28 Jul 2013

Rafizi Dedahkan Pengerusi MyWatch Ada Senarai Polis Disiasat Kerana Dadah

Beberapa jam sebelum ditembak, R Sri Sanjeevan ada menyatakan beliau memiliki senarai nama pegawai polis yang disiasat secara dalaman kerana terlibat dalam sindiket dadah. Gambar: Sanjeevan dikejarkan ke hospital Jempol.

Pengerusi MyWatch itu menyatakan demikian kepada Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR ketika mereka bertemu di majlis berbuka puasa Jumaat lalu di rumah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya beritahu supaya berhati-hati kerana senarai itu adalah pegawai polis yang sedang disiasat. Saya tidak begitu memberi galakan kepada Sanjeevan," katanya.

Terkejut dengan kejadian yang menimpa Sanjeevan itu, Rafizi juga mengakui agak terkilan kerana menasihati Sanjeevan bahawa ia tidak masa sesuai untuk membuat pendedahan kerana siasatan polis masih berlangsung.

Bagaimanapun, katanya, Sanjeevan pada pertemuan itu menyatakan ia skandal besar dan kesalahan yang dilakukan serius serta membabitkan jumlah dadah yang besar.

"Mengikut Sanjeevan, pegawai polis yang disiasat itu berdepan kemungkinan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang membawa hukuman mati. Beliau yakin ia kes serius," katanya.

Rafizi dan Sanjeevan kemudian bersetuju untuk bertemu minggu depan untuk meneliti senarai berkenaan.

Beliau berkata, kenyataan Sanjeevan kepadanya juga konsisten dengan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sejurus selepas kejadian tembak.

Sementara itu, rakan Sanjeevan, Vel Paari - bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC - terkejut dengan kejadian berkenaan, apatah lagi mereka baru sahaja bertemu dua hari lalu untuk merancang menikmati tosai, minggu depan.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong juga sedih dengan kejadian cubaan bunuh terhadap Sanjeevan dan berharap polis segera menahan dan mengheret mereka ke muka pengadilan. -TMI

Pengerusi MyWatch Ditembak, Ada Kaitan Dengan Tweetnya Kepada KPN (?)

Kuala Lumpur: Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak lewat petang kelmarin oleh dua lelaki yang tidak dikenali di Bahau, Negeri Sembilan.

Sanjeevan, 27, berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Pilah pada pukul 10.30 malam tadi dan Astro Awani dimaklumkan oleh sumber dari hospital bahawa keadaan beliau masih tidak stabil.

Kejadian tembakan itu dilaporkan berlaku pada pukul 4.30 petang berhampiran persimpangan Taman Awana Indah, Taman Cempaka.

Menurut sumber, Sanjeevan keluar untuk minum petang bersama seorang rakan dan memandu BMW kelabu.

Beliau sedang merokok dan cermin keretanya diturunkan sebelum dua lelaki bermotosikal merah datang dari arah belakang dan melepaskan tembakan.

Ketika dihubungi, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, dia merasa sedih dengan kejadian tersebut.

"Pada saya perkara ini tidak seharusnya berlaku terhadap beliau ketika usaha untuk mengurangkan jenayah sedang giat dijalankan," katanya kepada Astro Awani.

Sehubungan itu beliau menggesa polis menyiasat kejadian tersebut kerana Sanjeevan dikatakan pernah menerima beberapa ugutan sebelum ini susulan beberapa pendedahan yang dilakukan beliau.

Sejak dilancarkan MyWatch lantang menyuarakan hal-hal berkaitan jenayah termasuk dakwaan rasuah dan salah laku anggota polis di semua peringkat selain mendakwa ada yang terbabit dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap. -Astro Awani


Cubaan bunuh untuk halang dedah jenayah polis, kata Musa


Tan Sri Musa Hassan mengesyaki cubaan membunuh R Sri Sanjeevan semalam, ada kaitan dengan rancangan Pengerusi Pasukan Khas Cegah Jenayah Malaysia (MyWatch) itu untuk mendedahkan sindiket jenayah melibatkan pegawai polis.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu membuat jangkaan demikian melalui akaun twitternya malam tadi, beberapa jam selepas Sanjeevan parah ditembak di Bahau, Negeri Sembilan.

"Saya harap polis membuat siasatan untuk mengesan suspek kerana dia (Sanjeevan) ada menerima ugutan bunuh berikutan hasratnya untuk mendedahkan pembabitkan polis dalam sindiket jenayah," katanya melalui akaun beliau, @TSMusaHassan.

Mengikut kenyataan polis semalam, mangsa berada dalam kereta BMW sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal di satu persimpangan di Taman Awana Indah, Bahau.

Pembonceng motosikal itu kemudian dikatakan mengeluarkan senjata api sebelum menembak Sanjeevan yang mengenai rusuk kanan mangsa.

Individu itu juga dikatakan kemudian turun dari motosikal tetapi mangsa memecut kenderaannya.

Sanjeevan dilapor stabil tetapi keadaannya kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Pilah.

Sebelum kejadian itu, Sanjeevan ada menerima ancaman bunuh berikutan tweet beliau terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun @KBAB51.

Turut mengetag Khalid dan Polis DiRaja Malaysia, Sanjeevan mengepos tweet yang menyatakan ada sindiket akan menembak beliau dan menyerang rumahnya untuk menakut-nakutkan keluarganya.

Sanjeevan berada di barisan depan dalam usaha mencegah jenayah dan sebelum ini mendakwa statistik polis tidak tepat.


Musa kemudian menjadi Penasihat kepada badan bukan kerajaan (NGO) itu, menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
-TMI

Selangor Perluaskan Skim MES kepada Yang Bependapatan Bawah RM3,000

Keluarga yang berpendapatan RM 3,000 dan bawah akan mula menikmati skim-skim di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti bantuan yuran taska, tadika dan hadiah anak masuk universiti.

Dasar memperluaskan kelayakan menerima bantuan MES ini bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dari kemakmuran ekonomi Selangor, kata Exco Kebajikan, Rodziah Ismail.

Sebelum ini, kebanyakkan program MES hanya untuk keluarga yang pendapatan isi rumahnya RM 1,500 dan ke bawah.

“Sekarang kita sedang melihat untuk membantu golongan menengah rendah pula. Kita naikkan sedikit tumpuan kita kepada mereka yang berpendapatan RM 3,000 ke bawah pula.

“Maknanya, kita tengok satu lapisan masyarakat lagi bagaimana kita nak bantu supaya akhirnya kita tengok pendapatan rakyat Selangor melebihi RM 1,500.

“Sekarang kita sedang kaji semula beberapa polisi, contohnya macam hadiah IPTA, kalau dahulu hadiah IPTA kita bagi kepada yang berpendapatan RM 1,500 ke bawah, sekarang kita meletakkan supaya RM 3,000 ke bawah juga layak dapat.

“Juga dengan skim Si KEMBAR, TUNAS juga kita akan berikan sasaran RM 2,500 ke bawah, ada yang RM 3,000 ke bawah lihat kepada keperluan keluarga.”

Demikian kata Rodziah ketika ditemui dalam Program Jejak Amal Ramadhan Bersama Exco Kebajikan Negeri Selangor di Kampung Bukit Changgang di sini petang semalam.

Selepas berjaya mentadbir Selangor selepas Pilihanraya Umum ke 12 lalu, Kerajaan PR Selangor mula memperkenalkan pelbagai skim di bawah agenda MES yang kini mempunyai sebanyak 16 skim.

Antara skim bantuan yang diperkenalkan termasuklah Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Si KEMBAR), Bantuan Tadika Selangor (TUNAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Air Percuma dan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Sementara itu, dalam program semalam, sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada pengunjung Bazar Ramadhan Kampung Bukit Changgang.

Tak Sangka Pengarah ROS Ini Berbohong Di Bulan Puasa – Guan Eng

Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 27 Julai 2013.

Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) mesti membuktikan bahwa ahli DAP berharap untuk menubuhkan parti baru, atau beliau akan dihadapkan di mahkamah kerana bertindak jahat dan telah prejudis hendak mengharamkan DAP dengan apa cara sekali pun dengan pemalsuan dan pembohongan yang direka-reka.

Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Abdul Rahman Othman (gambar) mesti membuktikan bahwa ahli DAP berharap untuk menubuhkan parti baru, atau beliau akan dihadapkan di mahkamah kerana bertindak jahat dan telah prejudis hendak mengharamkan DAP dengan apa cara sekali pun dengan pemalsuan dan pembohongan yang direka-reka. Datuk Abdul Rahman berkata ROS tidak akan melayan permohonan oleh ahli DAP untuk menubuhkan sebuah parti baru.

Ini keterlaluan kerana pimpinan DAP langsung tidak menimbangkan mahupun mambangkitkan cadangan untuk menubuhkan sebuah parti baru di dalam atau diluar mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). DAP kesal dengan tindakan Datuk Abdul Rahman yang secara sedar membuat pembohongan sedemikian di saat beliau berpuasa di bulan Ramadan. ROS telah membiarkan dirinya dipergunakan sebagai alat politik UMNO bagi mengalahkan DAP di saat UMNO tidak mampu mengalahkan DAP dalam pilihanraya umum dengan membatalkan pendaftaran DAP.

Jelas sekali bahawa Datuk Abdul Rahman telah membuat keputusan awal berkaitan isu tersebut sebelum siasatan selesai dan memang bersungguh-sungguh mahu mengharamkan DAP. DAP akan menentang usaha terbaru BN untuk menghancurkan DAP ini di dalam dan luar mahkamah. DAP akan bertahan dengan usaha tidak bertanggungjawab untuk mensabotaj mandat popular rakyat melalui pilihanraya yang telah memberi DAP 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi DUN, sehingga menjadi parti politik kedua terbesar di Malaysia.

DAP sentiasa bekerjasama sepenuhnya dengan pihak ROS dan memberi apa sahaja maklumat yang diperlukan dan DAP tidak ada apa-apa untuk disembunyikan. Di atas permintaan Datuk Abdul Rahman, saya telah bertemu dengan beliau di Pejabat Ketua Menteri di Pulau Pinang bersama Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP sebelum pilihanraya umum. Tidak ada pun Datuk Abdul Rahman bercakap tentang melakukan pemilihan semula CEC bagi menyelamatkan parti. Sebaliknya Datuk ABdul Rahman memberi jaminan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Namun dengan bertindak prejudis terhadap isu ini, Datuk Abdul Rahman jelas memungkiri janji. DAP telah dengan jujur mengakui kesilapan yang dibuat ketika mengumumkan keputusan pemilihan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak. Jelas sekali ROS besungguh mahu menghukum DAP kerana ia bertindak jujur.

DAP telah mengarahkan peguam kami untuk melihat kepada penipuan terbaru oleh Datuk Abdul Rahman ini dan menimbang kemungkinan untuk mengambil tindakan saman fitnah terhadap beliau dan akhbar The Star kerana membuat pembohongan kononnya kami ada menyatakan harapan untuk menubuhkan sebuah parti baru.

LIM GUAN ENG

Alhamdulillah, Puluhan Pekerja Asing Berasal Filipina Peluk Islam di Dubai


Dubai - Seorang ulama yang berasal dari Filipina, Rashid Indasan, menjadi saksi kepada 27 orang pekerja asing yang juga berasal dari negaranya memeluk Islam di Dubai, Kesatuan Emirat Arab (UAE). Momentum itu selanjutnya dimanfaatkan oleh Rashid untuk memberikan pesanan kepada para mualaf untuk menyebarkan Islam di Filipina.

Seperti tersiar di dalam The National, Khamis (24/7), Rashid menyatakan setiap mualaf memiliki tugas yakni membuka hati dan fikiran kalangan bukan-Muslim di seluruh dunia agar menerima kebenaran Islam.

Beliau berbicara dalam bahasa tagalog mengingatkan betapa beratnya cabaran umat Islam di hadapan. Penyelasai dari hal itu adalah bagaimana seorang Muslim tak boleh lari dari ibadah dan pada ibadah itu.

Sudah ratusan orang yang diislamkan Rashid Indasan, ulama asal Filipina tersebut. Padahal dahulu ia seorang yang membenci Islam dan Muslim.

Rashid mengungkapkan ia telah mengenal Islam sejak 1986. Ketika itu, yang ada di fikirannya soal Islam hanyalah keinginan untuk mematahkan ajaran Islam melalui perdebatan.

Kini, ia telah menjadi Muslim yang sepenuhnya. Ia aktif berdakwah di masyarakat Filipina. Pada tahun 2010 lepas, ia mendirikan Islamic Center As-Sirat Al-Mustaqim. -republika


27 Jul 2013

Perkasa-Perinbam Bertelagah Sebaik Sahaja Piagam MIRAC Ditandatangani


Perkasa ‘buat jenaka’ tubuhkan MIRAC

Usaha kumpulan ekstrimis perkauman, PERKASA menubuhkan Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (MIRAC) konon demi memupuk perpaduan adalah mengarut kerana pertubuhan radikal itu masih berpegang dengan perjuangan perkauman sempit.

Malah, menurut Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, tindakan mengejut mereka membuat ‘pusingan U’ menjalinkan hubungan dengan dua NGO bukan Melayu menjadi tanda tanya dan satu jenaka bagi rakyat Malaysia.

“Ia adalah tindakan yang memalukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan MIRAC sebagai satu lagi projek pembodohan rakyat tidak menolak bahawa penubuhan MIRAC merupakan satu stategi halus untuk mencapai agenda politik perkauman.

“Seperti yang kita maklum, PERKASA yang kami kenal adalah segerombolan ekstrimis yang menjadi alat UMNO untuk membakar sentimen perkauman sehingga mampu menggugat keharmonian rakyat lebih-lebih lagi pemimpin utama mereka seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin adalah watak pelampau yang sentiasa menyuntik racun perkauman dalam minda rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mengambil contoh kenyataan dan tindakan pemimpin PERKASA seperti Zulkifli Nordin, Sivakumar berpendapat PERKASA hanya akan memperalatkan NGO bukan Melayu yang bersekongkol dengannya untuk menyokong tindak-tanduk perkauman yang bakal dilaksanakan.

“Pertubuhan ini akan dijadikan sebagai senjata untuk menikam kaum masing-masing,” jelasnya.

Kenyataan Sivakumar itu terbukti benar sebaik sahaja piagam MIRAC ditandatangani.

“Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin dalam kenyataan medianya berkata bahawa PERKASA akan membela dan memberi sokongan penuh kepada Guru Besar SK Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor berhubung isu ‘makan dalam tandas’.

“Ini sangat jelas membuktikan PERKASA tidak pernah dan tidak akan menjaga hati dan kesejahteraan kaum bukan Melayu di negara ini.

“Kenyataan Zulkifli yang menghina orang India dan agama Hindu masih lagi dalam ingatan rakyat Malaysia,” katanya.

Ini tambah Siva termasuk pendirian PERKASA dalam kes novel Interlok yang menghina kaum India dan Cina.

“Tambahan pula, PERKASA juga membela akhbar Utusan Malaysia yang jelas menghina kaum Cina dengan berita ‘Apa lagi Cina mahu’ sebaik sahaja selepas PRU-13,” katanya lagi. – Roketkini

PBB Gesa Bebaskan Mursi Segera, AlAwwa Nafi Ikhwanul Muslimin Pengganas


New York - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi supaya dibebaskan dengan segera.

Jurucakap PBB Eduardo del Buey berkata, pihaknya juga menuntut supaya pertuduhan terhadap pemimpin tertinggi Ikhwan Muslimin dibuat secara telus.

“Tindakan itu perlu dilakukan segera bagi mengelakkan protes terus berleluasa," katanya.

Menurutnya, setakat ini lebih 60 nyawa melayang disebabkan protes itu sejak penggulingan Presiden itu pada 3 Julai lalu.

“Ramai maut dan cedera dalam rempuhan selepas solat Jumaat. Kami khuatir protes ini boleh merebak hingga ke negara jiran,” katanya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri Hisham Qandil mencadangkan protes boleh dilakukan tetapi perlu dibuat di lokasi yang dibenarkan secara berperingkat.

“Saya juga menggesa pihak tentera supaya memastikan kesihatan Mursi baik," katanya.

Minggu lalu, pihak keluarga Mursi merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Tentera Mesir atas tuduhan menculik Presiden itu.

Sementara itu, Pergerakan Hamas Palestin mengutuk dakwaan mahkamah Mesir menuduh Mursi mempunyai kaitan dalam pergerakan kumpulan itu.

Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, tuduhan itu dianggap merbahaya dan melampau kerana boleh mempengaruhi pihak lain dan menjejaskan hubungan serantau.




Cendekiawan terkemua Mesir, Muhammad Salim Al Awwa, mempersoalkan sikap Panglima Angkatan Bersenjata Mesir, Jenderal Abdul Fatah Al Sissi, yang menganggap Ikhwanul Muslimin sebagai 'teroris'.

Bekas Setiausaha Jenderal Persatuan Ulama Islam Antarabangsa itu sebaliknya menyebut Ikhwanul Muslimin adalah sebahagian dari masyarakat Mesir yang memiliki hak yang sama untuk membangunkan negeri ini.

"Terbukti Ikhwanul Muslimin telah memenangi pemilihan parlimen dan presiden tahun lalu," kata Al Awwa.

Pernyataan Al Awwa menanggapi seruan Al Sissi kepada rakyat di seluruh negara itu untuk demo besar pada Jumaat semalam sebagai apa yang disebutnya 'mandat' kepada tentera dan polis guna bertindak ke atas 'teroris'.

Tudingan 'teroris' ditujukan pada kelompok Ikhwanul Muslimin yang menentang penggulingan Presiden Muhammad Mursi oleh kudeta tentera.

Apa Yang Kau Dah Buat Ni Guan Eng?


Guan Eng bergambar bersama sebahagian pemandu teksi yang menerima insentif Pemandu teksi P.Pinang terima durian runtuh.

Pemandu teksi P.Pinang terima durian runtuh

GEORGETOWN - Seramai 2,373 pemandu teksi dan kereta sewa mendapat insentif RM600 dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang, semalam.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pemberian insentif itu terkandung dalam manifesto PR pada PRU13 selain menghargai peranan mereka sebagai barisan hadapan di negeri ini.

Menurutnya, pembayaran insentif itu dilakukan dua kali iaitu RM300 untuk bayaran setengah tahun yang pertama dan selebihnya pada Januari depan.

“Baki RM300 hanya akan dibayar jika mereka terus memberi perkhidmatan terbaik.

"Jika ada aduan mengenai salah laku mana-mana pemandu teksi, kerajaan negeri tidak teragak-agak menarik balik baki insentif itu," katanya pada majlis penyerahan insentif kepada pemandu teksi dan kereta sewa di daerah Timur Laut, di sini, hari ini.

Bagi daerah Timur Laut, seramai 843 pemandu teksi dan kereta sewa layak menerima insentif berkenaan.

Guan Eng berharap sumbangan itu mampu meringankan beban terutama kepada mereka yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. -SH

[KISAH MASYARAKAT] Dila Dibogel & Dicabul Ah Long

Kuala Lumpur - Bukan hanya dibogel dan dicabul, malah seorang gadis berusia 18 tahun turut diugut gambar bogelnya disebarkan jika abang ipar dan kakaknya gagal menjelaskan hutang ah long.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dila berkata, abang ipar dan kakaknya itu meminjam lebih RM3,000 daripada ah long sejak akhir tahun lalu, namun gagal membayar balik.

“Akibatnya saya yang terima padah apabila tiga lelaki dipercayai ah long mula datang mengganggu di tempat saya bekerja,” katanya sewaktu ditemu bual di sebuah rumah perlindungan di pinggir ibu kota, semalam.

Dila berkata, gangguan daripada tiga lelaki itu berlarutan hampir setiap hari sehingga awal tahun ini.

Menurutnya, pada suatu hari ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, tiga lelaki berkenaan memaksanya menaiki motosikal.

“Saya dibawa ke kawasan semak, sebelum mereka mengarahkan saya menanggalkan pakaian dan mengambil gambar saya sebelum dicabul bergilir-gilir," katanya.

Dila berkata, sehingga kini dia tidak tahu di mana abang ipar dan kakaknya berada dan berharap mereka dapat melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin.

Anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu memberitahu, berikutan insiden itu emosinya terganggu dan dia kini trauma dan hanya mempunyai ibunya untuk membantu.

Penderitaan Dila tidak habis di situ apabila dia turut mengakui pernah didera oleh abang sulungnya yang mengalami sakit mental sejak lima tahun lalu, memaksa dia tinggal bersama keluarga kakaknya.

“Abang sulung pernah mencabul salah seorang daripada kakak saya, sebelum dia dipenjara kira-kira dua tahun atas kesalahan itu,” katanya.

Menurutnya, abang sulungnya itu juga sering bertindak ganas dengan memukul, menyepak, menghentak kepalanya didinding atas alasan tidak berpuas hati dengan masakannya. -SH

Mursi Dipenjara 15 Hari, 2,000 Bantah Di KL, Najib Terus Membisu


Presiden Mesir yang digulingkan tentera, Muhammad Mursi ditahan selama 15 hari kerana dituduh bersubahat dengan pergerakan Islamis Palestin, Hamas. Dia juga dituduh melarikan diri dari penjara 18 hari sewaktu pemberontakan menggulingkan Husni Mubarak.

Dalam laporan AlJazeera, satu sumber mengesahkan berita tersebut pada Jumaat (26/7). Hakim Hassan Sammir kini sedang membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan itu telah membuat keputusan tersebut yang merupakan penahanan rasmi pertama oleh pihak berkuasa.

Bulan lalu, pengadilan Mesir menyatakan Ikhwanul Muslimin bersengkokol dengan Hamas dan Hizbullah menyerbu penjara Wadi el-Natroun pada 2011. Serbuan tersebut membebaskan 34 anggota pemimpin tertingg Ikhwanul termasuk Muhammad Mursi ketika itu.

Laporan tersebut muncul ketika pendukung dan penentang Mursi bersiap untuk protes besar-besaran setelah keluar seruan dari tentera dan anggota Ikhwanul Muslimin. Mursi ketika ini tengah ditahan di sebuah lokasi yang tidak diketahui.

Dalam pada itu, Penguasa Semenanjung Gaza, Hamas, hari ini mengecam penguasa baru Mesir setelah pengadilan memerintahkan Presiden yang digulingkan, Muhammad Mursi, ditahan untuk siasatan lanjut tentang tuduhan keterlibatannya dengan kelompok gerilawan Palestin itu.

"Hamas mengutuk langkah itu kerana didasarkan pada premis bahawa Gerakan Hamas kononnya bersifat jahat," kata juru bicara Hamas, Sami Abu Zuhri.

"Ini perkembangan merbahaya yang menegaskan bahawa kekuasaan ketika ini di Mesir mengabaikan kepentingan nasional dan bahkan menggunakan hal itu untuk berurusan dengan pihak lain, pertama di antaranya adalah masalah Palestin," katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, lebih 2,000 umat Islam hari ini bersolidariti menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa oleh tentera Mesir ke atas Presiden yang dipilih secara sah Dr Muhammad Morsi, demikian lapor harakahdaily.

Himpunan bermula sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan kemudian berarak ke bangunan Kedutaan Mesir di Jalan Ru, Ampang Hilir yang berjarak tidak kurang 4 kilometer.

Mengepalai perarakan tersebut, pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil, Riduan Mohd Nor, Kamaruzzaman Mohamad, wakil muslimat Ustazah Nuridah Saleh dan lain-lain.

Himpunan ini turut disertai wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Haluan Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Gema dan Aqsa Syarif.

Peserta masing-masing membawa poster Morsi serta kain rentang yang mengutuk tindakan mencabul demokrasi tentera Mesir itu.

Antara lain poster tersebut tertulis 'The President kidnapped, now showing in Egypt'.

Sementara itu, polis bertindak menutup laluan di hadapan bagunan kedutaan.

Dianggarkan hampir 100 anggota polis termasuk pasukan Light Strike Force (LSF) berkawal di jalan masuk menuju ke bangunan kedutaan.

Peserta perarakan yang tiba dihalang masuk ke jalan berhadapan bangunan kedutaan sebaliknya diberhentikan di jalan bersebelahan kira-kira 150 meter dari pintu masuk bangunan kedutaan.

Pihak keselamatan hanya membenarkan enam wakil untuk masuk mengadakan perbincangan dan menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan.

Sementara menunggu penyerahan memorandum selesai, beberapa wakil parti dan NGO memberi ucapan kepada peserta dari atas pacuan empat roda.

15 minit kemudian wakil-wakil yang mengadakan pertemuan dilihat keluar dari bangunan kedutaan dan menyertai himpunan.

Khairul Faizi dalam ucapannya selepas penyerahan memorandum itu berkata, mereka mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan sementara Mesir yang dikuasai tentera.

Ianya termasuk membebaskan dan mengembalikan segera Morsi, hentikan tindakan kekerasan terhadap rakyat dan benarkan mereka berhimpuan secara aman, membatalakan segala undang-undang dan ketetapn baru yang dibuat selepas kudeta serta membebaskan segera semua tahanan politik.

Najib membisu

Bercakap kepada media selepas itu, Khairul Faizi turut mempersoal sikap kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa masih membisu dalam isu ini.

"Kenapa beliau tidak mahu menyatakan pendirian dalam isu ini. Adakah Najib takut untuk tunjuk sikap kerajaan Malaysia dalam isu ini, takut kepada penentang Morsi?," soalnya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia yang mendakwa mendokong demokrasi sewajarnya bersama rakyat Mesir yang membantah kudeta tersebut.

Persoalan sama turut dilontar Nuridah yang mendakwa perdana menteri bersikap double standard dalam isu ini.

"Dia (Najib) bukan mahu nyatakan pendirian, sebaliknya menggunakan isu rampasan kuasa Mesir ini untuk menakutkan rakyat bahawa inilah akibatnya bila berlaku perubahan kuasa," katanya.

Himpunan petang tadi berakhir kira-kira jam 3.45 petang.


26 Jul 2013

"Aku Akan Kekal Di sini Sehingga Mursi Kembali Menjadi Presiden"


Aku akan kekal disini sehingga Dr Mursi kembali menjadi pemimpin, sehingga Mubarak kembali ke penjara, dan sehingga As Sisi dihukum gantung, hak-hak orang yang telah mati tidak akan disia-siakan, kami akan mati bersama mereka, tidak ada apa yang dapat mengalahkan orang yang mencintai kematian, dan kami cinta kepada kematian!"

"Nafas kebenaran itu lebih panjang daripada nafas kebatilan, jangan sangka kami takut, tertekan atau ragu-ragu dengan kudrat tuhan kami".

"Kami akan kekal disini, dan jika dengan izinNya dicatat kematian untuk kami, maka kami akan mati sebagai syuhada, dan jika dicatat hidup untuk kami, maka kami akan hidup dengan merdeka"

Terjemahan Oleh : Mesir Kini
Sumber : FjPartyOmrania



[VIDEO] Baju ‘R’ Tak Boleh Masuk Kawasan Mengundi, Baju 1Malaysia Boleh?


Sejak bila logo "R" jadi lambang parti? Ini memang pelik .. baca lah +Video

BESUT: Pengerusi ‘R’, NGO menuntut royalti minyak dikembalikan ke negeri terengganu, Mohd Fauzi Abu Samah kesal dengan tindakan pihak keselematan yang menghalang beliau masuk ke pusat mengundi dengan mamakai baju T berlogokan ‘R’.

Beliau selaku ‘pemantau’ Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut ditemui skuad BO ketika berhujah dengan tiga peagawai polis di hadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Baru ada kira-kira jam 3.30 petang abu 24 Julai, hari membuang undi.

Ketika mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya polis mengahalang baju ‘T’ berlogokan ‘R’ memasuki kawasan mengundi, beliau menggesa orang ramai yang memakai logo ’1Malaysia’ juga harus ditegah.

“dia (polis) beri alasan tak kira mana-mana logo dan sebagainya……..cuma saya minta satu pengesahan dari beliau (polis) mengapa logo 1Malaysia boleh pakai, aya tak ada masalah saya boleh tanggalkan (baju T saya,

“cuba bawakan kepada saya akta apa…..pasal berapa……’clause’ berapa yang mengatakan mana-mana logo NGO tak boleh pakai!……dia tak boleh jawab sebab benda itu memang tak ada,”tegasnya.

Menurutnya, para petugas beliau yang menjadi pemerhati perjalanan pilihanraya tersebut turut dihalang dan tidak dibenarkan masuk kerana hanya smata-mata memakai baju T berlogokan ‘R’. -demolanie


Isu Kantin: Dua-dua Terima Ugutan Bunuh, Gurubesar & Pemberi Maklumat

Guru Besar Seri Pristana terima ugutan bunuh

KUALA LUMPUR - Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, semalam membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berikutan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu untuk pelajar bukan Islam, dua hari lepas.

Mohd Nasir Mohd Noor, 57, berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi dirinya yang menerima ugutan bunuh dan cacian daripada beberapa pihak termasuk melalui akaun Facebooknya.

"Dua hari lepas, setelah gambar itu tersebar, saya menerima panggilan talefon kira-kira 10 pagi dari seorang lelaki yang mendakwa dia dari badan bukan kerajaan (NGO).

"Selain memaki hamun saya dan menghamburkan kata-kata kesat, dia juga mengeluarkan perkataan 'If I meet you, i will kill you' (Jika saya jumpa awak, saya akan bunuh awak)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan ditemani enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah itu di pondok Polis Saujana Utama dekat sini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan yang mengadakan lawatan ke sekolah itu kelmarin berkata, isu lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di sekolah itu, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa.

Mengulas isu itu, Mohd Nasir berkata beliau kesal dengan usaha yang mahu menjatuhkan nama baiknya dan sekolah itu, yang baru dibuka tiga tahun lepas itu.

"Sebelum ini memang tidak ada aduan daripada ibu bapa mengenai isu bilik persalinan ini kerana mereka faham masalah kantin di sekolah ini yang dalam proses ubah suai bagi menampung kira-kira 600 pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar," katanya.

Ekoran isu itu, beliau kini bercuti selepas diarahkan berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan daripada Mohd Nasir berhubung tohmahan terhadap dirinya berhubung isu itu.

Di PETALING JAYA, Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata, polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata walaupun isu itu bukan di bawah bidang kuasa polis, namun ia sedia membantu dalam menyelesaikannya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat penghargaan kepada 54 anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah di sekitar negeri itu.

Pada majlis yang sama, Thaiveegan mengagihkan sebanyak 268 sarung siku kepada anggota polis yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan kecederaan ketika bertugas. - Bernama


Pemberi maklumat SK Seri Pristana lapor polis kerana diugut


Pemberi maklumat yang mendedahkan murid diarahkan makan di bilik persalinan sekolah kini berdepan dengan ugutan terhadap nyawanya.

Wanita yang memilih untuk dikenali sebagai Guneswari itu berkata, ugutan terhadapnya muncul di laman sosial Facebook - medium yang digunakannya untuk menunjukkan bagaimana SK Seri Pristana di Sungai Buloh melayan murid bukan Islam.

Bimbang dengan keselamatan diri dan anak perempuannya, Guneswari membuat laporan polis.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider antara ugutan yang diterimanya ialah ancaman untuk menculik dan mengurung dirinya dan anak perempuannya.

"Mereka tidak memperkenalkan diri dan saya takut mereka melakukan sesuatu kepada anak perempuan saya," katanya.

Mengingati kembali keputusannya untuk menyiarkan gambar berkenaan di Facebook, ibu yang terdesak itu berkata, beliau mengambil langkah itu sebagai jalan terakhir kerana pentadbiran sekolah gagal bertindak terhadap pertanyaannya.

"Bagaimana lagi saya hendak meluahkan keprihatinan saya. Mengapa mereka tidak boleh memahaminya," kata Guneswari.

Gambar yang disiarkannya di Facebook mengejutkan pengguna internet yang kemudian berkongsi gambar itu, dan akibatnya menyebabkan kekecohan di media sosial.

Sehingga petang semalam, gambar yang disiarkan itu menerima lebih 600 komen.

Ramai yang menyokong sementara ada juga pihak yang mengkritik dan mengugutnya.

Pengguna internet yang memberikan maklum balas negatif kebanyakannya membuat komen berbaur perkauman, meminta Guneswari dan ibu bapa bukan Islam yang lain menghantar anak mereka ke sekolah vernakular jika mereka tidak gembira dengan SK Seri Pristana, sekolah yang terbabit dalam kontroversi itu.

Seorang pengguna akaun Facebook dikenali sebagai Zainol Fitri memberi komen:`Jika kamu tidak suka, tukar sekolah. Ada sekolah Tamil, Cina dan sekolah nasional yang lain.'

Ada yang lebih teruk apabila seorang pengguna dengan nama Asmadi Axass memberita Guneswari untuk pulang ke tanah air asalnya dan jangan mengganggu bangsa itu.

Guneswari berkata, gambarnya dalam akaun Facebook digunakan oleh orang lain untuk menyebarkan khabar angin dan ugutan.

"Jika tiada tindakan diambil untuk menghentikan ugutan ini, ibu bapa tidak mahu lagi bercakap mengenai isu lain pada masa depan," katanya.

Guneswari bertegas menyatakan bahawa gambar yang disiarkannya itu tidak pernah menyentuh mengenai bangsa dan isunya hanya berkaitan kebajikan murid.

Beliau yang tertekan dengan kutukan itu berkata:"Keadaan kini memberikan tekanan emosi kepada saya dan semua ini sangat menyedihkan. Adilkah ini?"
-TMI

[VIDEO] SPR Berkokok Lebih Bising Daripada Ahli Politik – Rafizi (updated)

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menegaskan beliau telah mengulangi pendedahan mengenai pembekal dakwat kekal dan kaitannya dengan pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di luar dewan rakyat.

Rafizi mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Yusof yang mencabarnya membuat pendedahan di luar parlimen sekiranya ‘beliau anak jantan’.

Menurut Rafizi, kenyataan dibuat di luar dewan sebelum ini mencukupi untuk pengerusi SPR dan timbalannya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

“Tidak timbul soal mengikut kehendak kedua-dua mereka yang cuba mengelak dari persoalan sebenar dengan menimbulkan perkara cabar-mencabar, “siapa lebih anak jantan” seperti yang dimainkan sekarang,” ujarnya,.

Rafizi, yang juga Pengarah Strategi KEADILAN berkata, isu cabaran tersebut membayangkan sikap berat sebelah pengerusi SPR dan timbalannya.

“Malah, perkataan-perkataan yang digunakan seperti “anak jantan”, “menipu” dan lain-lain tidak menunjukkan sikap profesional mereka yang kini berkokok lebih bising dari ahli-ahli politik,” tegas beliau.

Tegasnya, isu sebenar adalah kegagalan mereka mengendalikan pilihan raya dengan adil, bebas dan telus terutamanya mengenai pelaksanaan dakwat kekal.

“Apabila diselidiki, didapati ia berpunca dari kontrak pembekalan yang diberikan secara terus kepada individu tertentu yang turut membolot beberapa kontrak pembekalan lain,” katanya.

Rafizi turut mempersoalkan mengapa syarikat milik Mohamed Salleh Mohamed Alli dipilih secara rundingan terus untuk menjadi pembekal barang-barang pilihan raya termasuk dakwat kekal.

“Apakah penglibatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam urusan perolehan dan pembekalan bahan-bahan pilihan raya, terutamanya dakwat kekal yang menjadi penambahbaikan utama yang diwar-warkan oleh SPR dalam PRU13? ,” soalnya. -KD


25 Jul 2013

65% Rakyat Mesir Tolak Rampasan Kuasa Tentera


Kaherah - Mesir. Kira-kira 65 peratus masyarakat Mesir menolak rampasan kuasa tentera apabila masih enggan bersurai dari berhimpun jalanan di sekitar Kaherah sejak 3 Julai.

Penganalisis politik Mesir Hisham el-Batal berpendapat, rakyat menolak rampasan kuasa tentera kerana masih trauma dengan era pemerintahan rejim Hosni Mubarak yang mencatatkan peningkatan jumlah kematian setiap hari.

“Rampasan kuasa itu ditolak jutaan rakyat termasuk pegawai tertinggi ketika era Hosni yang kini masih dipenjarakan,” katanya dipetik Press TV

Menurutnya, demonstrasi itu tidak hanya dilakukan oleh gerakan Ikhwanul Muslimin, ia sebaliknya turut dilakukan oleh kumpulan anti Amerika Syarikat.

“Negara antarabangsa tidak boleh menuduh demonstrasi ini didalangi kumpulan pro Mursi kerana jutaan rakyat termasuk anti Mursi mula mengerumuni Kedutaan AS bagi mendesak negara itu supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran di Mesir,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan yang menyokong penggulingan itu berasa bimbang kerana mengetahui kesan penggulingan tersebut membawa kepada campur tangan AS secara meluas di Kaherah.