Pas masih mahu bersama dengan Pakatan Rakyat,"katanya.

Menurutnya, meskipun Umno cuba memutarbelitkan fakta, namun beliau percaya akar umbi menyedari gimik UMNO adalah hanya untuk memecahbelahkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Hadi berkata walaupun berusia setahun jagung, Pakatan Rakyat mempunyai kematangan politik untuk berdepan dengan mainan politik UMNO.

Gagasan Pembangkang itu tetap utuh meskipun berlainan ideologi dan mempunyai perbedaan pendapat atas isu-isu tertentu.

Namun, Hadi berkata, Pakatan berjaya menemui titik persefahaman dalam pelbagai perkara yang berpaksi kepada membanteras penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan oleh BN.

"Kerjasama dalam PR adalah kerjasama berasaskan kepada titik-titik persamaan, bukan berasaskan kepada perbezaan ideologi, agama dan bangsa.

Titik persamaan untuk menegakkan yang adil, menegakkan yang baik, menentang penyelewengan, menentang kezaliman. Ini titik persamaan yang berlaku dan titik persamaan ini masih wujud dan sebab itu saya tidak nampak akan berlaku kerenggangan dalam hubungan ini,"katanya.

Menurutnya, Pakatan Rakyat mempunyai banyak persamaan dalam memperjuangkan pelbagai isu seperti pemansuhan akta zalim ISA dan perjuangan menuntut kebebasan Kehakiman.
"Isu bahasa sebagai bukti, isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, di mana kita bersatu dalam isu ini.

DAP memperjuangkan bahasa ibunda, kita memperjuangkan Bahasa Melayu, Bahasa kebangsaan dan saya rasa banyak lagi isu yang lain, isu menentang rasuah, ini adalah perkara yang sama, ini barah yang melanda kerajaan yang memerintah, yang menimpa kita menyebabkan kita boleh bersama dalam isu ini dan boleh mengadakan hubungan antara satu sama lain," katanya. -Rusnizam Mahat

Tiada ulasan: