26 Jun 2009

Isu Manek Urai : Sharizat Perlu Dedah Siasatan Kes Rogol Penan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sharizat Abdul Jalil digesa mendedahkan hasil siasatan kes rogol dan penderaan seksual lain keatas wanita, gadis bawah umur kaum Penan di Sarawak oleh pembalak di Baram.

Laporan pertama kes seumpama itu telah didedahkan sejak tahun 1993. Hanya pada 27 Mei lalu, Sharizat menyerahkan hasil siasatan terhadap isu itu kepada Jemaah Menteri.
Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin menggesa Sharizat supaya mengumumkan hasil siasatan berkenaan untuk mencerminkan ketelusan dalam membela nasib kaum minoriti dinegara ini.

"Wanita Keadilan menuntut agar Sharizat segera mengedar laporan tersebut kepada umum agar dapat diteliti dan bersama mencari penyelesaian terhadap perlakuan sesuka hati pemangsa dalam penderaan dan keganasan seksual keatas wanita, gadis dan anak- anak Penan yang lemah itu. Jika Menteri gagal berbuat demikian, ia seolah- olah membenarkan penerusan perbuatan keji itu oleh mereka yang sama sekali telah hilang sifat kemanusiaannya." Ujarnya

Zuraida berkata tindakan kerajaan merahsiakan laporan itu amat meragukan dan membawa persepsi pihak berkenaan tidak ikhlas dalam membela penduduk Penan.

"Kelewatan yang bertimpa- timpa ini memberi persepsi bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh kerajaan atau kerajaan tidak ingin membawa ke pengadilan mereka yang telah dikenalpasti bertanggungjawab mengenai pencerobohan dan keganasan seksual yang keji itu. Polis Sarawak juga telah didakwa bersikap prejudis atau tidak kompeten dalam menangani permasalahan wanita dan gadis Penan ini" kata Zuraida.

Pada tahun 2000, wakil penduduk Penan telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasai Manusia SUHAKAM mengenai penderaan seksual kaum wanita mereka tanpa sebarang tindakan dari polis.

Tahun lepas sahaja sekurang-kurang 11 wanita Penan dirogol oleh pembalak di Baram. -TVA



Tiada ulasan: