29 Mei 2009

Tragedi Jaya Supermarket : Mangsa ke 4 Dikeluarkan, MB Selangor Arah Henti Kerja Perobohan

Setakat ini empat pekerja terbunuh, termasuk dua mayat yang ditemui hari ini, di bangunan lama pusat membeli-belah Jaya Supermarket yang ranap apabila operasi meruntuhkannya bertukar tragedi petang semalam.

Mayat ketiga ditemui jam 3.30 pagi, lebih 10 jam selepas lima tingkat bangunan itu tiba-tiba runtuh kira-kira pukul 5 petang hingga tingkat bawah tanah.

Manakala mayat keempat ditemui 4 petang ini.

Dua berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital dalam tempoh dua jam pertama selepas tragedi.

Sementara tiga belum berjaya dikeluarkan.

Dua mayat ditemui menjelang jam 7 petang semalam di bawah runtuhan bangunan yang pernah menjadi mercu tanda daerah Petaling Jaya.

Bangunan berusia 35 itu yang pernah menempatkan pusat membeli-belah dan beberapa kedai ditutup Februari tahun lepas sebelum pemilik baru ingin membina bangunan baru di atas tapak yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua kerja merobohkan bangunan Jaya Supermarket dihentikan serta merta bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk mencari punca berlakunya tragedi runtuh sehingga mengorbankan nyawa.

Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, hanya kerja-kerja mencari dan menyelamat lima pekerja Indonesia yang masih hilang saja dibenarkan.

Menurut beliau, keputusan itu sudah dibuat setelah unit kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) memberi taklimat dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pagi tadi.

Katanya, MBPJ juga sudah diarahkan supaya memastikan jentera-jentera yang digunakan dalam kerja merobohkan bangunan tersebut tidak dibenarkan dibawa keluar.

Pihak IKRAM sudah diberi masa selama satu minggu untuk melaporkan siasatan dalam mesyuarat MTES.


Tiada ulasan: