14 Jul 2009

MANEK URAI : Faktor 1 Kekalahan BN - Politik Ugut TPM

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin diselar oleh beberapa ADUN Selangor kerana menjanjikan jambatan jika BN berjaya di dalam pilihanraya kecil Manek Urai hari ini.

ADUN Sekinchan Ng Suee Lim menyifatkan tindakan penaburan gula-gula politik untuk menarik sokongan rakyat telah sebati dengan jiwa mereka dan sikap buruk itu tidak dapat dibuang lagi.

"Sikap sedemikian telah dianuti oleh UMNO BN selama dulu, kini dan selama-lamanya untuk menarik sokongan rakyat dan saya berpendapat cara itu sudah tidak relevan lagi," ujarnya.

Beliau menyelar tindakan Timbalan Perdana Menteri yang masih mengamalkan "politik ugut" - "sokong dapat tak sokong tak dapat".

Muhyiddin sebelum ini menyatakan Manek Urai akan dijadikan sebuah kota agropolitan untuk melonjakkan pembangunan dan menjana ekonomi rakyat yang masih memerlukan banyak pembelaan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, seiring dengan perancangan memajukan pertanian secara komersial itu, prasarana untuk keselesaan rakyat akan disegerakan oleh Barisan Nasional (BN) termasuk membina jambatan baru menghubungkan Manek Urai Lama dan Baru.

Menurut beliau, jambatan baru dua lorong yang dijangka membabitkan kos RM7 juta itu akan segera dibina jika BN diberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Kenyataan Muhyiddin itu jelas telah membuka pekung parti pemerintah pusat yang suka membeli rakyat.

ADUN Kinrara, Teresa Kok juga menyelar kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin berkenaan yng sanggup mengenepikan kepentingan rakyat jika kepentingan mereka tidak dipenuhi.

Teresa berkata membina jambatan dan sebagainya adalah tanggungjawab kerajaan pusat dan bukan hanya dilaksanakan pada setiap kali pilihanraya.

Beliau mempersoalkan kata dua dari TPM itu dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk rasuah dan menyatakan menjadi tanggungjawab kerajaan pusat menyediakan prasarana tersebut kerana semua rakyat tidak kita parti membayar cukai.

"Apakah ini (sikap TPM tersebut) sejajar dengan konsep 1Malaysia?" tanya Teresa lagi.

Sementara itu ADUN Kota Alam Shah, M.Manoharan berkata, di sebalik retorik membasmi rasuah, kerajaan pimpinan Najib ini tidak dapat mengikis projek mee segera kepada rakyat.

Ramai pemerhati politik berpendapat kenyataan Muhyiddin berkenaan menyumbang kepada faktor kekalahan UMNO BN pilihanraya kecil Manek Urai yang berlansung hari ini.

Rakyat Kelantan sudah biasa diugut dengan hal sedemikian pada setiap kali pilihanraya umum atau kecil dan mereka tidak boleh diperbodohkan oleh Muhyiddin dan sekalian pemimpin UMNO BN.



Tiada ulasan: