28 Jul 2013

Rafizi Dedahkan Pengerusi MyWatch Ada Senarai Polis Disiasat Kerana Dadah

Beberapa jam sebelum ditembak, R Sri Sanjeevan ada menyatakan beliau memiliki senarai nama pegawai polis yang disiasat secara dalaman kerana terlibat dalam sindiket dadah. Gambar: Sanjeevan dikejarkan ke hospital Jempol.

Pengerusi MyWatch itu menyatakan demikian kepada Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR ketika mereka bertemu di majlis berbuka puasa Jumaat lalu di rumah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya beritahu supaya berhati-hati kerana senarai itu adalah pegawai polis yang sedang disiasat. Saya tidak begitu memberi galakan kepada Sanjeevan," katanya.

Terkejut dengan kejadian yang menimpa Sanjeevan itu, Rafizi juga mengakui agak terkilan kerana menasihati Sanjeevan bahawa ia tidak masa sesuai untuk membuat pendedahan kerana siasatan polis masih berlangsung.

Bagaimanapun, katanya, Sanjeevan pada pertemuan itu menyatakan ia skandal besar dan kesalahan yang dilakukan serius serta membabitkan jumlah dadah yang besar.

"Mengikut Sanjeevan, pegawai polis yang disiasat itu berdepan kemungkinan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang membawa hukuman mati. Beliau yakin ia kes serius," katanya.

Rafizi dan Sanjeevan kemudian bersetuju untuk bertemu minggu depan untuk meneliti senarai berkenaan.

Beliau berkata, kenyataan Sanjeevan kepadanya juga konsisten dengan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sejurus selepas kejadian tembak.

Sementara itu, rakan Sanjeevan, Vel Paari - bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC - terkejut dengan kejadian berkenaan, apatah lagi mereka baru sahaja bertemu dua hari lalu untuk merancang menikmati tosai, minggu depan.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong juga sedih dengan kejadian cubaan bunuh terhadap Sanjeevan dan berharap polis segera menahan dan mengheret mereka ke muka pengadilan. -TMI

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cuma pemimpin umno tak terkejut. Ahmad maslan si goblok kekal tu pun tak bersuara. Hishamudin nasib baik dah tukar kementerian. Zahid pulak tengah fikir macamana nak buat2 terkejut berok supaya nampak real.

Tanpa Nama berkata...

Nampak sangat ketidaksungguhan pemimpin BN, dah banyak kes tembak tapi senyap macam kes tembak main-main,mungkin bila ada pemimpin utama kena tembak baru nak serius.Kalau kes tembak mati,rogol bunuh bakar jadi macam biasa saja,malanglah kita rakyat semua.Patut ada sidang meja bulat tergempar untuk tindakan-tindakan pencegahan seperti jika dapat penembak,pembekal pistol,polis pelindung penjenayah - buat hukuman tembak siaran langsung.Malaysia semakin menakutkan.

Tanpa Nama berkata...

Nak terkejut apanya. Yang jadi mangsa selalunya untuk tutup mulut. Mantan KPN baru berani bersuara,itu pun cukup berhati2. Tunggu KPN Khalid pulak apa dia nak kata.

Tanpa Nama berkata...

Amboiii... Apa sudah jadi dengan Malaysia? Selamat? Aman? Apa Kes ni, tak sampai setahun dah macam-macam kes Menembak di tempat awam berlaku.

Kes ayam payah nak settle apatahlagi kes nembak nih.. Adooyaiii

Tanpa Nama berkata...

Baru kemarin ada komen PDRM mendalangi kegiatan haram dan penjenayah. Hari ini pengerusi pemerhati antijenayah mywacth kena tembak. Baru saja memdedahkan penglibatan Polis dengan sendiket dadah, dah kena?

Hampir kesemua kes jenayah di setiap kampong dan bandar adalah daripada kesan penyalahgunaan dadah. Hampir keseluruhan anak muda kita rosak pun kerana dadah. Kesannya amat dirasai seperti orang awan terbunuh ditarik peragut, anak tetak mak bapak, gadis bawah umur jadi rosak, rompak bunuh hanya kerana beberapa ringgit. Mana yang patut dipersalahkan, orang yang melakukan jenayah atau dadah? Jawapan paling tepat adalah Polis tajaan Barisan Nasional. Ternyata amat benar Polis adalah talibarut segala penjenayah termasuk dadah.

Di negara luar, anak muda cergas membangunkan negara. Malaysia, anak muda disuap dadah supaya pemimpin dapat hasil jadi kaya lebih raya.