11 Feb 2014

[EDISI PELIK] Yang Tawar Buat Ancaman Tak Disiasat, Pelakon Video Pula Yang Dikejar

Polis belum lagi bertindak terhadap sekumpulan individu yang menggelar diri mereka 'Majlis NGO Islam', yang menawarkan ganjaran RM1,200 terhadap mereka yang berani menampar Kok.

Hanya di Malaysia, polis mengejar pelakon video, bukan samseng

Ada masanya polis sungguh cekap, seperti hari ini apabila mereka memanggil pelakon wanita untuk memberi keterangan tentang peranannya dalam video kontroversi Tahun Baru Cina oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Ada masanya pula polis seakan-akan meleret untuk menyiasat jenayah seperti majlis NGO yang menyembelih dua ayam dan menumpahkan darah serta menawarkan ganjaran RM1,200 kepada orang pertama yang dapat menampar Kok.

Bagaimana pula dengan tugas polis yang sebenar, seperti memastikan kawasan awam aman dan selamat daripada samseng.

Tidak, sebaliknya, polis ingin menyoal Lim Ching Miau, 32, di ibu pejabat polis esok kerana klip video 11-minit yang memaparkan Kok sebagai pengacara feng shui menemu ramah tiga orang panel, membuat jenaka berhubung beberapa isu, termasuk sistem pendidikan di Malaysia dan pencerobohan pengganas di Sabah tahun lepas.


Ahli Parlimen DAP itu sedang disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan menggalakkan orang awam melakukan kerosakan awam, dan Seksyen 233 (1) (a) Suruhanjaya Komunikasi dan Akta Multimedia bagi salahguna rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Yang peliknya, polis belum lagi memberi status laporan ke atas mereka yang menawarkan ganjaran untuk menampar beliau, sesuatu yang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, katakan sebagai ancaman tidak serius.

Adakah beliau dan pihak polis sedang menunggu jenayah berlaku sebelum mengambil tindakan?


Atau ini disebabkan tiada lagi undang-undang pencegahan tahanan untuk digunakan daripada membuat penyiasatan sebenar seperti anggota polis di seluruh dunia sering lakukan?

Ataupun sebenarnya, berlakon dalam klip video, sudahlah tidak kelakar, adalah jenayah yang lebih serius daripada menghasut orang ramai untuk menampar seseorang?

Dalam negara mana-mana pun, memanggil pelakon tersebut untuk memberikan keterangan akan dilihat sebagai satu intimidasi.

Tetapi polis sepatutnya ingat satu perkara: rakyat Malaysia tidak lagi takut dengan ugutan atau intimidasi.

Parodi dan video satira politik akan terus dimuatkan di Internet, dan meletup - walaupun tidak disukai mereka yang dikritik secara terbuka dan mereka yang senang terasa dengan apa-apa yang mereka tidak persetujui.

Pihak polis sendiri patut melihat bagaimana tidak munasabahnya mereka menyoal orang yang terlibat dalam klip video atas dakwaan fitnah atau hasutan, daripada mencegah jenayah di luar sana.

Mereka juga akan melihat betapa ia tidak masuk akal bagaimana mereka belum lagi bertindak atas laporan polis terhadap ahli protes yang mengugut Kok, walaupun mereka sudahpun mengklasifikasi kes itu di bawah Seksyen 505 (c) untuk kerosakan awam dengan tujuan menghasut sesiapa untuk melakukan jenayah ke atas orang lain, serta Seksyen 506 untuk jenayah ugutan.

Rakyat Malaysia perlukan pihak polis yang tertumpu kepada pencegahan jenayah, bukannya lakonan yang teruk. -TMI

Pelakon video Teresa Kok beri keterangan polis esok

Pelakon dalam klip video Teresa Kok, 'Onederful Malaysia CNY 2014' adalah yang pertama dipanggil polis untuk memberikan keterangan ke atas penglibatan beliau dalam klip video yang didakwa menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Dipercayai pelakon tersebut, Lim Ching Mau akan berjumpa dengan polis esok di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) pada jam 2 petang untuk memberikan keterangan.

Kok melakonkan watak sebagai pengacara rancangan feng shui dan menemubual tiga ahli panel, termasuk Lim dalam klip video Tahun Baru Cina tersebut.

Tiga ahli panel itu mempersendakan pelbagai isu, termasuk isu keterangan sistem pendidikan Malaysia dan pencerobohan pengganas Sulu di Sabah tahun lalu.

Kok sedang disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kerosakan awam dan Seksyen 233(1)(a), Akta Komunikasi dan Multimedia.

Lim, 32 tahun, memberitahu portal berita Malaysiakini bahawa beliau memainkan watak Lydia Shum, pelakon daripada Hong Kong, dalam klip video tersebut.

"Saya rasa rupa saya seiras dengan Lydia... saya menonton beliau sejak kecil lagi," katanya.

Beliau menambah, beliau sudah kehilangan banyak kerja lakonan berikutan kontroversi klip video Kok.

"Saya harap perkara ini akan selesai secepat mungkin, saya kehilangan dua kerja dan kerja lain pula ditangguhkan. Ini menyebabkan saya kehilangan beberapa ribu ringgit," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata polis akan menyiasat klip video tersebut dan memutuskan sama ada ia merupakan hasutan atau fitnah.

Beliau menambah, sekiranya didapati bersalah, tindakan relevan akan dikenakan terhadap Kok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan bahawa polis menerima sebanyak 300 aduan terhadap Kok tentang klip video tersebut.

"Kita sudah memulakan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara ini.

"Kita akan mengumpulkan dan meneliti semua laporan yang diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Klip video yang berunsurkan satira politik itu dimuat naik ke laman maya pada 27 Januari lalu.

Beberapa NGO Islam dan menteri Kabinet mengkritik video tersebut dan mendakwa video itu menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang masih belum menonton video tersebut, mengatakan bahawa Kok mempermainkan insiden pencerobohan Lahad Datu oleh tentera Sulu yang mengorbankan 10 polis dan tentera Malaysia.

Bagaimanapun, polis belum bertindak terhadap sekumpulan individu yang menggelar diri mereka 'Majlis NGO Islam', yang menawarkan ganjaran RM1,200 terhadap mereka yang berani menampar Kok.

Ahli Parlimen Seputeh itu serta penyokong beliau membuat tujuh laporan polis, Jumaat lalu, kerana bimbang atas keselamatan dirinya.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 505(c) bagi kerosakan awam dengan tujuan menghasut orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang lain, dan Seksyen 506 bagi ugutan jenayah.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata tiada siasatan lanjut diperlukan oleh polis, kerana tindakan NGO tersebut bukan satu ancaman.

"Tamparan bukan satu ugutan. Jika mereka mengugut untuk membunuh, maka ia satu ugutan," katanya.

NGO tersebut merancang untuk menganjurkan satu lagi protes jika ahli politik tersebut enggan mengubah sifat cauvinistik mereka.
TMI (10.2.2014)


Saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai pelakon
Pelakon yang membawa watak Puan Kat dalam klip video kontroversi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tidak gentar walaupun telah diminta untuk membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada pukul 2 petang, esok.

Artis tersebut, Lim Ching Miau berkata, dirinya tenang walaupun kali pertama dipanggil untuk membantu siasatan di balai polis.

"Saya sebelum ini hanya melaksanakan peranan sebagai seorang pelakon (dalam klip video), jadi tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan.

"Saya juga akan memenuhi tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan membantu siasatan polis," kata pelakon tersebut yang lebih dikenali sebagai Miau Miau.

Menurutnya, seorang polis berpakaian biasa pernah berkunjung ke rumah lama dia pada pukul 11 malam sebelum ini tetapi perkara itu hanya dimaklumkan kemudian oleh jirannya.

"Apabila dimaklumkan mengenainya, saya rasa kurang selamat kerana memikirkan kes-kes penyamaran polis yang pernah berlaku sebelum ini.

"Selepas mengenal pasti bahawa polis yang mencari, maka saya dapat menguruskan apa yang berlaku secara tenang," katanya.

Ditanya sama ada kesal kerana menerima tugas dalam klip video Teresa, Miau Miau berkata, apa yang dia lakukan hanyalah memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pelakon profesional.

Dalam pada itu, portal Malaysia Kini melaporkan Miau Miau menafikan dirinya membawa watak isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika melakonkan Puan Kat (Puan Ji dalam Mandarin) dalam klip video Teresa.

Miau Miau sebaliknya menyatakan dirinya sedang menyamar mendiang Lydia Shum iaitu seorang pengacara, penghibur dan pelakon Hong Kong yang terkenal dengan nama samaran Fei Fei (gemuk-gemuk).

"Saya tidak faham kenapa ia akan menjadi Rosmah, saya rasa diri amat menyerupai Lydia. Saya menonton rancangan Lydia sejak kecil lagi," katanya.
MG


[VIDEO PANAS] Pemain T-Team Bersumpah Depan Al-Quran


Penolong jurulatih, pemain T-Team bersumpah al-Quran

KUALA TERENGGANU: Seorang pemain dan penolong jurulatih pasukan T-Team malam ini bersumpah dengan al-Quran di hadapan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi membuktikan kebenaran insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Upacara itu dilakukan dalam majlis khas di Hotel Tabung Haji (TH) & Convention Center di sini pada kira-kira 10 malam sempena majlis perjumpaan pegawai dan pemain bola sepak Liga Super, Terengganu dan T-Team.

Majlis itu diadakan berikutan Menteri Besar Terengganu meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah al-Quran berhubung kebenaran insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara pasukan itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium itu minggu lalu.

Upacara bersumpah itu didahului penolong jurulatih Azlan Johar dan diikuti pemain tengah Khairan Izuan Razali.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan T-Team, Irfan Abd Ghani yang merupakan bekas pemain JDT yang sebelum ini mengadakan sidang akhbar "mengejut" dengan mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong tidak kelihatan sepanjang majlis perjumpaan itu.

Ahmad dalam ucapannya berkata majlis mengangkat sumpah itu bagi membuktikan kebenaran insiden tersebut dan meminta para pemain dan pegawai yang menyaksikan kejadian tempoh hari itu supaya tidak berbohong.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Menteri Besar mencabar Irfan tampil mengangkat sumpah di hadapannya sekiranya dia di pihak yang benar.

"Saya sanggup bagi tiket kapal terbang ke sini kepada dia untuk tampil bersumpah. Jangan lakukan pembohongan kepada rakyat Terengganu. Angkat sumpah ini bukan permainan semata-mata. Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan," katanya.

Ahmad nyata berbangga dengan kedua-dua individu itu yang tampil bersumpah kerana menurutnya ini jelas membuktikan mereka jujur.

Irfan sebelum ini mengeluarkan kenyataan di Johor tanpa pengetahuan majikannya, mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan dan ini bercanggah dengan pendirian pasukan T-Team yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi. Perbuatannya itu melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan.

Beliau sudah menghilangkan diri dengan mengemas barangan dari rumah sewanya di Gong Badak, sepertimana yang diberitahu oleh Khairan Izuan yang juga rakan serumahnya dan tidak melaporkan diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah pada 3 Februari. - BERNAMA




ULASAN GB

Sepatutnya Al-Quran itu menjadi panduan kehidupan manusia dengan mengikuti ajaran-ajaran dan mematuhi hukum-hakam yang terkandung di dalamnya, bukan sekadar digunakan sebagai alat untuk bersumpah.

Di dalam Islam jika terdapat keperluan untuk bersumpah, Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ أَوْ لِيَصْمُتْ.
Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah.

Tidak ada disebutkan perlu seseorang itu mengangkat atau melafazkan sumpah di depan Al-Quran.

Pasangan Malaysia Di Sweden Didakwa Pukul Anak, Masyarakat Dunia Luah Simpati


Pasangan Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal didakwa di mahkamah di Sweden hari ini, atas tuduhan memukul dan mendera keempat-empat anak mereka dalam beberapa insiden sepanjang tiga tahun sejak September 2010 sehingga Disember tahun lalu.

Pendakwaraya mengemukakan kertas pertuduhan setebal 11 muka surat itu yang bagaimanapun tidak menyebut punca atau sebab kenapa keempat-empat kanak-kanak itu, Aisyah Azizul Raheem, 14, Ammar (12), Adam (11) dan Arif (7) dipukul dan didera.

Perbicaraan kes berkenaan mungkin ditetapkan pada 18 Februari dan dijangka berlangsung selama 14 hari.

Pertuduhan antara lain mendakwa Azizul dan Shalwati memukul sehingga meninggalkan kesan fizikal dan mengakibatkan kesakitan dengan mengunakan objek seperti rotan, tali pinggang dan tangan serta turut dicubit dan dipulas telinga.

Shalwati didakwa memukul dan mendera anaknya Ammar sebanyak 11 kali, Adam sebanyak tiga kali, Ariff empat dan Aisyah empat kali.

Kesemua kesalahan itu dilakukan Shalwati dengan menggunakan tangan, rotan, tali pinggang, termasuk menampar dan memulas telinga serta memukul di tubuh badan.

Sementara itu, suaminya pula didakwa mendera dan mendedahkan anaknya kepada kemudaratan di mana terdapat enam pertuduhan menyeksa anaknya Ammar termasuk tidak membenarkan Ammar untuk makan serta memukul kepala kanak-kanak itu sehingga terhantuk ke pinggan, empat tuduhan memukul Adam, tiga Arif dan sekali Aisyah.

Dokumen tersebut turut menyenaraikan beberapa individu yang terlibat dalam soal siasat bagi kes tersebut termasuk kaunselor dan guru-guru sekolah kanak-kanak terbabit dan petugas kebajikan.

Undang-undang Sweden menetapkan tindakan memukul anak adalah salah disisi undang-undang.

Laporan terdahulu memetik peguam pasangan itu Kristopher Stahre memaklumkan, Azizul dan Shalwati akan mencabar pertuduhan tersebut.

Sebelum ini pihak pendakwaan menghantar permohonan bertulis kepada mahkamah untuk mendakwa pasangan berkenaan sekitar 6 petang waktu Malaysia pada Isnin. -astroawani

BERIKUT IALAH LAPORAN DARI AKHBAR SWEDEN DAN RESPONS MASYARAKAT DUNIA YANG TURUT MELUAH SIMPATI & PERTIKAI UNDANG-UNDANG SWEDEN

Malaysians charged in Sweden for hitting kids


A Malaysian couple accused of hitting their children in Sweden have been formally indicted in a case that has caused outrage back in Malaysia. If convicted, they face up to ten years in prison.

The parents were arrested in December after being accused of hitting their children for not performing their prayers. They have been since been held on remand while their four children were taken by social services.

On Monday, the prosecutor filed charges of gross violation of their children's integrity (grov fridskränkning) and for assault.

"In my judgement, the information provided by the children via remote video interrogation is trustworthy," prosecutor Anna Arnell said in a statement.

"Together with other accompanying proof, such as witnesses and items that have been seized from the home, there are good grounds for the indictment."

The news came as a welcome relief to the mother of the children, who has struggled with life in a remand centre as the investigation proceeded.

"My client is relieved that the prosecutor has finally brought charges, as she will now be able to prove her innocence," Kristofer Stahre, the mother's defence lawyer, told The Local.

"She has been waiting a long time for this, it's been a tough time for her in jail, but now she is seeing the light at the end of the tunnel."

The trial is set to begin on February 18th and is expected to last ten days.

"It's difficult to speculate what will happen, but of course I hope my client will be freed. She hasn't done any of the things of which she's been accused," Stahre added.

The couple has lived in Sweden for three years. The father, Azizul Raheem Awalludin, works for Tourism Malaysia in Stockholm and has worked for his country's tourism ministry since 2000. His wife, Shalwati Nurshal, is a secondary school teacher on unpaid leave. The Swedish foreign ministry said neither Awalludin nor Nurshal are registered as diplomats, leading prosecutors to conclude that diplomatic immunity does not apply in the case.

The case has stirred a heated reaction in Malaysia, where the four children were returned in early February. A Facebook group lobbying for the parents' return to Malaysia has almost 20,000 followers, and many took to Twitter to share their outrage alongside the hashtag #SwedenLetThemGo.

Kristofer Stahre has said the situation was the result of a "clash of cultures". Sweden was the first country in the world to outlaw corporal punishment back in 1979. In Muslim-majority Malaysia, corporal punishment is allowed in schools.

The case is not the first time a diplomat from abroad has got caught on the wrong side of the saw. In 2011, an Italian politician was convicted for assaulting his son during a Stockholm holiday, in a case that stirred heated debate in Sweden and Italy.
-The Local, Sweden




Laporan sebelum ini
klik untuk baca

10 Feb 2014

UMNO Rasis! Macai Tak Nak Buat Demo Ke? Tak Nak Tampar Taib Mahmud?

Pesan Taib kepada BN negeri: Pastikan politik rasis Umno tidak masuk Sarawak

Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggalkan jawatan ketua menteri Sarawak dengan satu nasihat kepada penggantinya - sesiapa pun menggantikannya harus memastikan politik rasis Umno tidak masuk ke negeri itu.

Kenyataan Taib semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN) semalam memberi indikasi jelas bahawa penggantinya "harus tegas dan tidak berpaling" apabila berurusan dengan Putrajaya mengenai perkara yang melibatkan kepentingan Sarawak.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi, berkata Taib mengatakan penggantinya perlu bersungguh-sungguh melindungi hak negeri seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

"Kita mesti berpegang kepada Perjanjian Malaysia dalam melindungi hak negeri ini," kata Rundi mengenai mesej Taib ketika ditanya apa yang berlaku dalam mesyuarat MT BN negeri di Kuching selain memberi ketua menteri itu mandat untuk memilih penggantinya.

Rundi berkata, bertegas dengan Putrajaya termasuk menghalang Umno masuk ke Sarawak yang dilihat tidak begitu mengendahkan perjanjian 20 perkara yang menjamin kepentingan dan hak Sarawak dan penduduknya apabila mereka bersetuju membentuk Malaysia bersama Malaya, Sabah dan Singapura.

Katanya, tiada sebab bagi Umno untuk melebarkan sayapnya ke Sarawak kerana Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Taib cemerlang dalam menguruskan negeri dan hak rakyat Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia.

Rundi berkata, sosio-etnik negeri berbeza daripada Semenanjung Malaysia dan lebih baik ia dikendalikan oleh rakyat Sarawak yang memahaminya dengan lebih baik.

Taib pada hujung minggu lalu mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan ketua menteri dan menghabiskan masa pada Sabtu dan Ahad untuk pelan persaraannya bersama pemimpin PBB dan MT BN.

Pelbagai tuduhan berlegar di media sosial dengan warga siber menuduh Putrajaya menghakis banyak hak Sarawak dan Sabah dalam perjanjian 18 perkara yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Wilfred Nisson, berkata Umno hanya "memahami isu-isu berkaitan kepentingan Melayu dan Islam" manakala di Sarawak, parti seperti PBB perlu memenuhi kepentingan pelbagai kumpulan etnik dan kepercayaan agama dan mazhab.

"Kita perlu menangani berbilang kaum, agama dengan berhati-hati untuk mengekalkan keharmonian sosial.

"Di Sarawak, garis pemisahnya sangat nipis. Justeru, kami perlu bersikap lebih prihatin terhadap sensitiviti rakyat yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik. Terdapat lebih 40 kumpulan etnik di Sarawak.

"Oleh itu tiada siapa lagi yang memahami situasi ini lebih baik melainkan rakyat Sarawak sendiri," katanya menjelaskan parti tunjang BN di Semenanjung Malaysia itu sejak kebelakangan ini dilihat gagal menguruskan keperluan masyarakat pelbagai kaum.

Pihak pembangkang, khususnya DAP juga tidak bersetuju cadangan kemasukan Umno ke Sarawak.

Pengerusi DAP negeri, Chong Chien Jen, menimbulkan kekecohan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November lalu apabila beliau menuduh Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai pro-Umno dan akan membawa parti Melayu itu ke Sarawak jika beliau menjadi ketua menteri .

Abang Johari, timbalan presiden II dalam PBB, merupakan salah seorang daripada tiga individu yang dikatakan bakal dipilih Taib sebagai ketua menteri bagi menggantikan beliau.

Apabila Abang Johari menuntut Chong, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa dan ahli Parlimen Bandar Kuching menarik balik tuduhan itu, Chong berkata, beliau hanya akan melakukannya jika DUN membawa usul untuk mengharamkan kemasukan Umno ke Sarawak.

Keengganan Chong mengalah menyebabkan Menteri Tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem – seorang lagi yang dikatakan bakal dipilih menjadi ketua menteri – bertindak menggantung Chong.

Chong masih digantung daripada sebarang persidangan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar baru-baru ini berkata, keputusan untuk membatalkan penggantungan Chong hanya akan dibuat apabila dewan bersidang pada Mei nanti.

Chong bakal terlepas beberapa sesi pertama memandangkan Asfia berkata beliau tidak akan membuat keputusan di luar Dewan.

Rundi berkata, tindakan Sarawak berpegang teguh dan menghormati perjanjian itu tidak membuatkan mana-mana rakyat Sarawak kurang kesetiaan kepada kerajaan persekutuan.

"Kami 100% setia kepada Malaysia. Kami akan bersama-sama Malaysia di saat susah dan senang.

"Tetapi hak Sarawak perlu dilindungi," katanya kepada The Malaysian Insider dan menambah Umno tidak berminat melakukannya. -TMI

ULASAN GB

GB terbaca satu komen di bawah artiekel berkenaan:

UMNO tak terasa ke? Tak nak buat demo... Tak nak tampar Taib Mahmud

"Penampar Gila" Buat Najib & UMNO BN


Imej Najib terjejas, Waytha letak jawatan akibat janji tidak ditepati

Kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semakin goyah dengan peletakan jawatan P Waytha Moorthy sebagai timbalan menteri kerana janji tidak ditepati yang dibuat dengan masyarakat India sebelum Pilihan Raya Umum 2013.

Mereka yang rapat dengan ketua Hindraf itu berkata, beliau berasa perdana menteri tidak boleh dipercayai sama seperti yang berlaku dengan isu penyelesaian 10 perkara berkenaan Bible berbahasa Melayu yang Najib kini mengatakan ia tertakluk kepada undang-undang Islam negeri.

Kedua-dua perjanjian dengan Hindraf dan Kristian yang dibuat sebelum pilihan raya oleh perdana menteri yang pengkritik katakan sebagai tidak komited atau mampu untuk ditepati.

Persoalannya, adakah mana-mana individu atau kumpulan yang akan mempercayai kata-kata Najib selepas ini?


Malah kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu, Perkasa juga tidak gembira dengan Najib kerana kurangnya ketegasan pendirian beliau dalam menangani penganut Kristian berkenaan isu penggunaan kalimah Allah dalam ibadah mereka.

Pentadbiran Najib juga sedang bergolak selepas pemotongan subsidi yang menyebabkan peningkatan harga dan inflasi tahun ini, lapan bulan selepas kempen pilihan raya di mana perdana menteri berjanji tiada pemotongan atau penarikan subsidi dan memastikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2010.

Kedudukan Najib juga menyusut kepada penurunan paling rendah sejak memegang jawatan pada 2009, menurun kepada 52% pada Disember 2013, daripada 62% pada Ogos 2013, hasil tinjauan Merdeka Center.

Dua bulan selepas menggantika3n Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri, kedudukan Najib sebanyak 65% apabila rakyat bersetuju dengan slogan 1Malaysia dan janji mewujudkan kerajaan yang mesra rakyat .

Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta Najib bertanggungjawab terhadap prestasinya yang buruk terutamanya dalam memenuhi janji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low harus mengikut jejak langkah Waytha dan meletakkan jawatan daripada Kabinet.

"Nampaknya Waytha Moorthy dan Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) adalah satu-satunya di negara ini yang tidak tahu Najib tidak mempunyai keupayaan politik atau keberanian untuk menunaikan janji dalam MoU .

"Jadi Paul Low akan mengikuti jejak langkah Waytha Moorthy memandangkan tiada siapa yakin dengan keupayaan Najib melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa menteri dan pegawai mereka, "
kata ahli politik veteran itu.

Waytha dan Low menyertai pentadbiran Najib selepas pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu, yang dilihat sebagai satu kegagalan bagi perdana menteri berbanding pucuk pimpinan terdahulu, Abdullah.

Najib menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Waytha sebelum pilihan raya tahun lalu yang membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh semula sokongan kecil masyarakat India yang membentuk 7% daripada 29 juta penduduk negara ini.

Dalam MoU itu, parti kerajaan itu berjanji untuk menyelesaikan masalah sosio -ekonomi kronik yang melanda masyarakat India jika BN kembali berkuasa dengan sokongan Hindraf.

Peguam, R Kengadharan, berkata Waytha adalah "lelaki yang kecewa" kerana kerajaan BN gagal melaksanakan semua janji yang dibuat.

Pemimpin Kristian juga membuat aduan penyelesaian 10 perkara pada 2011 membenarkan kitab Bible berbahasa Melayu kini tidak bermakna selepas perdana menteri berkata undang-undang Islam negeri mengatasinya seperti serbuan terhadap Pertubuhan Bible Malaysia di Selangor bulan lalu.

Undang-undang digubal oleh kerajaan BN negeri pada 1980-an selepas kerajaan persekutuan BN mengikut keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang melarang kira-kira 40 perkataan daripada digunakan oleh agama lain. -TMI

Najib kena penampar – Shahbudin Husin


Sementara ramai tertunggu-tunggu siapakah yang berani menyahut cabaran untuk menampar muka Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok demi mendapatkan ganjaran wang tunai RM1,200 yang ditawarkan oleh sebuah NGO, secara tiba-tiba keluar berita mengenai peletakan jawatan pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Dewan Negara berkuatkuasa 10 Februari.

Meletak jawatan dalam suasana politik tidak menentu sambil menuduh Datuk Seri Najib Razak dan Putrajaya sebagai pemungkir janji, pedihnya lebih memeritkan berbanding tamparan yang singgah di pipi.

Sebagaimana yang dipetik daripada kenyataan Setiausaha Hindraf, P Ramesh bahawa peletakan jawatan itu adalah kerana kegagalan Putrajaya menunaikan janjinya kepada masyarakat India seperti yang dimeterai antara Najib dengan Waytha, beberapa hari sebelum pilihan raya umum lalu.

Dengan adanya perjanjian itu yang didapati menyaksikan beralihnya sebahagian sokongan pengundi India kepada Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang dibuktikan melalui kemenangan MIC yang lebih baik berbanding pilihan raya umum pada 2008 dan juga melalui peti undi di kawasan yang didiami mereka, Waytha kemudian dilantik sebagai senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Namun hanya kira-kira lapan bulan berada dalam kerajaan dan menunggu janji kepada kaum India masih seperti menunggu buah yang tidak gugur, Hindraf akhirnya memutuskan Waytha perlu "mencampakkan" semua jawatan yang diberikan Najib itu berikutan tiada tanda ia akan ditunaikan oleh kerajaan.

Menurut Ramesh lagi, pihaknya melakukan segala yang boleh, menandatangani perjanjian dengan musuh semata-mata untuk kepentingan masyarakat India serta dengan kepercayaan segala janji yang ditandatangani akan menjadi kenyataan.

Malangnya, tambah Ramesh, setelah lapan bulan menanti dan bersabar, Hindraf sudah putus asa dengannya.

Di ketika kepimpinan Najib begitu dipertikaikan sebagai lemah, tidak tegas, gagal menunaikan janji, tidak mengutamakan rakyat sebagaimana yang dijanjikan sebelum pilihan raya, melupakan beberapa akujanjinya sendiri serta banyak lagi, peletakan jawatan pemimpin Hindraf itu bermakna mereka sudah menarik balik sokongan yang pernah diberi sebelum ini, keadaan ini tentunya merupakan tamparan menyakitkan bagi perdana menteri.

Ditambah dalam suasana BN perlu menghadapi pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan, putusnya ikatan kasih antara kerajaan dengan Hindraf ini pastinya juga bakal menyaksikan sebahagian lagi daripada jumlah 10% pengundi India di DUN Kajang tidak akan memberikan undinya kepada BN.

Jika Teresa Kok sedang kerisauan kiranya cabaran menamparnya disambut oleh mana-mana pihak yang pendek akal, lebih-lebih lagi setelah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa ganjaran yang ditawarkan oleh sebuah NGO mengenainya tidak boleh dikira sebagai ugutan serta tidak perlu disiasat polis, tamparan yang dilakukan oleh Hindraf ini jauh lebih menyakitkan Najib.

Dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada dalam Umno sendiri, sokongan rakyat secara keseluruhan tidak bertambah baik, pengundi Cina kekal menolak BN, Pakatan Rakyat makin meningkatkan tekanan menghadapi PRU14, dan kini Hindraf pula memutuskan ikatannya lantaran kecewa kerana janji tidak ditunaikan, kedudukan BN atau kerajaan bukan saja dilihat sukar di Kajang, bahkan juga untuk mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya akan datang.

Hindraf pula, melakukan tamparan kepada Najib ini bukannya kerana ada ganjaran terbuka yang ditawarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Pakatan Rakyat tetapi barangkali dengan berbuat demikian, faedah untuk kaum India sudah boleh dibayangkan untuk diperolehi melalui Selangor yang bakal mendapat ketua kerajaan baharu selepas ini, sebelum manfaat selebihnya akan dikutip selepas PRU14 nanti.
– shahbudindotcom


[KANTOI] "Penyamun" Itu Pakai Baju Lambang Apa?


Penyamun bangang kena cekup

BANTING: Tindakan dua penjenayah menggunakan nombor pendaftaran kereta sama ketika melakukan jenayah sebelum ini berjaya diberkas kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, kedua-dua suspek berusia 20-an berjaya diberkas di Jalan Cempaka, di sini, selepas kelibat mereka disedari ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) Telok Datok yang melakukan rondaan.

Curiga dengan kehadiran kereta yang dinaiki suspek, ahli SRS kemudian mengekori mereka kira-kira 30 minit dan memaklumkan kepada polis nombor pendaftaran kereta berkenaan sama dengan nombor kereta yang terbabit dalam kejadian ragut seorang wanita di Pekan Banting, 23 Januari lalu.

Menyedari mereka diekori, suspek memecut namun kecekapan polis kemudiannya berjaya memberkas mereka yang dipercayai merancang untuk melakukan jenayah di kawasan berhampiran.

Pengerusi SRS Telok Datok Khairul Azhar Misnan berkata, sebelum ditahan, beliau bersama tiga lagi anggota SRS melakukan rondaan sebelum terserempak dengan suspek.-HM

ULASAN GB

Baru-baru ini tersiar satu berita seorang remaja memakai baju 1Malaysia/BN ditangkap kerana mencuri beberapa bungkus MILO.


Yang ini pula "penyamun" tersebut juga kelihatan memakai baju berlambangkan yang sama, BN.


Adakah dalam BN ramai sangat penyamun atau di kalangan penyamun ramai anggota BN atau mereka menggunakan baju BN untuk mudah melepaskan diri di era kerajaan penyamun?

Demikian, hukum kebenaran dan keadilan berjalan...

[VIDEO & GAMBAR] Hotel di Madinah Terbakar, 15 Maut 130 Cedera


Riyadh: Satu kebakaran Hotel Ishraq Al-Madina di Madinah pada Sabtu telah menyebabkan 15 jemaah maut dan mencederakan 130 yang lain, lapor agensi berita SPA.

Kabakaran dilaporkan berlaku 2.33 petang Sabtu waktu tempatan dan kira-kira pukul 8 malam waktu Malaysia.

Agensi tersebut melaporkan, beberapa pegawai yang ditemui berkata kira-kira 700 jemaah telah menginap di hotel di bandar barat Madinah untuk melaksanakan umrah.

Laporan sebelum ini berkata 12 orang terbunuh dalam kebakaran tersebut.

Stesen-stesen televisyen di Mesir berkata rakyat Mesir dan Turki adalah antara mereka yang terkorban dan jurucakap Kementerian Luar, Badr Abdelatty berkata Kaherah masih cuba untuk mengesahkan jumlah warga mereka yang meninggal dunia.

"Api tersebut mengakibatkan kematian 15 jemaah dan disebabkan oleh pengsan, pendarahan dan serangan jantung dan pernafasan . Kami juga merawat 30 kes lemas akibat kebakaran," kata Mohammed Mahmoud Kheyat , jurucakap Bulan Sabit Merah Arab di Madinah kepada agesi berita tersebut.

Kebakaran berlaku pada waktu petang dan berjaya dikawal beberapa jam kemudian oleh lebih daripada 110 anggota Bomba dan Pertahanan Awam Arab Saudi.

Mereka yang terselamat berpindah ke hotel lain di bandar tersebut.

Pihak berkuasa melakukan siasatan punca kebakaran itu dan mengatakan kerja-kerja penyelenggaraan di hotel itu litar pintas mungkin menjadi punca hotel tersebut terbakar. -astroawani






9 Feb 2014

Zahid Hamidi Ditibai Dari Segala Arah


Pengguna laman sosial juga tawar ganjaran buat Zahid

Kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa tawaran wang tunai untuk 'menampar' seorang ahli parlimen DAP bukan "satu ancaman", menyebabkan laman media sosial kecoh dengan tawaran mereka sendiri.

Tidak seperti sekumpulan NGO Islam yang menawarkan RM 1,200 untuk menampar Teresa Kok, pengguna laman sosial itu juga membuat tawaran kepada mereka yang berani untuk menyedarkan Zahid.

Tawaran dari pelbagai individu itu bermula serendah 5 sen dan setinggi RM 1,500 dan beberapa pengguna mencadangkan majlis kutipan derma bagi tujuan itu.


'Twit' dalam bahasa Melayu dan Inggeris mengenai hal itu memenuhi laman tersebut sehingga lewat malam semalam sehingga ada yang menawarkan seikat kangkung bagi tujuan sama.

Beberapa pengguna, seperti personaliti media Asha Gill mencadangkan supaya menggabungkannya dengan kempen derma, manakala kebanyakan yang lain rasa jengkel dengan menganggap kenyataan Zahid tidak logik. -mk


Apa tindakan polis jika NGO tawar RM1,200 tampar PM & Menteri-menteri Malaysia?


Bayangkan apa tindakan Polis jika ada enam NGO membuat demonstrasi tengah hari kelmarin dan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mengemukakan bukti bergambar bagi tindakan itu, diikuti dengan tindakan melumur darah ayam ke atas sepanduk memuatkan gambar menteri-menteri Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Kalau demonstrasi sedemikian terjadi, sudah tentu seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia, diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri, akan mengerumuni 30 penunjuk perasaan daripada enam NGO terbabit dan semua mereka akan terus disumbat ke dalam lokap, disiasat dengan teliti dan dengan pantas didakwa, bukan saja kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memberi notis 10 hari untuk perhimpunan tersebut, malah mereka juga akan didakwa kerana melakukan jenayah yang ‘menjejaskan’ demokrasi berparlimen menurut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 1012 (Sosma), Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan sebagainya, dan kemungkinan semua yang terlibat itu akan merengkok lama dalam penjara.

Malah, kemungkinan enam NGO yang diwakili oleh 30 orang itu dengan pantas akan disumbat ke dalam “Black Maria” sehingga tidak sempat menyembelih ayam dan malah tidak sempat pun berhimpun kerana polis telah mendapat maklumat tentang rancangan mereka jauh lebih awal.

Tidak diragui lagi bahawa Cawangan Khas Polis Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia di kalangan unit khas sejenisnya, berkat warisan penjajah British dan kedudukan istimewanya dalam hirarki polis dengan himpunan maklumat risikan yang dikumpul dengan tujuan utama melindungi rejim yang berkuasa sekarang, sedangkan dalam masyarakat yang benar-benar demokratik, perkara paling utama bagi polis ialah untuk memelihara demokrasi berparlimen dan hak asasi manusia.

Tidak masuk akal sama sekali jika polis tidak mendapat apa-apa maklumat tentang demonstrasi kelmarin sebelum wakil-wakil media cetak dan media elektronik turun memberikan liputan penuh tentang demonstrasi itu yang diisi dengan acara menyembelih ayam dan melumur darah – jika benar polis tiada maklumat awal, maka Cawangan Khas patut dirombak sepenuhnya dan malah pengarah Cawangan Khas sepatutnya dipecat.

Namun, saya tahu Cawangan Khas adalah cekap, bererti polis telah mendapat maklumat awal tentang demonstrasi yang dirancang oleh enam NGO yang menggelar diri mereka sebagai Majlis NGO Islam, terdiri daripada Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).

Sehingga kini, Polis dan juga kerajaan Barisan Nasional membisu seribu bahasa tentang demonstrasi kelmarin yang melampau, menghasut, dan secara terbuka mengapi-apikan kebencian perkauman dan keagamaan untuk mencetuskan satu lagi peristiwa 13 Mei dalam negara berikutan video “Onederful Malaysia CNY 2014” yang mengkritik kegagalan dan kelemahan kerajaan Barisan Nasional tanpa mengaitkan mana-mana kaum atau agama.

Video Teresa didakwa anti-Melayu dan anti-Islam. Saya telah menjemput pihak yang membuat dakwaan sebegini untuk tampil secara terbuka menunjukkan di bahagian mana video itu anti-Melayu dan anti-Islam.

Jika mereka boleh menunjukkan ada bahagian dalam video itu yang anti-Melayu dan anti-Islam, saya secara terbuka akan meminta Teresa untuk mengambil tindakan yang wajar. Namun, sehingga kini belum ada siapa menyambut permintaan saya.

Paling menyedihkan, dua pemimpin MCA yang baru dipilih untuk memegang jawatan tertinggi, iaitu Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden Datuk Dr Wee Ka Siong, seperti pemimpin-pemimpin MCA yang lain yang menurut jejak Barisan Nasional menyerang video Teresa, gagal menunjukkan di bahagian mana video itu anti-Melayu atau anti-Islam, tetapi mereka terus menggalakkan dan malah membantu protes puak ekstremis terhadap video Teresa.

Saya percaya semua rakyat Malaysia yang sihat akal fikirannya berhak untuk bertanya kepada KPN, Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri, serta pimpinan Umno dan MCA mengapa layanan berbeza akan diberikan jika ada enam NGO menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Perdana Menteri dan melumur darah pada sepanduk bergambar Menteri Umno berbanding layanan yang diberikan terhadap enam NGO kelmarin yang menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Teresa Kok dan melumur darah pada sepanduk yang memaparkan wajah pemimpin Pakatan Rakyat.

Sikap pilih bulu diamalkan oleh polis dan institusi utama negara, sedangkan mereka seharusnya bersikap tidak berpihak, saksama, dan profesional. Keadaan ini membuatkan rakyat semakin tidak yakin akan adanya urus tadbir yang baik, kebertanggungjawaban dan ketelusan di Malaysia.
-LKS



Ahmad Zahid salah berhubung kenyataan terhadap Teresa Kok‎, kata peguam


Peguam jenayah mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan bukan satu kesalahan untuk menawarkan ganjaran untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, dengan berkata terpulang kepada pendakwa raya untuk memutuskan jika kesalahan dilakukan.

Mereka berkata, pihak polis mempunyai tanggungjawab untuk bertindak secara profesional dan menyiasat apabila nyawa seseorang terancam, walaupun mereka di bawah kementerian yang diketuai Ahmad Zahid.

Peguam Syahredzan Johan berkata, sikap tidak peduli menteri itu tidak sepatutnya berlaku dan polis sepatutnya menjalankan siasatan kerana laporan polis sudahpun dibuat.

"Polis sepatutnya menguatkuasakan undang-undang mengikut buku statut,"
katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata tugas polis adalah untuk mengumpul bukti yang ada dan menyerahkannya kepada pendakwa raya yang akan memutuskan jika adanya kes untuk didakwa.

Syahredzan berkata, dengan membuat kenyataan sebegitu, Ahmad Zahid sebenarnya menggalakkan tindakan tersebut, yang jelas melanggar undang-undang.

"Pelaku salah juga patut diteliti di bawah Akta Perhimpunan Aman bagi membawa pisau dan menyembelih ayam di pusat bandar," katanya.

Ahmad Zahid berkata tidak perlu membuka penyiasatan atas laporan polis dibuat terhadap Majlis NGO Islam - menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar ahli Parlimen Seputeh dan menyembelih ayam serta mencalit darahnya atas kain rentang dengan wajah pemimpin Cina DAP dan PKR di atasnya.

"Menampar bukan satu ancaman. Kalau mereka katakan bunuh, itu barulah ancaman," kata menteri itu semalam.

Pada Khamis, badan yang digelar Majlis NGO Islam, menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai tanda kemarahan terhadap pemimpin pembangkang itu yang dikatakan menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Fokus badan tersebut adalah Kok dan video Tahun Baru Cinanya, bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014'.

Mereka kemudiannya mencalit darah ke atas kertas rentang dengan wajah Kok dan pemimpin lain.

Penasihat Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata, kenyataan Ahmad Zahid juga merupakan penghinaan terhadap wanita kerana menganggap ancaman yang jelas sebagai satu jenaka.

"Beliau menghantar mesej yang salah jika pro-Umno, anda akan kebal daripada undang-undang. Beliau menunjukkan bahawa kita boleh berbuat dan berkata apa sahaja, termasuk mengugut untuk memukul orang."

Paulsen berkata dalam kes ini, NGO tersebut melakukan kesalahan kerana menggalakkan jenayah terhadap seorang ahli Parlimen.

Sementara itu, Peguam Gobind Singh Deo berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sepatutnya mendidik Ahmad Zahid tentang peruntukan Seksyen 503 (jenayah ugutan) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata peruntukan itu menyatakan sesiapa yang mengugut untuk mencederakan orang lain melakukan jenayah ugutan.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah penjara selama dua tahun dengan saman, dan dalam kes ugutan membawa kecederaan, hukuman adalah penjara sehingga tujuh tahun.

"Ancaman menampar seseorang jelasnya jatuh di bawah seksyen ini," kata Gobind yang juga merupakan ahli Parlimen Puchong.

Beliau berkata, Ahmad Zahid tentunya keliru apabila berkata tindakan hanya akan diambil selepas sesuatu insiden berlaku.

"Itu memang tidak munasabah. Undang-undang tidak perlu menunggu seseorang untuk melakukan serangan sebelum tindakan diambil. Ancamannya sudah jelas. Dia seperti tidak faham perkara ini," katanya.

Peguam N Surendran pula berkata Ahmad Zahidi merendahkan penguatkuasaan undang-undang, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara terbuka.

"Kenyataan beliau adalah sama dengan melepaskan tangan daripada tanggungjawabnya sebagai menteri,"
kata ahli Parlimen Padang Serai itu.

Katanya Ahmad Zahid terikat dengan undang-undang dan janji untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Beliau juga berkata Ahmad Zahid melanggar sumpah janji kepada Pejabat Perdana Menteri, dengan menambah: "Beliau membuktikan beliau tidak layak memegang jawatan menteri dalam negeri atau apa-apa jawatan lain."

Surendran menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memastikan undang-undang dilaksanakan dalam perkara ini.

"Mereka yang bersalah menawarkan ganjaran tampar ini perlu ditahan," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan tiada keperluan untuk menyiasat ancaman dan tawaran itu, sebaliknya mengatakan kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang meneliti Kok atas videonya, setelah menerima lebih dari 300 laporan polis.

Semalam polis sudahpun memulakan penyiasatan terhadap aduan Kok dan mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 505 (c) bagi kerosakan awam dengan tujuan menghasut orang ramai untuk mencederakan orang awan, serta Seksyen 506 kerana jenayah ugutan.
-TMI


MyDin Tarik Balik Seluar Dalam Bergambar Masjid


Gambar seluar dalam kanak-kanak yang mempunyai gambar masjid yang dikeluarkan Thunder Storm Sdn Bhd dan dipasarkan di pasaraya besar Mydin mendapat kecaman pelbagai pihak setelah dimuat naik di Facebook.

Gambar di atas yang dikongsikan di laman Facebook Saya Anak Melaka yang dianggap ramai pengguna Mydin tidak peka dengan produk tersebut. Setelah dimaklumkan pihak Mydin bertindak segera mengeluarkan produk ini daripada rak pasaraya mereka.


Thunder Storm Sdn Bhd, turut meminta maaf kepada umum dan membuat penjelasan seperti di bawah.


Diharap mereka lebih berhati-hati selepas ini. -ekeleh

Syabas Mejar Zaidi, Tidak Ramai Anggota Tentera Yang Berani Sepertinya


Suami saya hanya pertahan haknya”

KUALA LUMPUR 8 FEB: Shafinah Abdul Hamid, isteri kepada Mejar Zaidi Ahmad yang didakwa atas tujuh tuduhan oleh Mahkamah TUDM kerana dikatakan menghantar SMS berbaur politik dan hasutan berkata, apa yang dilakukan suaminya adalah hak sebagai rakyat Malaysia.

Beliau ketika ditemui di perkarangan Mahkamah TUDM semalam menyatakan sokongan penuh kepada suaminya dan menyifatkan tindakan mendedahkan isu dakwat kekal merupakan hak suaminya sebagai pengundi.

“Itu hak dia sebagai rakyat Malaysia. Dia (Mejar Zaidi) tahu apa yang akan berlaku jika buat pendedahan.

“Tapi baginya itu adalah hak dia untuk menyatakan pendirian sebagai pengundi,” kata Shafinah.

Sementara itu, Mejar Zaidi Ahmad yang segak beruniform hanya tersenyum sambil membuat simbol aman (peace) dengan tangan sebaik selesai prosiding pertuduhan di mahkamah, semalam.

“Saya tak boleh komen apa-apa,” katanya ringkas sambil tersenyum.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mejar Zaidi didakwa “di perkarangan Balai Polis IPD Kepala Batas pada 1 Mei 2013 melanggar Perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961, Discipline and Security – Communication of Information and Publication of Articles by Members of the Armed Forces,” di bawah Para 5 dan Para 13.

Beliau didakwa “dengan membuat kenyataan media untuk menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal yang sepatutnya perkara tersebut disiasat melalui saluran angkatan tentera”

Manakala dibawah Para 13 beliau didakwa “dengan membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pertahanan”.

Bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima, beliau di Taman Bertam Indah pada 3 Mei 2013 didakwa melanggar perintah yang sama di bawah Para 5 dan Para 13 serta satu lagi kesalahan di bawah Para 3, iaitu “dengan menyiarkan maklumat rasmi berupa kawat tumpangan keluar kepada pihak media tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Angkatan Tentera”.

Bagi pertuduhan keenam, beliau semasa bertugas di Pangkalan Udara Butterworth pada 1 Mei 2013 didakwa “telah melanggar perintah tetap pengkalan iaitu Perintah Bahagian 2 Perintah No 51, dengan menghantar khidmat pesanan ringkas berbaur politik dan/atau hasutan dengan menyatakan “Ayuh mempertahankan ibu pertiwi dri djajah oleh penipu dan perasuah, jgn jd bacul dan nnt anak cucu kencing d atas kubur kita” iaitu suatu perintah yang diketahui atau sepatutnya dia mengetahui.”

Bagi pertuduhan keenam pula beliau dituduh melakukan kesalahan serupa dengan kandungan SMS berikut “Sama2 lah kita berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua serta dilindungi negara kita yang tercinta ini dari diperintah oleh SIPENZALIM, PEMFITNAH, PERASUAH, PENIPU DAN PENGANJUR PGRM2 MAKSIAT”. -kD


Dakwat kekal: Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah


Mejar Zaidi Ahmad hari ini mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau ekoran pendedahan mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tentera di pangkalan TUDM, Sungai Besi, petang tadi.

Biarpun pihak peguambela mengemukakan bantahan awal terhadap tuduhan yang dikenakan, mahkamah menolak bantahan itu dan memutuskan untuk meneruskan perbicaraan tersebut.

Hakim kemudiannya menetapkan 8 hingga 10 April depan bagi sebutan semula kes tersebut.

Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972, sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.

Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.

Semua pertuduhan berkenaan merujuk pada tarikh 1 Mei 2013 di dua lokasi berbeza iaitu perkarangan Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas dan Pangkalan Udara Butterworth.

Sementara itu, isteri beliau, Shafinah Abdul Hamid ketika ditemui menyatakan sokongan penuh kepada suaminya dan menyifatkan tindakan mendedahkan isu dakwat kekal itu merupakan hak suaminya sebagai pengundi.

"Dia (Mejar Zaidi) tahu apa yang akan berlaku jika buat pendedahan itu, tapi baginya itu adalah haknya untuk menyatakan pendiriannya sebagai pengundi," ujar beliau ringkas.

Beliau kemudiannya enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang perasaannya dan harapan beliau terhadap perbicaraan yang akan bermula April depan.

Turut hadir pada sebutan kes petang tadi ialah Ketua dan Naib Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat dan Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Semalam, PAS menggesa TUDM membatalkan tindakan pendakwaan terhadap Mejar Zaidi dan menyifatkan pendakwaan ke atas Zaidi adalah satu tindakan yang tidak wajar, malah akan memalukan institusi tentera secara keseluruhannya memandangkan anggota itu hanya menzahirkan haknya sebagai seorang pemilih yang sah.

"Kes ini adalah berkaitan hak dan kebebasan demokrasi berparlimen. Ianya bukan kes salah laku dalam tentera secara khusus.

"Dia buat atas dasar hak dia sebagai seorang rakyat, dan terpanggil untuk menyatakan kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya yang dia alami sendiri.

"Jadi kita mintak pihak tentera membatalkan, atau tarik balik pendakwaan kes tersebut," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.
-HD


ULASAN GB

Semuga Allah melimpahkan kesabaran dan rahmatNya ke atas keluarga Mejar Zaidi serta dikurniakan kemenangan di dalam kesnya nanti. Allah sesekali idak akan mensia-siakan perjuangan orang yang menyatakan kebenaran dan berbuat kebaikan...

Macai UMNO Kantoi Cuba Membela Remaja BN & Memfitnah Unit Amal


Semalam blog milosuam menyiarkan sekeping gambar seorang remaja berpakaian 1Malaysia / BN ditangkap kerana mencuri beberapa bungkus milo. Tiba-tiba pada hariini di dalam satu facebook trooper UMNO, gambar tersebut diedit dan pakaian remaja yang berbaju 1Malaysia/BN itu ditukarkan kepada pakaian merah tua berlambangkan Unt Amal.


Lelaki pakai baju BN ditangkap curi berbungkus-bungkus Milo


TERSEBAR sekeping gambar lelaki memakai baju Barisan Nasional dengan longgokan berbungkus-bungkus Milo di depannya.

Lelaki ini dikatakan telah ditangkap kerana mencuri Milo tersebut.

Ini menunjukkan bahawa Penyokong Barang Naik juga terbeban dengan kenaikan harga barang.


Peningkatan harga barang semakin tidak terkawal menyebabkan desakan hidup rakyat semakin memuncak.

Tidak kira ideologi politik, malah penyokong Barang Naik, BN pun terbeban dengan kenaikan harga barang.

Masaalah ekonomi meningkat, jenayah juga akan meningkat. Kita tunggu 3 bulan dari sekarang jenayah akan jauh lebih tinggi kerana masyarakat sudah tidak dapat menyerap desakan hidup.

"Barang Naik punya pasal, semua orang susah"-milosuam


Kononnya dikatakan bahawa milosuam memfitnah BN dan "fitnah" itu kononnya pula berjaya dipatahkan oleh cybertrooper UMNO.

Apabila diamati dengan teliti ternyata pengeditan terhadap pakaian remaja itu jelas kecacatannya terutama lambang Unit Amal yang begitu tegak bertepek di dada baju merah tua berkenaan.

Dan hasil kerja pengeditan itu telah dikesani oleh ramai facebooker yang lain.


Macai kangkung tetap kangkung...

8 Feb 2014

Bagaimana Kalau Ada Tawaran Tampar Zahid? Itu Bukan Ancamankah?

Tawaran tampar Teresa Kok bukan ancaman, kata Zahid

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan ancaman tawaran badan bukan kerajaan (NGO) Islam kepada sesiapa yang berjaya menampar Teresa Kok daripada DAP dengan mengatakan "tiada apa yang hendak disiasat, kerana tiada ancaman."

"Mengapa kita perlu siasat itu?

"Menampar bukan ancaman. Jika mereka kata bunuh barulah boleh dikatakan ancaman," katanya selepas sebuah majlis di Penjara Kajang hari ini.‎

Beliau berkata polis hanya akan mengambil tindakan sekiranya tamparan tersebut berlaku.

"Jika mereka tampar (Teresa Kok), kami akan ambil tindakan.

"Hal tamparan ini antara Teresa dan badan NGO itu," tambahnya.

Bagaimanapun, polis mendedahkan semalam, mereka mula menyiasat ancaman tersebut dan mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 505(c) bagi kerosakan awam dengan tujuan menghasut orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang lain dan Seksyen 506 bagi ugutan jenayah.

Bekas Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu semalam berkata, ketiadaan tindakan Putrajaya terhadap NGO tersebut bermakna kerajaan bersetuju dengan tindakan tersebut.

"Kerajaan sepatutnya mengecam tindakan ini, apa yang susahnya? Mengapa mereka tidak dapat keluar dan berkata sesuatu?

Disebabkan inilah adanya budaya sewenang-wenangnya kerana badan sebegini fikir mereka boleh terlepas dengan apa sahaja," kata Ambiga dan menambah, ia juga membuatkan polis kelihatan lemah.


Semalam, badan yang menggelar dirinya "Majlis NGO Islam" menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang dapat menampar Kok sebagai simbol kemarahan terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Fokus badan tersebut adalah Kok dan video Tahun Baru Cina yang bertajuk “Onederful Malaysia CNY 2014”.

Mereka juga mencalit darah ayam yang disembelih ke atas kertas rentang yang terdapat gambar Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Dewan Undangan PKR Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Kok dan penyokongnya membuat sebanyak 7 laporan polis di Kuala Lumpur semalam dan meminta polis untuk mengambil tindakan terhadap badan tersebut tentang ugutan mereka.

Peguam juga mengkritik ketiadaan tindakan polis semasa protes itu berlaku, dengan berkata mereka tidak sepatutnya menunggu untuk laporan polis oleh mangsa sebelum menyiasat insiden itu.

"Mereka perlu proaktif dalam situasi sebegini. Mereka perlu mencantas situasi tegang antara kaum dan agama sebelum ia di luar kawalan," Datuk Baljit Sidhu berkata kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, Zahid juga mendedahkan terdapat lebih 300 laporan polis terhadap Kok atas video beliau.

"Kami sudahpun memulakan siasatan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia tentang perkara ini.

"Kami akan mengumpul kesemua laporan yang diterima daripada NGO tersebut dan meneliti perkara ini." -TMI

ULASAN GB

Demikianlah sikap seorang menteri UMNO yang bias dan perkauman. Tawaran untuk menampar orang tidak dikatakan sebagai ancaman. Kalau dah tampar baru ambil tindakan.

Bagaimana kalau ada pihak yang mengeluarkan tawaran kepada sesiapa yang berjaya menampar Zahid Hamidi atau mana-mana pemimpin UMNO? Huh, masa itu baru kata ancaman besar?

Itulah sebab agaknya Zahid yang pernah menumbuk seorang pemuda tak dikenakan tindakan apa-apa. Malah ooleh menjadi seornag menteri ... menteri Kesalamatan Dalam Negeri pula, yang bertanggungjawab di atas polis!

[KELANTAN BERGOLAK] Akan Berulangkah Tragedi 1977?


Kerajaan Kelantan bergoncang akibat dua serangan dalaman

Serangan dalaman PAS adalah daripada penyokong Che Ibrahim Mohamed, bekas kadi yang juga Timbalan Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang dipecat manakala satu lagi pihak adalah adalah penyokong Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah Ramlan Mat dari PKR yang juga dipecat daripada jawatannya.‎

Kumpulan penyokong Che Ibrahim membuat demonstrasi hari ini di depan kolej dekat Nilam Puri bersebelahan Masjid Kampung Laut yang bersejarah itu.

Che Ibrahim adalah penyokong utama Datuk Husam Musa yang keempat dipecat oleh pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang baru.

Sebelum ini, Asrul Afendi (Pegawai IT KGT Sdn Bhd yang juga pegawai akhbar Husam), Khir Zahri Abdul Ghani (Pengurus Tabung Tok Kenali), Fauzi Mohamad (Pengurus Besar PMBK Sawit) serta beberapa lagi kakitangan kerajaan negeri serta anak syarikatnya dipecat.


Che Ibrahim hari ini menyerahkan kembali cek daripada KIAS yang diberikan sebagai pampasan sebagai tanda protes.

Penyokong Che Ibrahim menamakan secara langsung Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohamad Amar sebagai pihak yang tidak disenangi mereka dalam krisis ini.

Che Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, beliau akan memfailkan kes ini kepada Mahkamah Perusahaan jika ia tidak diselesaikan dengan baik.

"Ini adalah kes antara saya dengan Nik Amar dan saya tidak akan berdiam diri," katanya.

Semalam, dalam kenyataannya kepada media, Nik Amar menafikan beliau adalah dalang di sebalik pemecatan Che Ibrahim kerana beliau hanya melaksanakan keputusan Lembaga Pengarah KIAS.

Beliau adalah Pengerusi Lembaga KIAS yang menandatangani surat pemecatan Che Ibrahim mulai 1 Februari 2014 lalu.

KIAS adalah kolej yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.

Sebuah lagi kumpulan adalah 50 orang penyokong PKR dari Jeli yang menyerbu rumah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub di Tumpat malam kelmarin setelah pemecatan Ramlan Mat.

Bekas calon Kuala Balah dalam pilihan raya lalu itu dilantik menjadi penyelia DUN kira-kira tujuh bulan lalu tetapi secara tiba-tiba pelantikannya ditarik balik sebelum cukup tempoh setahun.

Penyelia DUN adalah pegawai kerajaan negeri yang dilantik untuk menguruskan kawasan DUN yang dimenangi oleh pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Ia setaraf dengan wakil rakyat untuk kawasan berkenaan.

Pemecatan Ramlan menjadi sensitif kepada hubungan PAS dan PKR kerana sesetengah pemimpin PAS di Kelantan menganggap kehadiran PKR tidak penting di Kelantan.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, kesemua calon Pakatan Rakyat (PR) daripada PKR kalah di Kelantan.

Namun menurut pemerhati politik Kelantan, penyokong PKR memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan calon PAS terutama di kerusi-kerusi marginal.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Husam tidak dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Kelantan selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi menjadi menteri besar.

Sejak itu, satu persatu penyokong beliau diberhentikan selain beliau sendiri.

Anak-anak syarikat yang selama ini ditubuh dan diketuai beliau juga diambil pihak lain.

Berikutan itu, tawaran kerajaan negeri kepada beliau untuk mengetuai dua anak syarikat ditolak oleh Husam sendiri.

Tidak seperti yang lain, Che Ibrahim tidak mendiamkan diri selepas beliau dipecat.

Beliau menulis dalam akaun Facebook di samping membuat protes bersama penyokongnnya hari ini secara terbuka. -TMI


Bela Che Ibrahim: Beliau pernah gegarkan negara, kata Husam


Datuk Husam Musa membela penyokongnya, bekas kadi, Che Ibrahim Mohamed yang dipecat oleh anak syarikat kerajaan negeri Kelantan dengan mendakwa tindakan tersebut tidak sewajarnya dilakukan oleh kerajaan Islam.

"Kerajaan Islam perlu bertindak adil dan ihsan kepada pekerja kita.

"Lagipun beliau (Che Ibrahim) adalah pengasas KIAS dan ingatlah jasanya yang pernah menggegarkan negara suatu ketika lalu," kata naib presiden PAS itu kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri mempertimbangkan semula pemecatan itu.

Pada 1 Februari lalu, Che Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Pendaftar Kolej Islam Sultan Yahya Petra (KIAS), sebuah kolej yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Kelantan.

Surat pemecatan itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga KIAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.

Che Ibrahim adalah penyokong Husam yang keempat dipecat, dipercayai berikutan pertembungan antara Husam dengan kepimpinan baru kerajaan negeri Kelantan, terutama Mohamad Amar.

Sebelum Che Ibrahim, tiga penyokong Husam turut dipecat iaitu Asrul Afendi (Pegawai IT KGT Sdn Bhd yang juga pegawai akhbar Husam), Khir Zahri Abdul Ghani (Pengurus Tabung Tok Kenali) dan Fauzi Mohamad (Pengurus Besar PMBK Sawit) selain beberapa kakitangan kerajaan negeri serta anak syarikatnya.

Che Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam berkata:"Ini adalah kes antara saya dengan Nik Amar dan saya tidak akan berdiam diri."

Sementara itu, dalam kenyataan kepada media, Mohamad Amar menafikan beliau dalang di sebalik pemecatan Che Ibrahim kerana beliau hanya melaksanakan keputusan Lembaga Pengarah KIAS.

Selepas pilihan raya umum lalu, Husam tidak dilantik sebagai exco kerajaan negeri selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan sebagai menteri besar Kelantan.

Semalam, Che Ibrahim dan penyokongnya berhimpun di depan kolej dan menyerahkan kembali cek yang diberi KIAS untuk pampasan sebagai tanda penentangan ke atas pemecatan itu.

"Sekurang-kurangnya kenanglah jasa beliau sebagai khatib yang pernah menggegarkan negara apabila berkhutbah menegur bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara berdepan ketika lawatan beliau ke Kelantan dahulu," kata Husam.

Pada 1993, Che Ibrahim pernah membacakan khutbah Jumaat di depan Dr Mahathir di Masjid Bukit Marak sehingga ia menjadi tajuk utama akhbar selama beberapa hari kerana beliau mengkritik bekas perdana menteri itu yang turut menunaikan solat di depannya ketika itu.

Husam berkata, bercakap benar di depan pemerintah yang zalim adalah antara ajaran Islam dan ia dilakukan oleh Che Ibrahim pada ketika itu.

Sebelum dilantik menjadi Timbalan Pendaftar KIAS, Che Ibrahim pernah menjawat beberapa jawatan lain termasuk kadi, Setiausaha Majlis Syura Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) dan Setiausaha Jawatankuasa Pindaan Enakmen Mahkamah Syariah Kelantan (Jawatankuasa Penggubal Kanun Jenayah Syariah II).
TMI


ULASAN GB

Berita-berita di atas tidak ada di dalam harakahdaily. Namun GB faham kenapa ia tidak disiarkan di dalam akhbar milik PAS berkenaan. Harakahdaily selama ini memang cuba bertindak supaya ia tidak memihak kepada mana-mana kumpulan malah jika dapat kita tidak mahu menampakkan ada "perpecahan" di dalam parti.

Namun kebenaran adalah kebenaran. Apa yang berlaku di Kelantan adalah serius dan campurtangan dari pihak PAS Pusat adalah perlu sebelum gejala tersebut memusnahkan kerajaan PAS Kelantan.

Tindakan Nik Amar itu adalah keterlaluan. Ia tidak pernah berlaku di dalam PAS selama ini. Memecat pegawai-pegawai yang tak sebulu dengannya. Tiada lansung apa yang dipanggil "ukhwah Islamiah". Sekalipun hal tersebut merupakan hal "administratif", namun ia amat jelas sesuatu tindakan zalim yang tidak berperi-kemanusiaan.

Semenjak tahun 2009 lagi GB sudah peringatkan supaya PAS Perlu Ambil Tindakan Ke Atas Nik Amar! kerana pada ketika itu GB melihat Nik Amar beriya-iya benar mendesak TG Nik Aziz supaya menamakan penggantinya.

GB mengulas ketika itu (petikan):

Kenapa PAS tidak terus mengambil tindakan disiplin seperti memberikan amaran kepada Nik Amar Nik Abdullah yang pertama mencetuskan isu pengganti ini?

Mengapa pimpinan PAS terlalu banyak memberikan "reservation" kepada golongan UG yang kerap kali menimbulkan masalah kepada parti?

Kenapa hanya yang anti-UG sering diberikan amaran untuk tutup isu UG sedangkan pemimpin pro-UG bebas untuk berbicara dan melakukan kerja sesuka hati untuk memecah belahkan jemaah?


Hal yang sama turut berlaku di Selangor. Khalid Samad "digugurkan" jawatannya sebagai Timbalan Pesuruhjaya dan Shaari Sungip dari Ketua Penernagan selepas berlaku perubahan di dalam Jawatankuasa Perhubungan PAS Selangor. Ingat, Hassan Ali juga pernah menggugurkan Khalid Samad dan Shaari Sungip dari jawatan-jawatannya itu dan ia dilakukan oleh Setiausaha Perhubungan yang sama semasa Hassan Ali, Mohd Khairuddin namanya! Kebetulan? Bukan, Ia satu perancangan!

Demikianlah perangai "UMNO-GROUP" dalam PAS. Mereka sama saja di mana-mana. Pecat atau gugurkan mana yang tak sehaluan dengan mereka.

Berbalik kepada isu di Kelantan. Apakah tragedi 1977 dimana Kelantan dirampas oleh UMNO BN akan berulang apabila UMNO berjaya menggunakan Datuk Muhammad Nasir ketika itu? Kita tunggu dan lihat.

Sementara itu marilah bersama kita berdoa sepertimana doa yang GB minta bacakan semasa isu Hassan Ali dulu:

Kita akan terus berdoa kepada Allah swt agar kebenaran itu dibongkar dan didedahkan. Allah memperkenankan doa orang yang dizalimi dan difitnah.

Marilah kita sama-sama berdoa agar kebenaran dan keadilan itu didedahkan.


اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه

Allahumma arinal haqqa haqqan, warzuqnattiba’ah, wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah

Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

PRK Dun Kajang: Anak Zahid Pun Ada Hasrat Bertanding

Anak perempuan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Bercakap kepada Sinar Harian, Nurul berkata, keputusan terletak ditangan pucuk pimpinan siapa calon terbaik untuk kerusi itu.

“Saya tidak boleh komen lebih-lebih, masih dalam perbincangan. Hasrat itu ada, saya percaya mereka yang rasa dirinya layak juga berhasrat perkara sama.

“Apa-apa pun terserah pada pucuk pimpinan parti,” katanya.

Tegas Nurul, beliau berharap tidak ada pihak cuba mengeruhkan keadaan dengan membesarkan lagi cerita ini.

“Saya hanya buka mulut pada rakan-rakan, saya minta pandangan mereka. Tidak tahu pula sampai kepada pengetahuan (media).

“Saya tidak mahu ada pihak terguris hati, jadi saya tidak berminat untuk komen lebih lanjut. Lainlah jika memang sudah diumum sayalah calon itu,” katanya.

Menurut Nurul, jika perkara itu dibesarkan pihaknya bimbangkan akan memberi implikasi kepada BN dan juga bapanya.

“Seperti mana orang tahu bapa saya berada dalam kepimpinan parti, jadi saya tidak mahu keruhkan hubungan dengan beliau, saya sangat hormati kedudukan beliau,” katanya.

Nurul yang merupakan anak jati Selangor itu memberitahu beliau sudah lama menetap di Kajang. -SH

ULASAN GB

Harap-harap dia jadi bertanding, supaya mudah sikit UMNO BN dikalahkan di Kajang nanti.

[BONGKAR] Ramai Tidak Tahu Ada Terowong Rahsia Di Putrajaya


1. Anda mungkin pernah mendengar tentang terowong rahsia yang menghubungkan bangunan xxx sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

2. Susah hendak percaya? tetapi “Urban Legend” atau mitos zaman moden ini sebenarnya wujud dan jangan sangka hanya Amerika Syarikat sahaja yang mampu membina kubu-kubu bawah tanah di bawah bangunan Rumah Putih yang diduduki oleh presiden mereka. Orang Malaysia pun mampu juga.

3. Saya sendiri pernah berada di ambang pintu masuk ke terowong terbabit di lokasi bangunan xxx. Ketika itu saya ketagih rokok, malangnya bangunan terbabit merupakan zon larangan merokok.

4. Sebagai jalan ringkas, saya memasuki salah satu pintu “Keluar” atau “Kecemasan”, untuk berasap dan ketika itu saya melihat sesuatu yang aneh.

5. Tak payahlah fikir bangunan mana atau di bahagian mana, kerana bahagian bangunan yang saya masuk ini hanya orang tertentu sahaja yang boleh masuk.

6. Saya mungkin berada di tingkat empat atau lima bangunan terbabit, peliknya mengapa tangga kecemasan turun terlalu dalam dan saya kira ada puluhan tingkat.

7. Baiklah, jika saya masukkan ruang meletak kereta “basement”, paling kuat ia mungkin pergi setakat ke tingkat 8 atau 10 sahaja sahaja.

8. Saya tidak berani untuk menyiasat lebih jauh kerana bangunan itu sendiri ketat kawalan keselamatannya.

9. Kisah terowong ini sebenarnya sudah lama saya dengar ketika Putrajaya baru siap dibina tetapi saya tolak ke tepi, mengarut kata saya.

10. Mana mungkin orang Melayu, berkemampuan membina terowong yang panjangnya lebih dari 30 kilometer tanpa dapat dikesan.

11.Baru-baru ini saya ke KLIA untuk menghantar sepupu saya ke Amerika Syarikat, saya menjalankan penyiasatan saya sendiri dan berbual dengan sumber-sumber saya di lapangan terbang terbabit.

12.Alangkah terkejutnya saya apabila, kewujudan terowong itu memang benar dan mereka sendiri menyaksikan saiz terowong itu yang membolehkan jalanraya dua lorong dibina dan terletak di bawah KLIA sendiri.

13.Saya mula mengumpul maklumat intel, di sini saya menyedari kelemahan saya, saya lupa rakyat negara ini sudah mula menunjukkan kebolehan membina terowong yang terhebat di dunia iaitu terowong SMART.

14.Saya sendiri pernah turun ke dalam terowong SMART semasa ia sedang dibina dan menyaksikan pertemuan dua terowong ditembusi masuk oleh jentera pengorek, satu pengalaman yang mengkagumkan yang bukan semua orang boleh lihat.

15.Seorang lagi rakan saya, bekas anggota xxx sendiri pernah menyaksikan pelan pembangunan Putrajaya ketika ia sedang dibina dan mengesahkan mengenai pembinaan terowong itu termasuk bunker-bunker perlindungan.

16.Terowong itu menghubung tiga tempat utama dan salah satu daripadanya adalah KLIA, dua lagi tempat, maaf, saya enggan dedahkan secara terbuka di sini.

17.Terowong itu mempunyai point hubungan atau kemungkinan bunker yang terletak di bawah salah satu tasik yang terletak di Putrajaya.

18.Beliau mencabar saya satu perkara…”Turun menyelam ke dasar tasik Putrajaya dan beritahu saya, apa yang anda pijak…samada selut ataupun lantai konkrit?”.

19.Memang hebat Putrajaya…visi Tun Dr Mahathir Mohamad, selain dari bangunan yang cantik ia menyimpan seribu rahsia tersembunyi.

20.Ada sesuatu yang Tun sediakan untuk satu saat nanti apabila segalanya mula berjalan mengikut sistem yang dirancang.

21.Mengelilingi Putrajaya adalah meriam anti-pesawat yang terletak di beberapa zon keselamatan ketat yang berbentuk berlian jika kita lihat dari pelannya.

22.Zon penempatan meriam anti-pesawat merupakan kawasan ketat dan dikawal rapi, patutlah di sesetengah kawasan xxx, orangramai dilarang masuk dan ada masa tertentu sahaja ianya dibuka secara terhad.

23.Meriam-meriam ini, lengkap dengan sistem elektronik dan radar tersimpan dalam kontena khas dalam zon keselamatan yang mengelilingi Putrajaya itu sendiri.

24.Kepada pembaca…tolonglah jangan jadikan maklumat ini isu politik dengan beranggapan, ini merupakan satu lagi bukti pembaziran wang rakyat dan untuk apa semua ini diwujudkan.

25.Jangan melihat sesuatu yang anda tidak tahu melalui pemikiran sempit anda…ada sesuatu yang sedang ditunggu oleh negara ini dan para pemimpinnya.

26.Ini merupakan persediaan masa depan negara ini, saya tidak boleh membuka semua maklumat secara terang-terangan kerana anda mungkin belum bersedia untuk menerima hakikat sebenar.

27.Kebangkitan akan bermula dari sini… -sumber:isupanaz/militaryofmalaysia