2 Apr 2009

Kisah Pemimpin UMNO Durjana : Tahu Sebat Tak Mahu Bertanggungjawab

Keputusan Pendengaran Awam Terbuka berkaitan isu Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) akan diketahui selepas Selcat mengadakan mesyuarat.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau Selcat, Teng Chang Khim hari ini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) berkata mesyuarat itu nanti akan meneliti semua keterangan saksi yang hadir sepanjang tujuh hari pendengaran awam itu berlangsung.


“Jawatankuasa ini akan meneliti semua dokumen yang dibentangkan dan kemudian barulah kita sediakan penyata untuk dibentangkan di DUN Selangor pada Julai depan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan pendengaran awam Selcat terakhir, di sini, tengah hari tadi.

Mengulas mengenai kerjasama yang diberikan oleh kesemua saksi selama tujuh hari sesi siasatan itu berlangsung, Teng berkata kebanyakan saksi yang dipanggil tampil memberi keterangan.

“Ini merupakan sesi pendengaran awam yang pertama di Malaysia dan kita gembira ianya telah berjalan lancar serta mendapat kerjasama daripada saksi.

“Dan kegagalan dua saksi lain untuk hadiri iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik yang juga bekas Yang Dipertua Balkis secara langsung telah menolak peluang untuk memberikan penjelasan kepada rakyat apa yang sebenarnya terjadi dalam Balkis dan juga Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB),” ujarnya yang turut kesal dengan sikap sesetengah saksi yang enggan memberi kerjasama dengan ahli panel ketika sesi soal siasat dijalankan.

Ditanya media mengenai tindakan yang bakal dikenakan kepada Zahrah ekoran kegagalannya hadir memberi keterangan pada sesi pendengaran awam terbuka itu, Teng berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

Menurut beliau, laporan polis akan dibuat terhadap Zahrah kerana telah melanggar perintah dewan.

“Buat masa ini saya belum membuat laporan polis. Kita kena tunggu jawatankuasa dan saya tidak boleh mengarahkan Setiausaha Dewan untuk buat laporan tanpa meminta pandangan daripada semua ahli jawatankuasa.

“Selepas kita panggil mesyuarat jawatankuasa maka kita akan ambil tindakan selanjutnya yang difikirkan wajar dan perlu,” katanya.


1 ulasan:

Prof. Era Pasca berkata...

negeri lain bile nak siasat bekas2 MB?