19 Mei 2009

Nizar Zambry : Warkah Sembah Ta'dzim Buat Tuanku Dr Raja Nazrin

Ampun Tuanku, sembah patik mohon diampun.

Telah ditakdirkan Tuanku dilahirkan dalam keluarga diraja dan patik dilahirkan dalam keluarga petani biasa, maka kita dijarakkan oleh adat istiadat Melayu hingga menjadi begitu jauh sekali. Namun betapa jauh pun jarak darjat keturunan itu, perkenalan kita disebabkan minat yang sama di bidang seni dan puisi kira-kira 30 tahun yang lalu, telah merapatkan hubungan kita sebagai sesama manusia.

Pun begitu, setelah aktiviti puisi dua minggu sekali di sebuah hotel di Jalan Putra itu dihentikan, kita pun seperti kehilangan wadah untuk bertemu, dan kemudiannya Tuanku pula meninggalkan pejabat di Jalan Pudu itu, dan Dr Shan yang selalu bersama dalam pertemuan kita pun bertukar juga kerjayanya, maka pertemuan sebagai sahabat itu pun sukar terjadi lagi.

Hinggalah kira-kira tiga tahun yang lalu maka sempatlah kita berbual mesra untuk beberapa ketika, selepas Tuanku menyempurnakan pelancaran novel Usman Awang yang diterbitkan semula oleh anaknya Lyna, di panggung teater kepunyaan Datuk Faridah di Bangsar. Tuanku meminta Sutung dan saya datang ke istana suatu hari untuk menyegarkan semula apresiasi seni dan puisi, tetapi jarak yang sedia ada dan membatas antara kita belum dapat menzahirkan kunjungan itu.

Ampun Tuanku, sembah patik mohon diampun.

Bukanlah tujuan patik menulis warkah yang tak sepertinya ini untuk mengajak Tuanku berbicara atau menghayati seni dan puisi, walaupun hal itu memang sudah lama dirindui, tetapi seperti yang Tuanku sedia maklum, di negeri Perak sekarang terdapat suatu perkara yang sangat membimbangkan seluruh rakyat, dan mereka mengharapkan Tuanku dan ayahanda Tuanku sudi melimpahkan kurnia kasih sayang kepada mereka, dan mengembalikan kesejahteraan dan kedamaian kepada hidup rakyat.

Patik sebenarnya bukan orang politik. Patik menulis kolum ini, seperti namanya Wacana Budaya, ialah untuk membawa hal-hal seni dan budaya kepada pembaca akhbar yang secara tradisinya dihidangkan dengan hal-hal politik. Maka ramailah pembaca yang menghubungi patik meminta kalau-kalau boleh menolong mereka, memberikan penjelasan apakah sebenarnya yang sedang berlaku di negeri Perak, dan bagaimanakah kemelut yang tak diingini itu dapat diselesaikan.

Mereka pun tahu patik takkan dapat menolong. Tetapi siapakah yang dapat menolong mereka dalam keadaan yang serba keliru dan bercelaru sekarang ini? Siapakah yang sebenarnya berhak untuk mengetuai pentadbiran di negeri Perak sekarang? Rakyat seperti kebengongan. Mereka tak tahu ke mana hendak mengadu, hinggakan kepada patik yang serba jahil dan tak berkuasa apa-apa ini pun tersasul mereka membuat aduan.

Semakin hari semakin kalut jadinya, Tuanku. Tak perlulah patik menceritakan semula semuanya. Tuanku tentulah lebih maklum. Perebutan hak untuk memerintah negeri Perak Darul Ridzuan itu, pada pandangan rakyat biasa seperti patik ini, telah sampai ke peringkat dimana undang-undang dan Perlembagaan pun seperti tidak berwibawa lagi. Hari ini orang ini diisytihar Menteri Besar yang sah, esoknya orang lain pula diberi hak menjadi Menteri Besar.

Sidang Dewan Undangan Negeri pun berlangsung di bawah pokok. Gerangan apakah hal sebenarnya ini, Tuanku! Speaker Dewan Undangan Negeri dikurung di dalam stor. Rakyat seperti tidak percaya, dan mereka berasa seolah-olah undang-undang dipermainkan, atau mereka dipermainkan oleh undang-undang, sedangkan undang-undanglah diharapkan menjaga mereka. Ampun Tuanku! Tanggapan patik ini tentulah tidak betul, tetapi begitulah yang menjadi tanggapan rakyat. Perkara yang tidak pernah berlaku dan tidak pernah terfikir di fikiran rakyat bahawa ia boleh berlaku, kini telahpun berlaku dan sedang berlaku.

Ampun Tuanku. Siapalah patik untuk mengemukakan pandangan atau buah fikiran ke dalam permasalahan yang rumit sebegini. Hanya patik ingin menyampaikan resah gelisah rakyat, agar sudi Tuanku memanfaatkan kebijaksanaan yang dikurniakan Allah SWT kepada Tuanku dan ayahanda Tuanku, agar hak dapat dikembalikan kepada yang berhak ke atasnya, supaya kepercayaan rakyat kepada institusi Demokrasi dan Raja Berperlembagaan tetap utuh di hati mereka.

Patik pun tidak pasti apa yang menggerakkan hati dan jemari patik untuk mengarang kata-kata ini dan mempersembahkannya istimewa kepada Tuanku. Barangkali perkenalan kita yang sama-sama meminati sastera dan puisi itu yang menggerakkannya, yang membetik rasa dan harapan bahawa Tuanku akan sudi memperhatikan.

Pada fikiran patik yang tidak sebijak mana ini, krisis atau kemelut yang sedang melanda pentadbiran negeri Perak Darul Ridzuan sekarang ini boleh dilihat sebagai tersangat rumit dan sukar untuk diselesaikan, dan boleh juga dilihat sebagai tidak serumit mana dan tidaklah sesukar mana untuk diselesaikan. Terpulanglah kepada hati dan fikiran kita, ikhlas ataupun tidak mencari penyelesaiannya.

Secara jujurnya, patik percaya akal budi Tuanku dan ayahanda Tuanku dapat melihatnya dari sisi yang mudah, yang tidak begitu rumit, dan tidak menimbulkan soal menyusahkan rakyat atau akan membazirkan wang dan sebagainya.

Kedudukan istimewa Tuanku dan Sultan yang berada di atas dan bebas dari pengaruh politik mana-mana parti, atau pengaruh mana-mana pihak, kepentingan atau individu, yang memungkinkan Tuanku dapat melihat dan memberi penyelesaiannya dari pendekatan yang istimewa, yang akan mengembalikan roh dan semangat kepercayaan rakyat kepada institusi Istana dan Raja Berperlembagaan.

Ampun Tuanku, sembah patik mohon diampun. Sekiranya gerak hati patik untuk mempersembahkan warkah yang membawa hasrat berjalin resah gelisah rakyat ini, serta karangan kata-kata yang menyampaikan maksud berkenaan, kurang santun dan beradat, patik sekali lagi menyusun jari mengangkat tangan memohon ampun. Ampun Tuanku! -dinsman


5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tak usah nak bodek dymm lah. dah rasa nak kalah khamis ini kot. kami dah tahu siapa kau. cakap hal seni. kau ni ahli tegar pas. jangan nak hipokrit le. kami tahu siapa kau masa belajar dulu. penipu besar dan.................

Tanpa Nama berkata...

Warkah yg dimaksudkan ni sampai ke DYTM.....rasanye takat ni je.....sory le tak nampak pun ..

-asz- berkata...

sekadar renungan http://etymoslogos.blogspot.com/

Unknown berkata...

Kepada pengkritik Anonymous May 19, 2009 10:08 PM.

Mungkin kau ni jenis yang tak reti dan tak pernah nak mengerti apa tiu adab sopan yang menjadi budaya dan tatasusila rakyat negara ini.

Apa mungkin kau ni berasal dari planet selain dari bumi ini,yang langsung tiada adab sopan.Cuba hayati betul-betul bait-bait kata dalam surat tu.Ada ke kata-kata bodek..tu kan kaedah orang bercakap dengan orang istana.

Mesti la mengikut protokol dan gaya bahasa yang betul...ini antara usaha sdra Dinsman utk kebaikan rakyat negeri perak.Bukan macam kau macam beruk tak tahu adab....apa kerja buat yang kau lakukan untuk agama kau..

piiiraah...cermin dulu diri tu

perwira_bangsa berkata...

Kepada pengkritik Anonymous May 19, 2009 10:08 PM.

Salam dan selamat sejahtera,

Jika di ambil kira dari komen saudara/saudari anonymous di atas adalah jangal sekali kerana menggambarkan seketul hati yang sedang sakit serta bernanah.
Adab sopan serta tatasusila semakin diketepikan dewasa ini,lihat darisegi pengenalan nama "anonymous" sahaja melambangkan dia seorang yang pengecut!!

Semoga "anonymous" beroleh keimanan dan kekuatan untuk berjuang!!jangan gunakan bahasa bahasa yang tidak baik semasa dialam maya ini,kerana itu juga melambangkan sikap dan budaya bangsa yang masih belum matang lagi.