Namun akhirnya dia ‘jatuh’ kerana dia angkuh. Dia menganggap dirinya lebih mulia dari Nabi Adam (AS) dan enggan sujud kepadanya apabila diperintah Allah untuk bersujud. Allah berfirman “aba was takbara” atau dia “enggan dan takabbur” dan akhirnya jadilah Iblis sebagai kafir. Walaupun bertaraf ‘Tok Guru’, dia masih kecundang.
Ilmu ini sememangnya penting. Keutamaan ilmu semua yang berada di dalam PAS menyedari dan mengakuinya. Itulah sebabnya mengapa kita sama-sama adakan Majlis Syura Ulama’. Namun ilmu bukan segala-galanya dan bukanlah juga monopoli golongan tertentu.
Ilmu juga tidak menjamin keikhlasan. Berapa ramai yang telah pun menggadaikan ilmu mereka untuk mendapat jawatan, Allah hanya yang tahu. Kisah Ulama’ Bani Israil amat jelas sebagai bukti dan pedoman kita di hari ini. Mereka berilmu tetapi mereka menggadai ilmu mereka untuk habuan dunia. Walaupun mereka ilmuan dan ulama’ kaum mereka. Tiada yang mereka tidak tahu berhubung perjuangan anbiya’ dan mursalin namun mereka angkuh dan tidak ikhlas. Akhirnya ketamakan mereka dan ketidak-ikhlasan mereka diabadikan dalam ayat-ayat Al-Quran. Allah mengambarkan mereka bagaikan keldai yang bertimbun buku dibawanya.
Begitu juga dengan para ulama’ dari golongan kaum Nasrani. Pemerintahan gereja menjadi igauan semua yang membaca sejarah zaman tersebut. Konsep pemerintahan ‘theocracy’ dalam arti kata pemerintahan oleh golongan agama yang mengaku hanya mereka yang ‘bercakap’ bagi pihak Tuhan, ditolak oleh masyarakat atas sebab keterlanjuran mereka. Begitu kejam sekali manusia, walaupun ulama’, lebih kejam dari golongan juhalaa’, apabila mereka menjadi angkuh dan menganggap diri mereka golongan pilihan Ilahi. Ulama’ Nasrani pada ketika itu menganggap ilmu agama adalah hak milik mereka dan pentafsiran mereka satu-satunya pentafsiran yang sah. Yang ingkar diseksa dan ada sehingga yang dibakar hidup-hidup.
Keikhlasan dan ketaqwaan ini pemberian Allah. Ianya tidak boleh dipelajari. Orang kampung yang biasa, tidak bijak mana, hanya tahu ilmu agama peringkat asas, tetapi ada yang memiliki tahap ketaqwaan yang tinggi. Sanggup mengorbankan hartanya dan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Saya telah melihat sendiri orang-orang kampung yang seperti ini, memberi sumbangan untuk perjuangan Islam sedangkan belanja keluarga sendiri pun tak tentu lepas lagi. Mungkin ketaqwaan dan keikhlasan mereka ketika itu melebihi ulama’ yang angkuh dan berbesar kepala.
Saya kira mungkin ada yang sudah boleh mengagak mengapa saya menceritakan kisah-kisah ini. Saya ceritakan ini semua kerana saya terdengar ada pihak yang mengatakan bahawa Ulama’ sahaja yang boleh dipercayai untuk menjawat jawatan tertinggi dalam parti. Yang lain tidak boleh dipercayai, seolah-olah keikhlasan itu monopoli golongan yang dianggap ulama’ sahaja. Saya merasakan bahawa tanggapan sebegini adalah tidak benar dan saya yakin ianya merupakan pandangan yang songsang. Namun keilmuan golongan ulama’ yang mengatasi ilmu golongan lain dalam bidang-bidang keagamaan, saya rasa tiada yang mempertikaikan, termasuklah diri saya sendiri. Keikhlasan soal lain. Hanya Allah yang tahu.
Saya juga ingin menceritakan bagi yang telah lupa, kata-kata Al-Marhum Ustadz Fadhil satu ketika dulu. Al-Marhum menyamakan keadaan golongan pendidikan sekular bagaikan keadaan Nabi Musa (AS) yang dibesarkan di istana Firaun. Apabila telah dewasa tiba-tiba Allah memilihnya untuk menjadi Rasul dan menentang Firaun! Begitu juga seakan-akan, kata Al-Marhum, dengan golongan yang berpendidikan Barat. Dihantar ke negara-negara Barat untuk menjadi pembawa fahaman barat tetapi apabila pulang menentang tamaddun barat dan malah sebaliknya menjadi pejuang Islam. Mereka kembali dengan kesedaran agama, sebahagiannya lebih sedar dan lebih insaf dari sebahagian yang lain. Allah Maha Mengetahui dan sebaik-baik perancang!
Perumpamaan sebegitu jauh lebih menarik dan menyejukkan hati dari dihukum secara borong sebagai bakal pengikut Yazid anak kepada Muawaiyah. Sedangkan saya yakin Yazid bukan jahil orangnya. Beliau hidup dalam suasana Islam, dibesarkan dalam masyarakat yang menghayati Islam, tak mungkin beliau tidak tahu akan Islam. Namun beliau tidak mahu mengikut ajaran Islam dan menganggap dirinya berkuasa dan tidak mungkin kekuasaannya dicabar. Sikap angkuh dengan kuasa inilah yang merupakan punca penyelewengan dan kezaliman beliau. Sepertimana juga ianya menjadi punca penyelewengan Iblis, ulama’ kaum Bani Israil dan juga Ulama’ kaum Nasrani walaupun kesemua mereka ini adalah ‘berilmu’.
Dalam Islam kita terselamat dari masalah sebegini. Dalam Islam tiada kasta dan tiada ‘theocracy’. Pandangan dan pendapat diterima berdasar kekuatan hujjah dan bukan berdasarkan siapa yang mengatakan pandangan atau pendapat berkenaan. Dalam soal ini, Saidinna Ali (KW) pernah berpesan, “Lihat pada apa yang dikatakan dan jangan kamu lihat kepada siapa yang mengatakannya”.
Saidinna Umar (RA) pernah ditegur oleh seorang Muslimat biasa walaupun Umar merupakan Khalifah pada masa itu. Umar juga diiktiraf sebagai di kalangan Sahabat yang termasyur, di antara yang paling berilmu dan salah seorang dari sepuluh yang dijanjikan Syurga. Namun Umar sanggup mengaku pendapat Muslimat itu adalah yang lebih tepat.
Rasulullah (SAW) sendiri pernah mengutamakan pendapat para Sahabat dalam persoalan pengurusan dan perancangan seperti di Badr, Uhud dan banyak lagi peristiwa yang lain. Dalam sebuah Hadith riwayat Imam Muslim diceritakan satu peristiwa berhubung dengan amalan pendebungaan pokok-pokok tamar oleh orang-orang Madinah yang ditegur oleh Baginda dan mereka menghentikan amalannya. Akhirnya hasilnya berkurangan dan apabila Rasulullah mendengar akan keadaan ini, maka bersabda Rasulullah : “Saya hanya manusia biasa. Hanya apabila saya mengarahkan kamu berhubung persoalan kewajipan keagamaan sahaja perlu kamu mematuhinya. Tetapi sekiranya saya menyatakan sesuatu berdasarkan pendapat saya, ianya hanya satu pandangan dan saya manusia biasa. Semestinya kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu”.
Maka adalah jelas bukan semua pendapat yang diutarakan Rasulullah (SAW) merupakan hukum yang tidak boleh dibincangkan atau dipertimbangkan. Sekiranya begitu kaedahnya yang telah ditunjukkan Rasulullah (SAW), maka tidak mungkin semua yang dikatakan oleh mana-mana ulama’ dalam soal pendapat dan pandangan semestinya diterima bulat-bulat seolah-olah ianya satu-satunya pandangan yang betul. Sekiranya semua yang dikatakan ulama’ dianggap bagaikan ‘wahyu’, maka kita akan kembali kepada zaman pemerintahan gereja dan amalan ‘theocracy’.
Saya yakin para Ulama’ Islam yang ikhlas dan berilmu memahami perkara ini dan tidak akan mengambil kesempatan dari konsep ‘Kepimpinan Ulama’ untuk mengelirukan ummat Islam dan ahli PAS sehingga mewujudkan suatu status yang tidak layak bagi mana-mana manusia untuk mendudukinya. Walau hebat mana sekalipun ilmunya dan tinggi mana sekalipun pandangan masyarakat terhadap dirinya. Kerana dia tahu dirinya bukan tuhan dan ilmunya tidak mungkin mencakupi segala-galanya. Mereka tawaddu’ dan menghargai semua ilmuan dari semua bidang ilmu dan jauh sekali akan mereka mengherdik orang dengan kata-kata “kamu takkan faham, kamu bukan ulama”.
Dengan kesedaran yang sebegini, ulama’ Islam sejati tidak akan jatuh disebabkan sikap angkuh dan bongkak. Dan dengan ini juga mereka tidak akan mengakui bahawa keikhlasan itu hanya milik golongan seperti mereka. - Khalid Samad (MP Shah Alam)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan