19 Mei 2009

PAS UMNO : Wawancara Bersama Datuk Zahar Ujang


Penyertaan Bekas Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS), Kapten (B) Datuk Zahar Hashim ke dalam Pas mencetuskan kontroversi dalam kalangan ahli parti asalnya. Lebih hangat, penghijrahan beliau yang turut disertai hampir 20 ketua UMNO cawangan menyebabkan UMNO bahagian tersebut diberitakan lumpuh. Keputusan yang dikaitkan kekecewaan beliau terhadap situasi UMNO ketika itu yang kritikal dengan permasalahan politik wang disambut baik kepimpinan Pas malah satu majlis istimewa dianjurkan Pas Selangor meraikan kemasukan beliau ke dalam Pas.

Selepas lebih lima bulan di dalam Pas (bermula 21 Disember 2008), ikuti temu bual Ketua Wartawan Sinar Harian (SH) Edisi Selangor, Khairul Amri Yasin mengenai persepsi dan tanggapan beliau terhadap parti barunya itu termasuk reaksi apabila sesetengah pemimpin Pas mengaitkan ahli baru sepertinya, yang berasal daripada 'parti musuh' sebagai antara punca penularan amalan sogok wang yang hangat diperkatakan melanda Pas kini.

SH: Bagaimana Datuk merasakan penghijrahan ke dalam Pas mampu meneruskan aspirasi perjuangan untuk rakyat?

Zahar: Dalam negara, hanya ada dua parti Melayu dan keputusan untuk menyertai Pas selepas merasakan parti ini jauh lebih Islam berbanding UMNO. Sepanjang dalam UMNO, saya banyak menganjurkan aktiviti dan program berbantuk amal jariah namun selepas digantung, saya kena buat pilihan bagaimana untuk meneruskan aktiviti ini. Saya ada program pakej jenazah yang menguruskan segala aktiviti kematian untuk penduduk Petaling Jaya Selatan (PJS), saya ada Tabung Prihatin yang disertai 152 keluarga miskin selain kelas agama dan Fardu Ain yang perlu diteruskan.

SH: Apa persepsi sebelum dan selepas Datuk menyertai parti Pas?

Zahar: Saya bersyukur sepanjang menyertai Pas, banyak jemputan diterima untuk turut serta dalam program ceramah dan pelbagai aktiviti turun padang yang memberi ruang untuk saya bertemu secara lebih dekat dengan ahli dan kepimpinan Pas di peringkat menengah dan tinggi. Alhamdulillah sepanjang berada dalam Pas, saya sempat berkenalan dengan lebih 20 Pas Kawasan di seluruh negara termasuk Perak, Perlis, Terengganu dan Kedah.

Apabila mendapat peluang sebegini, barulah saya mampu membetulkan persepsi saya terhadap parti ini yang sepanjang saya berada dalam UMNO telah diberi gambaran tidak tepat termasuk Pas. Parti itu dilabelkan sebagai menggunakan agama untuk politik dan kebanyakan ahli mudanya agresif dan suka bergaduh. Namun, selepas berada dalam parti ini, apa yang saya nampak Pas adalah sebuah parti mengutamakan disiplin, ikhlas dan kental semangat perjuangan mereka

SH: Apabila Pas dikaitkan dengan dakwaan politik wang, apa reaksi Datuk?

Zahar: Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran perkara ini kerana sepanjang pengamatan saya tidak berlaku dalam Pas isu nak berebut jawatan, kalau boleh masing-masing menolak apabila ditawarkan sesuatu jawatan. Kalau di tempat saya, isu ini tidak berlaku tetapi saya tidak pasti di tempat lain. Kalau berlakupun mungkin hanya satu atau dua kes tetapi saya yakin sekiranya berlaku, ia tidaklah kritikal seperti berlaku dalam UMNO.

Namun saya menaruh keyakinan tinggi bahawa gejala ini tidak berlaku kerana merujuk kepada pengalaman saya yang turut sama dalam 'pertemuan rahsia' melibatkan pemimpin Pas dan UMNO Selangor, mereka cukup ikhlas dalam perjuangan dan tidak mudah dijual beli.

UMNO ketika itu telah membuat tawaran jawatan Menteri Besar kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan enam jawatan exco kepada Pas sekiranya mereka sedia membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu. Namun, tawaran tersebut ditolak dan sikap itu jugalah membuktikan Pas jujur dan mempunyai prinsip dalam perjuangan mereka. Rasionalnya, kalau jawatan sebesar itu pun ditolak, takkan pemimpin dan ahli mereka mudah serta terpesona dengan sogokan wang.

SH: Bagaimana perasaan Datuk selepas ahli baru seperti Datuk dikaitkan Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor sebagai punca politik wang dalam Pas?

Zahar: Saya macam tidak percaya tanggapan sebegitu dibuat terhadap ahli baru yang ikhlas menyertai perjuangan Pas selepas merasakan persepsi itu tidak selari dengan semangat perjuangan dan keikhlasan perjuangan mereka untuk agama. Berdasarkan pengalaman sendiri, penyertaan saya bersama ahli UMNO ke dalam Pas bukan atas agenda lain yang lari seperti yang telah saya nyatakan.

Setakat mana pengaruh ahli baru daripada parti lain yang masuk Pas boleh mempengaruhi ahli sedia ada, siapa kami, malah kalau ahli biasa sekalipun, sejauhmana kemampuan mereka untuk tabur duit, berapa banyak duit yang mereka ada. Kalau bekas pemimpin tinggi UMNO, bolehkah disenaraikan berapa ramai pemimpin tersebut yang telah menyertai Pas, lagipun siapa dalam Pas yang akan menerima aktiviti tidak bermoral seperti itu.

SH: Adakah rakan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) mempengaruhi perubahan asas perjuangan Pas?

Zahar: Susah saya nak komen kerana saya melihat Pas dan DAP berperanan sebagai ejen 'check and balance' kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mereka parti baru yang sesetengah pihak melihat kekuatannya bersandarkan pengaruh penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mungkin ada mempersoalkan kesetiaan dan semangat perjuangan ahli mereka hingga berlakunya insiden lompat parti seperti yang berlaku terhadap dua wakil rakyat mereka di Perak. Keadaan ini menimbulkan tekanan dan perlu dibendung, di sini Pas dan DAP memainkan peranannya berkongsi pengalaman berpolitik termasuk mengelak berlakunya kes tersalah pilih calon.

Pada pendapat saya, tidak timbul perkongsian ini menyebabkan perjuangan Pas goyah memandangkan usia parti itu jauh lebih matang dan mempunyai pengalaman cukup luas dalam politik.

SH: Sebagai bekas pemimpin UMNO yang kini ahli baru Pas, apa harapan anda terhadap 'kesucian' perjuangan Pas ini?

Zahar: Alhamdulillah, sepanjang lebih lima bulan dalam Pas, saya dah bertemu hampir kesemua kepimpinan tinggi termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan, Nasharruddin Mat Isa, Datuk Kamaruddin Jaafar (Setiausaha Agung), Dr Hatta Ramli (Bendahari) dan kepimpinan peringkat negeri kecuali belum berkesempatan bertemu Datuk Husam Musa

Apa yang boleh saya simpulkan mereka adalah kategori pemimpin tidak berpura-pura dan setia terhadap perjuangan parti. Dalam kehangatan isu politik wang dalam Pas, saya tidak nampak isu ini sebagai perkara perlu dibimbangkan tetapi Pas perlu berhati-hati terhadap risikonya sekiranya PR berjaya ambil alih Kerajaan Pusat kelak.

3 ulasan:

HaHs berkata...

Aku suka dgn semangat Datuk Zahar Ujang yg ikhlas dan begitu bersemangat memperjuangkan parti baru beliau iaitu PAS. Saya percaya beliau ikhlas utk berubah. Teringat aku masa mula2 masuk PAS dulu termasuk beberapa tokoh PAS yg berjuang bermati2an apabila mula masuk ke dalam PAS contohnya Dr Hassan Ali dan ramai lagi yg sekarang dah dikenali dan dihormati. Bagi kita yg lama, jgn bersangka buruk dgn saudara baru kita ni sbb kita dulu pernah menjadi seperti mereka. Maka bersatulah kita memajukan parti yg dicintai.
Wallahu A'lam

HaHs berkata...

Gambar wawancara takde ke?

Tanpa Nama berkata...

bagus ni, aku sokong zahar ujang. masuk pas ramai-ramai. Takbir!!!!!!