Perpaduan cara UMNO telah gagal selama 50 tahun mereka memerintah, dan kegagalan ini menjadi bukti pengkhianatan UMNO terhadap orang Melayu. Sekarang UMNO masih bercakap tentang perpaduan Melayu, yang diluaskan menjadi perpaduan kebangsaan.
Semua istilah ini karut dan sudah dibuktikan tidak berkesan, lebih banyak mendatangkan masalah dan mengusutkan perkara yang telah terurai. Yang jelas mendapat faedah daripada perpaduan Melayu dan sebagainya itu ialah ketua-ketua UMNO yang menggunakan “perpaduan Melayu” untuk mengaut kekayaan negara untuk faedah anak-beranak dan sahabat handai.
Perhatikan betapa mewahnya kehidupan ketua-ketua UMNO, yang mendiami rumah-rumah besar, mempunyai harta yang banyak dan tanah-tanah berharga mahal di kawasan tertentu yang mereka bangunkan untuk kononnya bagi maksud pembangunan negara, tetapi telah terlebih dahulu mereka ambil.
Apabila pembangunan dibuat di kawasan itu, tanah-tanah mereka dibeli oleh kerajaan mereka sendiri dengan harga mahal, dan menurut mereka semua kekayaan yang mereka perolehi melalui perbuatan menipu itu adalah halal dari segi agama dan undang-undang. Kini mereka dengan beraninya berkata undi UMNO dalam pilihan raya akan membawa ke syurga. Dahulu mereka kutuk PAS yang mengelirukan rakyat kononnya jika undi PAS boleh masuk syurga kerana PAS memperjuangkan Islam.
Sekarang kumpulan yang memperjuangkan nasionalisme Melayu dengan slogan perpaduan Melayu dan Satu Malaysia juga sudah membuat kontrak dengan Allah Ta’ala bahawa para pengundi di Manek Urai dalam pilihan raya kecil nanti akan diberi tiket oleh UMNO untuk ke syurga. Begitu rendah harga syura itu di mata ketua-ketua UMNO, boleh dijual beli dalam pilihan raya. Inilah jenis manusia yang bercakap tentang perpaduan Melayu, tentang kerajaan perpaduan, tentang Satu Malaysia.
Perkembangan terbaru ini adalah hasil propaganda yang berlebihan tentang Satu Malaysia, yang kini sudah menyediakan peti undi bagi orang Melayu yang akan membawa mereka ke syurga. Begitu murah sekali harga syurga bagi pemimpin yang sedang mabuk Satu Malaysia ini! Dalam sejarah perjuangannya, UMNO telah membuktikan kejayaan besar parti itu memperkaya ketua-ketua UMNO setiap peringkat, yang boleh disaksikan oleh rakyat. Pada waktu ini sudah sampai masanya satu kajian mendalam dibuat untuk menilai dengan adil kejayaan UMNO ini.
Kekayaan para pemimpin UMNO boleh saja dikaitkan dengan “pembangunan” Malaysia, peri banyaknya jalan raya yang berlubang, bangunan besar dan mahal yang runtuh, rumah-rumah untuk rakyat yang tidak disudahkan dan pembelinya terperangkap dalam hutang yang amat membebankan, ramainya pelumba muda di jalan-jalan raya di kota-kota dan di kampung-kampung yang mendapat nikmat pembangunan itu untuk membuat kacau dan membunuh diri sendiri (kumpulan ini kini diberi nama baru “samseng jalanan”). Ada lagi kejayaan UMNO yang sungguh mengagumkan ketua-ketua UMNO, iaitu peri pentingnya adab sopan dalam kehidupan sekarang.
Ini dicontohkan oleh ketua-ketua UMNO dan isteri mereka semasa berada dalam upacara negara yang dihadiri oleh Yang di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Dalam istiadat Hari Jadi Agong baru-baru ini, kita lihat Raja Permaisuri Agong berpakaian lengkap cara Islam dengan kepala baginda bertutup; tetapi isteri PM dan Menteri Penerangan melepaskan rambut cantik mereka yang telah didandan dengan teliti dan mungkin agak mahal dibayar oleh ... (tidak pasti siapa!). Perkara ini disebut di sini kerana Menteri Penerangan yang pernah menjadi Menteri Kebudayaan dsbnya dengan lantang memulakan kempen adab sopan.
Tidak termasuk dalam sistem adab sopan moden itu nilai-nilai lama yang dipelihara oleh masyarakat. Mungkin mereka tidak tahu kerana mereka tidak mengamalkannya. Nilai kesopanan Melayu yang terpakai, ketika mengadap di istana, maka baik lelaki mahu pun bini mereka, diwajibkan mengenakan pakaian yang sesuai dengan istiadat. Jika Raja Permaisuri Agong memakai tutup kepala cara Islam, maka rakyat baginda yang perempuannya yang datang mengadap hendaklah meraikan kesopanan Melayu dengan menutup kepala mereka secara Islam, atau paling tidak cara adab Melayu dengan bertudung. Itulah kesopanan Melayu.
Oleh itu amat tidak sopan dan sangat janggal apabila perempuan-perempuan Melayu yang mengadap di Istana Negara membiarkan kepala mereka merdeka dengan rambut mereka begitu angkuh didandan mahal, padahal ketika itu mereka mesti bertudung atau paling tidak berkelubung. Itulah adat Melayu. Adakah orang yang tidak meraikan adat ini derhaka atau biadab, tidak tahu adat dan tidak beradab? Tiada siapa pun yang boleh menjawabnya melainkan Menteri Penerangan yang dengan gigih memulakan kempen kesopanan negara.
Contoh yang diberikan di sini dengan amat jelas membuktikan tindak tanduk pemimpin UMNO memang sangat janggal. Mereka menyuruh orang bersopan santun, tetapi ketua-ketua mereka sendiri tidak sopan seperti dalam contoh di atas. Mereka bercakap tentang perpaduan, tentang keadilan, tentang amanah, tetapi semua perbuatan mereka bertentangan dengan perkataan mereka sendiri.
Kita mahu dengar daripada para ulama UMNO dan mufti-mufti yang mereka lantik tentang perkara ini. Kalau mereka tidak mahu menjelaskan, mereka harus pergi. Ke mana mereka mahu pergi adalah hak mereka menentukannya. Yang jelas, mereka tidak patut berada di tempat mereka sekarang untuk menjadi sampah dan menyusahkan orang lain. -[24/6/2006] Mohd. Affandi Hassan
1 ulasan:
Agre 100 percent.Ketua ketua umno ini tak malu menuduh DSanwar dengan macam macam fitnah dan tomahan.Lihatlah pada kesopanan dan penampilan anak isteri beliau dan bandingkan seperti apa yang dikatakan oleh penulis diatas.
Catat Ulasan