26 Jun 2009

MANEK URAI : PAS UMUMKAN CALONNYA

PAS akan mengisytiharkan calonnya untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada malam ini bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat.

Seorang peniaga ikan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Kuala Krai, Mohd. Fauzi Abdullah disebut-sebut sebagai calon.

Pemilihan Mohd. Fauzi dibuat berdasarkan komitmennya terhadap parti itu selain beliau amat rapat serta dikenali oleh kebanyakan penduduk di kawasan itu terutama di Manek Urai.

Beliau adalah bekas penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil untuk parti tersebut ketika kerusi itu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada 2004 tetapi kerusi itu diberikan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun tiga nama lain juga disebut-sebut sebagai bakal calon Pas pada pilihan raya kecil itu.

Mereka ialah Ketua Pemuda Pas Kuala Krai, Mahadi Mohd. Zain; bekas calon Pas pada Pilihan Raya Umum 2004 di DUN Manek Urai, Mohd. Zamzuri Mat Lazim dan Setiausaha Pas kawasan Kuala Krai, Mohamad Harun.

Pas Kawasan Kuala Krai sebelum ini menafikan laporan bahawa satu mesyuarat ahli jawatan kuasa diadakan beberapa hari lalu dan mereka bersetuju memilih Bendahari Pas kawasan, Mohd Fauzi Abdullah sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, laporan dan maklumat yang disiarkan dalam sebuah laman web berita berhubung perkara itu sama sekali tidak benar kerana Pas kawasan tidak pernah mengadakan mesyuarat berkenaan.

Justeru katanya, tidak timbul soal Pas Kawasan Kuala Krai akan mengadakan mesyuarat sekali lagi semalam setelah dikatakan ada dalam kalangan ahli jawatan kuasa yang tidak bersetuju dengan pencalonan Mohd Fauzi sebagai calon pada mesyuarat pertama seperti dilaporkan laman web itu.

“Nama yang dicadangkan sebagai calon sudah diangkat (dikemukakan) kepada Badan Perhubungan Pas Kelantan sejak dua minggu lepas dengan mengambil kira pandangan dan pendapat akar umbi.

“Jadi maklumat mengatakan kita (Pas kawasan) mengadakan mesyuarat dua hari lalu atau pada hari ini untuk memlih semula calon bagi pilihan raya kecil DUN Manek Urai bulan depan adalah tidak benar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Latiff berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman web Malaysiakini semalam yang menyebut ahli jawatankuasa Pas Kawasan Kuala Krai mengadakan mesyuarat dua hari lalu dan bersetuju memilih (Mohd) Fauzi Abdullah untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan bagi bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai bulan depan.

Laman web itu memetik seorang ahli jawatan Pas kawasan itu, Zulkifli Yaacob yang berkata, mesyuarat itu bagaimanapun terpaksa diadakan sekali lagi, dijangka semalam, untuk memilih calon baru selepas ada dalam kalangan AJK ‘menukar fikiran’ dan mahu calon lain untuk dicadangkan kepada Pas Pusat.

Abdul Latiff yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan berkata, Pas kawasan akan menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh Badan Perhubungan Pas negeri dan Pas Pusat untuk bertanding pada pilihan kecil berkenaan.

Menurutnya, perkara paling penting dan tumpuan utama Pas kawasan pada masa ini ialah untuk bekerja kuat bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai nanti kekal di tangan parti itu.

Katanya, semua pihak seharusnya bersabar dan menunggu siapa sebenarnya yang dipilih sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diumumkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Manek Urai Lama, malam ini.

Tiada ulasan: