2 Jun 2013

Dahulukan Tubuh Suruhanjaya Diraja


Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mencadangkan agar kerajaan mendahulukan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan menyemak semula proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurutnya, penubuhan suruhanjaya diraja merupakan langkah awal untuk menambah baik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum kerajaan meletakkan badan itu di bawah Parlimen.

“Banyak aduan yang diterima berhubung perjalanan pilihan raya lalu. Kerajaan sepatutnya peka dengan isu yang timbul ini.

“Kita cadangkan satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyemak dan siasat segala aduan. Langkah ini yang perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum meletakkan SPR di bawah Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program ‘Temu Mata Anak Kelate’ bersama Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah kerajaan untuk memindahkan fungsi dan kawal selia SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan dan kredibiliti badan itu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, langkah tersebut dapat memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap SPR dan kebebasannya tidak lagi dipersoalkan.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) telah menggesa kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan berlakunya penyelewengan seperti penggunaan dakwat kekal dan kehadiran warga asing sebagai pengundi.

PR juga mendakwa wujudnya kejadian bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan kiraan undid keraguan berhubung jumlah undi awal. -SH

UMNO BN Semakin Nazak, Kapal Semakin Tenggelam...


Awang Selamat: Cadangan parti tunggal mungkin sebabkan BN terkubur

KUALA LUMPUR, 2 Jun — Cadangan parti tunggal Barisan Nasional (BN) hanyalah sekadar alasan, dan bukannya penyelesaian kepada sokongan untuk BN, kata analisis mingguan Awang Selamat hari ini, dan berkata idea berkenaan hanya akan menyebabkan BN akan tersungkur untuk selama-lamanya.

Awang dalam analisisnya dipetik akhbar Mingguan Malaysia itu turut berkata, atas muslihat demokrasi dan hak asasi kebebasan, beliau khuatir pelaksanaan idea berkenaan akan menyebabkan BN terjatuh dalam perangkap yang lebih besar dibuat oleh DAP dan PKR.

“Isu paling mendesak pada pasca PRU13 ini bukan parti tunggal, tetapi bagaimana Umno mengukuhkan lagi kekuatannya bagi menghadapi PRU14 nanti, dan bagaimana MCA dan Gerakan dapat bangkit dengan membina kekuatan dalaman mereka terlebih dahulu,” kata Awang dipetik akhbar Umno itu.

Petikan analisis berkenaan dilihat masih lagi menyalahkan masyarakat Cina yang memilih DAP dalam Pilihan Raya 2013, semata-mata mahu menumbangkan kuasa politik Melayu.

“Lebih banyak kita melayan tuntutan kepada keterbukaan lagi mengundang risiko besar. Masyarakat Cina telah memilih DAP untuk menumbangkan kuasa politik Melayu dengan dorongan perhuangan sama rata.

“Selagi itu tidak tercapai, selagi Melayu tidak bersatu apatah lagi ada pemimpin Melayu diperkudakan, selagi itu kaum Cina tidak menyokong BN,” katanya.

Transformasi politik jelas Awang tidak boleh dilaksanakan secara meluas dan dilakukan tergesa-gesa pada masa banyak lagi isu kritikal yang belum ditangani.

“Mengapa perlu bercakap tentang parti tunggal sedangkan untuk mewujudkan konsep sekolah tunggal yang sangat penting keperluannya, ditolak mentah-mentah oleh parti komponen BN sendiri,” kata Awang.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno kelmarin turut membincangkan cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal yang membuka keahlian kepada semua kaum tanpa kewujudan parti komponen.

Malah, Umno juga akan mengadakan perbincangan diperingkat makmal bagi mengkaji keperluan tersebut yang telah dikemukakan parti komponen BN daripada Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP).

Bekas editor di akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times (NST), Datuk A. Kadir Jasin, dalam blognya semalam turut menolak idea berkenaan dan berkata hanya parti komponen BN majoriti Cina yang “nazak” seperti Gerakan, MCA dan SUPP yang akan menimbangkan cadangan itu.

“Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, mungkin boleh ‘memujuk’ kepemimpinan Umno untuk melayan (entertain) idea ini, tetapi saya tidak menjangka akar umbi Umno akan menerimanya. Umno adalah parti akar umbi!” kata A. Kadir dalam blognya, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kadir turut mempersoalkan keputusan untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal sedangkan Umno yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan parti pemerintah itu diakui sendiri oleh Najib sebagai parti yang kuat.

“Saya tidaklah mahu membuat andaian yang Mohd Najib sekali lagi tunduk kepada kehendak orang Cina apatah lagi selepas beliau sendiri menyalahkan tsunami Cina sebagai punca ketidakcemerlangan prestasi beliau dalam PRU 5 Mei lalu,” katanya.

“Lagipun, seandainya Umno lebih kuat selepas PRU13 seperti Mohd Najib dakwa ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi, mengapa harus ia dibubarkan dan bergabung dengan parti lain menjadi sebuah parti tunggal?” soalnya.

Najib sebelum ini berkata Umno masih kuat apabila berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini, berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang hanya memperoleh 89 kerusi daripada ketiga-tiga parti komponen mereka —PKR, PAS, DAP.

Kadir turut berkata, mengapa perlunya Umno dan parti-parti Bumiputera yang kukuh di Sarawak dan Sabah dibubarkan dan digabungkan menjadi parti tunggal semata-mata bagi melayan idea parti-parti Cina BN yang ditolak oleh orang Cina sendiri dalam PRU lalu.

“Kalau Umno dibubarkan bagi memberi laluan kepada penubuhan parti tunggal BN, kemungkinannya banyak ahli dan penyokongnya akan beralih kepada PAS kerana orang Melayu masih berasa mereka memerlukan parti Melayu-Islam,” katanya.

Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn minggu lalu berkata cadangan penyatuan antara parti komponen seperti Gerakan, MCA, dan Parti Progresif Rakyat (PPP) tidak dapat dilaksanakan tanpa menjadikan BN parti tunggal kerana setiap parti komponen BN mempunyai Perlembagaan yang berbeza, dan berlandaskan kepada parti berteraskan kaum.

Ulasan GB

Kini masing-masing sudah bertelagah.

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Kemenangan dengan penipuan adalah satu jenayah dan tiada keberkatannya. Pertelagahan itu bukti tiada keberkatan.

Seperti yang GB katakan sebelum ini, kemenangan melalui penipuan adalah kemenangan yang rapuh ... dan ia akan tumbang dengan sendirinya kerana "dasarnya" lemah.

GB amat yakin jika kerajaan Najib dan UMNO BN memperolehi kemenangan dengan cara penipuan, kerajaannya akan tumbang tidak berapa lama lagi.

Dan semua yang terlibat dengan penipuan akan tetap dihukum walaupun penipuan itu licik dan tidak diketahui orang. Tetapi Allah Maha Mengetahui! Anda tidak boleh lari.


Malah kemenangan dengan penipuan itu pun hanya memperolehi MARKAH KESIAN dari rakyat: 47%. Ya, 47% undi tetapi mendapat 60% kerusi. Atas nama "demokrasi". Bukankah penipuan namanya?

Masanya akan tiba, UMNO BN bakal berkubur untuk selama-lamanya!

Kebatilan tidak akan dapat mengalahkan kebenaran selama-lamanya. Ia hanya dapat mengalahkan kebenaran sebentar cuma, umpama awan hitam yang menutup sinar ,entari. Lambat-laun awan hitam akan berarak pergi dan sang mentari, kebenaran itu, akan memancar semula ke seluruh bumi.

Itu hukum alamiah, itu hukum Allah swt!

[LAWAK AHAD] Jika Anda Bijak Bistari, Jawab Soalan Ini..


Zul Nordin Dihenyak Lagi...


Pencalonan Zul Noordin strategi yang lemah

Pencalonan Naib Presiden PERKASA, Datuk Zulkifli Noordin bertanding di Parlimen Shah Alam Shah dalam pilihan raya umum pada 5 Mei lalu adalah satu strategi yang lemah, kata seorang ahli panel BN dalam satu forum malam kelmarin.

"Saya rasa jika Zulkifli tidak dicalonkan, BN akan dengan mudah memenangi 20 lagi kerusi Parlimen.

"Jika anda melihat demografi Kota Raja, Kapar, dan Shah Alam - semua kawasan yang berhampiran tempat Zulkifli bertanding - kita mempunyai penduduk India yang ramai," kata timbalan Pengerusi jawatankuasa strategi MIC, Madhu Marimuthu.

Seorang lagi ahli panel - Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu, bersetuju dengan Madhu, dan berkata pencalonan Zulkiflimerupakan satu keputusan yang lemah, sesuatu yang beliau tidak dapat fahami.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusannya adalah sesuatu yang baik untuk negara.

"Rakyat telah bersuara dan sekurang-kurangnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak kini boleh berkata, 'Bukan saya tahu mahu mencuba, tetapi bukan ini yang rakyat mahu.'

[VIDEO] PAS Tidak Akan Tunggu Sehingga PRU-14


Kuala Nerus - PAS tidak akan menunggu sehingga pilihan raya umum (PRU) kali ke-14 akan datang untuk melawan Umno dan Barisan Nasional (BN) tetapi akan menggunakan segala ruang yang ada dalam demokrasi bagi menjatuhkan mereka bermula sekarang.

Menurut Naib Presiden PAS Solahuddin Ayob, Umno-BN telah melakukan pelbagai tipudaya bagi memastikan mereka menang pada PRU kali ke-13 lalu termasuk memadamkan lampu semasa pengiraan undi.

"mereka lakukan perkara-perkara (tipudaya) seperti yang saya katakan tadi........ini kita tidak boleh terima.......dengan itu kita tak tunggu (sehingga) PRU akan datang untuk melawan mereka,

"kita lawan sekarang............kita lawan dengan apa cara yang ada pada kita dan juga ruang yang diizinkan oleh demokrasi,"ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis ceramah sempena Majlis Kesyukuran PRU kali ke-14 PAS Kawasan Kuala Nerus. [Lihat Video]

Beliau menegaskan, PAS adalah parti yang berpengalaman dan bukanlah sebuah parti yang boleh ditipu dan termakan dengan 'umpan' yang dihulurkan oleh Umno-BN.

Menurutnya, PAS tidak terhutang budi dengan Umno-Bn kerana PAS bertanding dan menang dalam pilihanraya atas kerja dan usaha sendiri serta dibiayai oleh kewangan yang dihimpunkan dari serma disumbangkan oleh ahli-ahlinya.

Katanya, PAS tidak akan bertolak ansur dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang telah menjadi 'barua' kepada Umno dan Barisan Nasional.

Justeru beliau berjanji, PAS akan mengheret SPR ke muka pengadilan dan membuktikan di mahkamah bahawa mereka adalah ejen Umno yang bertanggungjawab melakukan penipuan bagi pihak Umno-BN. - buletinonline






Akan Tertipu Lagikah Rakyat Malaysia Dengan Janji "PM 47%" Ini?


Cadangan SPR bawah Parlimen ulangi JK sebelum ini

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan rancangan Perdana Menteri untuk meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebagai pengakuan memang wujud penipuan pilihan raya.

"Meletakkan SPR di bawah jawatankuasa itu hanya lakonan semata-mata untuk menyelamatkan suruhanjaya itu," katanya.

Salahuddin berkata, sebelum ini Pakatan Rakyat bersifat terbuka dan menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen berhubung pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

"Jawatankuasa tersebut dicadangkan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri.

"Pakatan hantar Dr Hatta Ramli dari PAS, Azmin Ali dari PKR dan Anthony Loke dari DAP sebagai tiga wakil kita dalam jawatankuasa itu.

"Akhirnya terbukti, tidak ada satu pun cadangan jawatankuasa itu yang dilaksanakan," kata beliau.

Salahuddin yakin, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rancangan itu semata-mata untuk melaksanakan "damage control" apabila melihat semakin ramai rakyat yang menyambut slogan "tipu pilihan raya, turun jalan raya".

Semakin ramai rakyat yang menyifatkan kerajaan minoriti dengan hanya 47.38 peratus undi pimpinan Najib sebagai kerajaan tipu pilihan raya, katanya.

"Bukan itu sahaja, perhimpunan ratusan ribu rakyat menolak pilihan raya yang dikotori oleh penipuan menakutkan para pemimpin Umno BN.

"Sebab itulah Najib umumkan rancangan yang belum tentu dilaksanakan dan belum tentu dipersetujui oleh 'warlord-warlord' Umno atau 'godfather' mereka, (Tun) Dr Mahathir (Mohamad)," kata beliau.

Oleh kerana PAS menyifatkan pengumuman Najib itu hanyalah pengakuan bahawa memang berlaku penipuan dalam pilihan raya, Salahuddin menuntut supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat penipuan-penipuan pilihan raya.

"Tuntutan sebegini sudah lama dibuat dan keengganan kerajaan BN menunaikan tuntutan itu menguatkan keyakinan rakyat bahawa ada terlalu banyak penipuan dan penyelewengan yang hendak disembunyikan," kata beliau.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini memberitahu, pihaknya menerima pelbagai aduan penipuan dalam pilihan raya.

Mengenai kes lampu padam ketika pengiraan undi, selain beberapa laporan polis mengenai kejadian itu di sana sini, beliau berkata pihaknya menerima tujuh aduan mengenai kejadian tersebut.

Bukan setakat itu sahaja, kata Rafizi, pihaknya juga menerima aduan tentang warga asing yang turut mengundi, pengundi berdaftar yang tidak dapat pengundi kerana ada pengundi hantu mengundi menggunakan namanya, jumlah undi yang lebih daripada kertas undi yang dikeluarkan dan pelbagai aduan lain.


Najib diberitahu SPR perlu diterajui muka baru, bukan sekadar letak bawah PSC


KUALA LUMPUR, 1 Jun — Usaha meningkatkan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan meletakkan badan pengendali pilihan raya negara ini di bawah Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) tidak bermakna tanpa menggantikan teraju utama badan berkenaan, kata pemimpin pembangkang dan aktivis pilihan raya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar perlu diganti dengan individu lain supaya pembaharuan meningkatkan kredibiliti badan berkenaan.

“Tidak bermakna letakkan SPR di bawah PSC sekalipun, anggota mereka perlu letak jawatan,” kata Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Mereka perlu letak jawatan, itu lebih mustahak supaya mereka mempunyai lebih kredibiliti,” katanya lagi, dan menambah SPR adalah badan bebas yang dilantik di bawah Perlembagaan dan tidak boleh ditolak ke sana-sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal hari ini berkata bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR, kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara.

Kit Siang pula dalam respon mengenai perkara itu berkata SPR seharusnya bermula dengan muka baru bagi jawatan pengerusi dan timbalannya bagi meningkatkan keyakinan rakyat.

“Pengerusi dan timbalan sekarang beroperasi seolah-olah mereka menjadi protagonis kepada ahli politik dan Barisan Nasional (BN) terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Lebih elok sekiranya Najib mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen PR berhubung cadangan berkenaan sebelum pengumuman dibuat,” kata Kit Siang, yang merupakan ahli Parlimen Gelang Patah.

“Jadi ia akan dilihat sebagai inovasi bipartisan,” tambahnya.

SPR menjadi sasaran dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum 2013 apabila didakwa bersekongkol dengan BN bagi membolehkan parti kerajaan itu memenangi pilihan raya walaupun tewas undi majoriti kepada PR sebanyak 49 peratus.

BN memperolehi 133 kerusi, manakala PR memperolehi 89 kerusi Parlimen dengan 51 peratus undi popular.

Pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengadakan Himpunan Black 505 di seluruh negara bagi menolak keputusan PRU13. -TMI

1 Jun 2013

BN Fail 50 Petisyen: Zahid Hamidi Dah Boleh Berhijrah ke Negara Lain!


Fail petisyen PRU, kenyataan Zahid kena batang hidung sendiri

Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar rakyat yang tidak bersetuju dengan proses pilihan raya berpindah ke luar negara ibarat terkena batang hidung sendiri, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Johari Abdul.

Beliau mengulas tindakan Umno BN mahu memfailkan lebih 50 petisyen membabitkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Mahkamah Tinggi sebelum 11 Jun nanti.

“Sebelum ini Zahid Hamidi dengan angkuh menyuruh rakyat Malaysia yang tidak menerima keputusan PRU lalu supaya keluar dari negara ini.

“Kenyataan Zahid ini tidak ubah seperti menjilat ludah sendiri apabila Umno BN pula mahu failkan petisyen pilihan raya. Mungkin mereka sendiri pun sudah tidak yakin dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),”
ujar Johari sinis.

Justeru katanya, Zahid sepatutnya mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan melemparkan tuduhan terhadap Pakatan Rakyat.

Zahid, yang juga Naib presiden Umno sebelum ini menyeru golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya agar meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara lain.

Kenyataan itu turut disokong Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang meminta rakyat yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya agar “duduk di dalam hutan”.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menambah, bilangan petisyen yang ingin difailkan BN menunjukkan tahap kepercayaan mereka kepada SPR jauh lebih buruk berbanding Pakatan Rakyat.

“Pakatan hanya (mahu fail petisyen) 30 lebih sahaja tetapi Umno BN lebih 50 petisyen, ini sudah parah dan terus memburukkan kredibiliti SPR sebagai badan bertanggungjawab.

“Jadi saya gesa, eloklah Pengerusi SPR dan timbalannya meletakkan jawatan ekoran krisis kepercayaan oleh parti yang bertanding dalam PRU lalu,” ujarnya. -KD

Malaysia Juara Pengubah Wang Haram Berpusat Di Amerika Syarikat


Perkhidmatan kiriman wang tidak berlesen di Malaysia didakwa menjadi sebahagian daripada operasi besar pengubahan wang haram berpusat di Amerika Syarikat yang bernilai US$6 bilion (RM18.3 bilion).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata reputasi buruk Malaysia sebagai juara aliran wang haram per kapita menjadi dalil kukuh kegagalan Barisan Nasional (BN) dan Bank Negara melenyapkan rasuah dan mencegah pengubahan wang haram di Malaysia.

Katanya, ketika berada di London beliau sedih apabila membaca laporan akhbar New York Times bahawa skim pengubahan wang haram yang beroperasi di bawah Liberty Reserve memiliki jutaan pelanggan di seluruh dunia yang ‘bersifat penjenayah’ itu melakukan 55 juta transaksi dalam tempoh tujuh tahun lalu.

“Dalam kes pengubahan wang haram dalam talian terbesar dalam sejarah, Liberty Reserve bergantung sepenuhnya kepada penukar pihak ketiga untuk menerima dan membuat bayaran bagi pihak mereka, yang selalunya adalah ‘usahawan pengirim wang tidak berlesen yang tidak mempunyai badan pemantau kerajaan atau undang-undang yang signifikan, berpusat di Malaysia, Rusia, Nigeria dan Vietnam’.

“Global Financial Integrity Report yang berpengkalan di Washington menyenaraikan negara China di tangga pertama dalam aliran keluar wang haram yang selalunya berunsur rasuah berjumlah US$2.8 trilion dan Malaysia berada pada kedudukan kelima di dunia dengan US$291 bilion. Namun atas dasar per kapita, China kalah kepada juara dunia Malaysia dengan hanya RM6,400 seorang setahun berbanding RM32,000 bagi Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, di England, malangnya Malaysia mempunyai sejarah silam apabila warganya ada yang menjadi ‘bookie’ mengatur perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris.

Menurutnya, reaksi negatif daripada hal itu kini kian pudar berikutan kesan positif pembabitan Malaysia dalam pemilikan kelab Liga Perdana Inggeris seperti Queen Park Rangers dan Cardiff City.

Beliau berkata, malangnya, budaya rasuah kerajaan Malaysia dan kurangnya ketelusan kewangan serta akauntabiliti menyebabkan Malaysia menjadi fokus dunia sebagai pusat operasi pengubahan wang haram global.

“Reputasi antarabangsa Malaysia kini lebih teruk daripada Thailand atau Indonesia dan hampir sebaris dengan negara seperti Nigeria dan Rusia dalam hal pengubahan wang haram.

“Masanya sudah tiba bagi Kerajaan Persekutuan BN berhenti hidup dalam penafian dengan melaksanakan reformasi kewangan yang tulen untuk membersih dan menghentikan aktiviti jenayah aliran keluar wang haram serta pengubahan wang haram.

“Jika tidak, tidak ada ertinya Bank Negara mendapat pelbagai penghargaan untuk apa yang disangkakan sebagai pengurusan ekonomi yang baik sedangkan isu sebenar berkaitan ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh diuruskan,” ujarnya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan tidak boleh terus bergantung kepada negara luar seperti Hong Kong untuk menyiasat dan menahan mereka yang terbabit menyeludup puluhan juta ringgit.-Roketkini

UMNO Terkuat? Najib, PM 47% Itu Tertipu & Menipu Dengan Ilusinya!


Najib: Umno muncul parti terkuat dalam PRU13

Umno kekal sebagai parti pilihan rakyat berdasarkan pencapaian parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata ini terbukti dengan kejayaan Umno menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini.

"Jika dibandingkan dengan pembangkang, mereka mempunyai 89 buah kerusi, bererti Umno sebagai parti tunggal boleh menyamai gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada tiga parti tersebut (DAP, PKR dan PAS)," kata Presiden Umno itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Najib berkata prestasi Umno juga diukur berdasarkan kejayaannya merampas kembali Kedah dan Perak berserta bilangan undi yang diperolehi yang semakin bertambah.

"Mengikut kajian kita, lebih kurang 30 peratus peningkatan undi yang diberikan kepada Umno berbanding tahun 2008, katanya.

Justeru, Najib berkata Umno akan terus berjuang dengan memantapkan gerak kerjanya melalui beberapa penambahbaikan pentadbiran di peringkat ibu pejabat seperti dicadangkan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan.

Beliau berkata antara penambahbaikan tersebut ialah mewujudkan beberapa bidang pengkhususan sepenuh masa seperti penyelidikan dan latihan, media sosial dan bidang penerangan.

Beliau berkata penyusunan semula tersebut perlu bagi memastikan usaha, mesej dan segala keputusan daripada Majlis Tertinggi itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya khidmat tenaga profesional sepenuh masa dan berdedikasi akan digunakan untuk melaksanakan tugas dan arahan majlis itu.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengumuman Najib mewujudkan pelbagai pengkhususan dalam memantapkan lagi parti itu akan menjadikan Umno lebih fokus untuk mendekati golongan muda.

"Ini merupakan tumpuan baharu parti kerana pada 2017 atau 2018 nanti (jika pilihan raya umum diadakan), dijangka hampir 2.5 juta pengundi muda, dan ini harus diberikan tumpuan bagi mendekati kumpulan berkenaan," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berpendapat pewujudan pelbagai pengkhususan itu adalah cadangan yang tepat bagi memulakan usaha parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-14.

"Kita pisahkan media sosial daripada penerangan, jadi kita akan memberi input untuk kaedah menjalankan kempen melalui media alternatif dengan lebih berkesan. Pemuda Umno akan menyumbang idea untuk memperkukuhkan bidang itu," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Najib membnicarakan soal kerusi, lansung tak sentuh tentang undi.

Dengan penuh bangga beliau menyatakan "kejayaan Umno menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88".

Oleh kerana Najib berbicara tentang "kerusi" kita jawab dengan kerusi juga.

UMNO meningkatkan kerusinya daripada 79 kepada 88 katanya, TETAPI jangan terlepas pandang bahawa kerusi Barisan Nasional merosot 7 kerusi dari 140 (2008) kepada 133 (2013). Pakatan Rakyat yang dapat menambahkan 7 kerusi daripada 82 (2008) kepada 89 (2013)

Jadi peningkatan kerusi UMNO datang dari mana kalau bukan dari kalangan anggota BN sendiri iaitu MCA? MCA kalah teruk dengan kehilangan 8 kerusi iaitu daripada 15 (2208) kepada cuma 7 (2013).

Rumusannya? UMNO bertambah kuat dengan menambah kerusinya dengan mengkorbankan MCA!

Sokongan kaum India yang digembar-gemburkan telah kembali kepada BN juga palsu kerana MIC cuma menambah 1 kerusi sahaja iaitu dari 3 (2208) kepada 4 (2013).

Ditinjau dari sudut undi popular keadaannya bertambah buruk dan Najib lansung tak sentuh lansung mengenainya.

UMNO menerima sejumlah 3,241,286 (29.32%) undi popular, jauh lebih rendah daripada Pakatan Rakyat yang memperolehi 5,623,984 (50.87%).

UMNO parti terkuat?

Dengan jumlah undi popular yang diterima oleh UMNO sebanyak 3.2 juta itu, ia menyamai keahlian UMNO yang juga dikhabarkan seramai 3.2 juta. Ini bererti UMNO hanya menerima undi daripada ahlinya sendiri, menjelaskan kepada kita bahawa UMNO tidak layak untuk mewakili rakyat "Melayu" Malaysia kerana jumlah pengundi Melayu ialah 7.8 juta. Sejumlah 4.6 juta lagi pengundi Melayu tidak memilih UMNO sebaliknya memilih Pakatan Rakyat! Itu GB tak ulas pengundi bukan-Melayu yang masing-masing dah tahu, malah Najib sendiri akui, majoritinya sudah tidak mengundi BN!

Najib benar-benar sedang berilusi, tertipu dan hendak menipu rakyat Malaysia,,

Isu Batal Pasport: Peguam Tempelak Ketua Pengarah Imigresen Sebagai Jahil Undang-undang


Peguam: Tiada peruntukan untuk batal pasport

Akta Pasport 1966 tidak mempunyai peruntukan bagi pembatalan pasport Malaysia seperti yang didakwa oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Alias Ahmad, kata para peguam.

"Selepas meneliti Akta Pasport, saya tidak dapat mencari peruntukan mana yang membolehkan (Imigresen membatalkan pasport)," kata peguam Syahredzan Johan (kiri).

Malah, katanya, beliau tidak tahu adanya sebarang undang-undang yang membolehkan kerajaan membatalkan pasport Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, terdapat undang-undang individu yang memperuntukkan kuasa untuk menghalang individu daripada meninggalkan Malaysia, contohnya, di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 1997 dan Akta Kebankrapan 1967, dan juga mereka yang diikatjamin berkaitan kesalahan jenayah.

Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, Syahredzan bagaimanapun menegaskan bahawa akta-akta tersebut hanya melarang individu keluar negara ini, tetapi bukan membatalkan pasport Malaysia yang sah.

David Matthews, seorang pakar dalam bidang tersebut, berkata sekatan ke atas individu di bawah undang-undang yang berasingan itu, bagaimanapun, tidak boleh dilakukan secara pentadbiran oleh ketua pengarah (KP), tetapi mesti melalui suatu perintah mahkamah.

Menurutnya, Akta Pasport merupakan satu undang-undang pentadbiran dan tidak berurusan tentang kewarganegaraan dan lain-lain.

Ketika dihubungi, David berkata, ia hanya membolehkan KP mengeluarkan bukan warganegara yang memasuki Malaysia secara haram, dan tidak terpakai kepada rakyat tempatan.

Beliau berkata KP boleh berhujah bahawa di bawah Seksyen 12D akta tersebut, beliau boleh diberikan kuasa oleh menteri, tetapi ini lebih merujuk kepada perkara-perkara dasar.

Tetapi, tambahnya, apa-apa arahan seumpama itu hendaklah munasabah dalam erti kata undang-undang pentadbiran dan juga adil.

'Mencemarkan imej negara di luar negara', tambahnya, adalah samar-samar dan tidak boleh dijadikan sebab untuk membatalkan pasport.

Dalam soal pembatalan kewarganegaraan, katanya, ini adalah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi hanya boleh diguna jika seseorang warganegara itu melakukan perkara-perkara yang membatalkan kewarganegaraannya.

Katanya, ini termasuk perkara-perkara seperti menerima kewarganegaraan negara lain atau melaksanakan hak-hak rakyat negara lain, seperti mengundi.

"Tetapi ia bukan pembatalan per se. Seseorang itu tidak boleh dinafikan hak kewarganegaraan," katanya.

Beliau menambah, jika 6,564 orang yang disebut itu, didakwa di negara asing, maka mereka akan menghadapi hukuman undang-undang di sana.

Semalam, Alias dipetik oleh Berita Harian sebagai berkata, jabatan itu akan membatalkan pasport Malaysia 6,564 rakyat Malaysia, antaranya kerana "mencemarkan imej Malaysia di luar negara".

Alias memberitahu akhbar tersebut bahawa ini selaras dengan Akta Pasport, tetapi tidak menyatakan secara khusus seksyen Akta tersebut.


Bagaimanapun, beliau kemudiannya berkata undang-undang itu hanya membenarkan kerajaan menghalang rakyat Malaysia daripada keluar negara, dan bukan menghalang mereka memasuki Malaysia.

Pada hari Isnin, beliau telah dilaporkan oleh Berita Harian sebagai berkata rakyat Malaysia yang memprotes di luar negara boleh dihalang daripada pulang dan pasport mereka boleh dibatalkan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963.

Menurut Matthews, adalah mengejutkan bagi Alias berkata demikian kerana ia menunjukkan satu kejahilan undang-undang.


Seluruh seksyen itu merujuk kepada pendatang, kata Mathews sambil menambah bahawa cara Alias beralih dari satu akta kepada yang lain, menunjukkan beliau tidak tahu apa yang dicakapkannya.

Seksyen 8, Akta Imigresen menyatakan bahawa KP Imigresen boleh mengklasifikasikan mana-mana bukan warganegara sebagai pendatang yang dilarang, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 8 (3) akta yang sama, dan melarangnya daripada memasuki negara ini.

Dalam satu kes, kerajaan telah membatalkan pasport pemimpin Hindraf - yang kini menjadi timbalan menteri, P Waythamoorthy - memaksanya ketika itu hidup dalam buangan di London.

Agensi Sempatan United Kingdom, dalam jawapan bertulis kepada permohonan peguam Waythamoorthy di bawah Akta Kebebasan Maklumat, berkata pasport itu "dibatalkan kerana pihak berkuasa Malaysia mahu menangkap Waythamoorthy untuk menghadapi tuduhan jenayah."

Malaysiakini telah berulang kali cuba menghubungi Alias untuk mendapatkan penjelasan mengenai seksyen Akta Pasport yang mahu digunakan untuk membatalkan pasport, tetapi belum berjaya menghubungi. -mk
,br>

Kritik kerajaan akan dibatalkan pasport mereka? Kenapa begitu?


Dalam keadaan kedua-dua pihak pembangkang dan parti kerajaan sedang berperang mulut berhubung dengan banyak isu, keluar pula kenyataan yang sangat mengelirukan dari Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato' Alias Ahmad. Mengapa dan kenapa kenyataan yang sangat mengelirukan ini dikeluarkan, hanya beliau sahajalah yang tahu.

Dato' Alias telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jabatan Imigresen mempunyai hak untuk membatalkan pasport rakyat Malaysia yang mengkritik kerajaan di luar negara dan ini tidak dapat diterima. Mengkritik kerajaan yang memerintah adalah hak rakyat negara ini dan ia boleh dilakukan di mana-mana, samada di dalam atau dari luar negara.

Kita bersetuju rakyat yang mengkritik dan memburukkan negara itu wajar diambil tindakan seperti itu, tetapi setakat mengkritik kerajaan yang mereka anggap rasuah dan menyalahgunakan kuasa itu bukannya mengkritik negara. Jika seorang rakyat mengkritik kehadiran sistem negara seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dan apa yang berkaitan dengannya adalah salah bagi negara ini dan wajar pasport mereka dibatalkan.

Tetapi jika seseorang mengkritik kerajaan yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa dan membantutkan usaha memperkayakan perpaduan kaum itu tidak salah dan adalah ‘ultra-vires’ jika tindakan diambil terhadap rakyat itu. Jika semua kritikan terhadap kerajaan itu membolehkan pasport mereka terbatal maka negara kita seolah-olah sebuah negara yang zalim dan tidak bertamadun.

Rakyat dan pemimpin yang meminta pertolongan kuasa asing, misalnya CIA, untuk menumbangkan kerajaan, itu adalah tindakan yang jahat dan perlu pasport mereka itu ditarik balik atau dibatalkan terus. Tindakan ini adalah tindakan memusuhi negara dan Yang Di Pertuan Agong, maka mereka wajar dibatalkan pasport mereka.

Tetapi jika setakat mengatakan Najib atau Muhyiddin sebagai pemimpin yang tidak sesuai dengan negara, itu adalah isu politik dalaman dan tidak sepatutnya pihak imigresen membatalkan pasport mereka. Tuduhan seperti itu pun sememangnya ada kebenarannya.

Apabila kita mendengar kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan oleh mereka yang memegang amanah untuk mentadbir jabatan dan negaranya, kita amat khuatir dengan jenis apa negara kita akan berada pada masa-masa yang akan datang.

Saya secara peribadi berharap Ketua Pengarah Imigresen itu akan membuatkan pencerahan yang betul kerana ramai rakyat yang sedang tertanya-tanya kenapa kenyataan itu keluar dalam waktu yang sangat panas ini. Adakah kenyataan itu untuk menyediakan pemikiran rakyat yang jika ada pimpinan mana-mana pihak yang akan dibatalkan pasportnya nanti, rakyat diminta tidak bertindak dengan cara ganas atau apa?

Ramai yang sangat keliru sekarang ini. Ada pihak yang menggunakan kuasa sejak berdekad-dekad lamanya. Ada pihak yang telah merasakan akan dapat menggantikan kuasa sudah begitu celupar untuk mengambil tindakan dan memenjarakan pihak yang akan digantikannya itu.

Kalau hendak ambil tindakan pun biarlah setelah kuasa diperolehi. Tidak perlu bercakap besar di atas nama ketegasan dan pembaharuan. Apabila ternampak 'rusa di hutan tembak dahulu baru bersorak'. Tetapi mereka ini bersorak baru hendak menembaknya. Belum pun sempat menembak rusa sudah cabut lari.

Bila rusa sudah lari, marah-marah pula kepada semua orang kerana kesalahan sendiri itu. Diri sendiri tidak pernah bersalah. -aspanaliasnet

[VIDEO] Nurul Izzah Akan Bawa Kes Halangnya Masuk Sabah Ke Mahkamah


MMenyifatkan tindakan menghalangnya memasuki Sabah sebagai “penahanan anti demokratik”, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan perundangan terhadap kerajaan negeri barisan nasional (BN) Sabah atas tindakan mereka di mahkamah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun menegaskan, beliau tidak mempersoalkan undang-undang di negeri Borneo berkenaan, sebaliknya hanya menuntut kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengemukakan sebab-sebab kukuh larangan yang dikenakan terhadapnya.

“Sekiranya saya dianggap mengancam keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas dakwaan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia, dan warganegara Malaysia, tindakan menyekat kemasukan yang tidak rasional dan bersebab ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik,” tegasnya lagi.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada petang Khamis bagi tujuan menyambut Pesta Kaamatan telah ditahan dan seterusnya dihantar pulang ke Semenanjung.

Pemimpin muda Pakatan Rakyat (PR) itu juga tidak menolak kemungkinan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihalang daripada memasuki negeri berkenaan.

“Atas sebab kerahsiaan, permintaan saya untuk mendapatkan nama-nama pemimpin PR lain yang dihalang tidak dibenarkan.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan dihalang memasuki Sabah,” katanya kepada pemberita.

“Saya sudah berbincang dengan YB Darrell Leiking, ahli Parlimen Penampang untuk ambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Kota Kinabalu,” katanya, dan menambah,”sampai bila saya dilarang?”

Beliau menegaskan, PKR juga akan menghantar surat rasmi kepada Pejabat Ketua Menteri Sabah bagi menuntut penjelasan dan menggesa mereka kemuka kepada umum senarai nama pemimpin PR yang dihalang, supaya rakyat tahu apa sebabnya mereka mengancam keselamatan Sabah.

Insiden berkenaan turut mendapat reaksi negatif daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, iaitu ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, yang menganggap keputusan kerajaan negeri perlu diubah segera sekiranya tiada alasan kukuh untuk mereka melakukan sedemikian.

“Jika tiada alasan kukuh untuk sekatan ke atas Nurul, dan menjadi yang benar-benar adil dan memberikan keadilan, keputusan itu harus diubah segera,” kata ahli majlis tertinggi Umno itu dipetik The Star Online.

Beliau meminta supaya rakyat diberikan penjelasan daripada kerajaan negeri Sabah mengenai kenapa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dihalang masuk pada petang Khamis.

“Pihak berkuasa perlu mengeluarkan kenyataan yang kukuh dan diterima.

“Saya tidak melihat Nurul sebagai satu ancaman kepada negeri Sabah atau pun rakyat Sabah,” kata Bung.

Nurul Izzah turut melahirkan kekecewaan dan menggesa isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan.

“Malang, tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan - termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.

“Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini, bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan Umno mahupun BN.”

Justeru itu, jelas beliau isu keselamatan dan kedaulatan negara sepatutnya tidak diperlekehkan dengan menjadikan ia alat politik menindas rakyat.-TMI



31 Mei 2013

Zul Nordin Dah Sasau Bila Kalah PRU?


...atau sasau kerana tekena ciuman ini?

Zulkifli Nordin digesa jangan campur urusan Pas

KOTA BHARU - Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) menyifatkan kenyataan bekas Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin bahawa 'Pas diperbodoh Anwar' bersifat peribadi dan tidak relevan.

Ketuanya, Hu Pang Chaw berkata, Zulkifli tidak sepatutnya mencampuri urusan Pas kerana dia bukan ahli parti itu atau Pakatan Rakyat (PR).

“Siapa Zulkifli Nordin? Beliau bukan ahli Pas atau PR, jadi itu bukan urusan beliau, malah sekiranya berlaku perkara itu tidak ada kaitan dengannya, ia urusan parti, dan pandangan dilontarkan tidak relevan.

“Biarkan ahli parti menentukan perkara itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Pang Chaw berkata, beliau berpendapat isu berkenaan hanyalah rekaan dan sengaja dibangkitkan pemimpin itu.

Sambil menasihatkan Zulkifli agar menggunakan masa yang ada untuk melakukan kebajikan kepada rakyat Malaysia, Pang Chaw berkata, tindakan mencampuri urusan Pas dan PR akan menampakkan kejahilan calon Barisan Nasional Parlimen Shah Alam itu.

“Hentikan semua ini, usahakan agar beliau dapat berada dalam barisan kepimpinan Umno seterusnya dapat melontarkan pandangan untuk perjalanan parti itu,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli yang juga bekas peguam bela Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangkang khususnya Pas perlu berhenti daripada bersekongkol Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu kerana kempen Anwar Spring yang digerakkan sejak pilihan raya umum lalu bermotif peribadi.

Menurutnya, Pas akan dihukum dengan lebih teruk oleh majoriti rakyat jika berterusan membiarkan diri menjadi alat tunggangan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana masyarakat mahukan keamanan bukan demonstrasi Anwar Spring.

Ulasan GB

Sama macam Hassan Ali yang dah tak dapat satu undi pun di dalam PRU13.

Zulkifli Noordin menyatakan Pas akan dihukum dengan lebih teruk oleh majoriti rakyat sedangkan yang kalah di Shah Alam ialah calon BN iaitu Zulkifli Nordin sendiri.

PAS tidak kalah teruk, PAS cuma kehilangan 2 kerusi parlimen dimana PAS memperolehi 21 kerusi pada PRU13 berbanding 23 kerusi semasa PRU12. Malah kerusi PAS di peringkat DUN pula telah bertambah kuat dimana PAS memenangi 85 kerusi DUN berbanding 83 semasa PRU12 pada 2008.

TETAPI UMNO BN merosot 7 kerusi parlimen (133 pada PRU13 berbanding 140 pada PRU12) dan kesemua 7 kerusi parlimen itu dirampas oleh Pakatan Rakyat.

Itu belum lagi dianalisa dari sudut "undi popular" yang jika dilakukan pastinya macai-macai UMNO nanti terkena penyakit sawan, memaki-maki sana sini kerana tidak mempercayai bahawa UMNO BN sudah tewas dan kerajaan yang ada hari ini ialah kerajaan 47%!

Khir Toyo Selangkah Lagi Ke Penjara, Mengadu Dikambinghitamkan Najib


Khir Toyo dakwa dijadikan ‘kambing hitam’ dalam perang anti-rasuah Najib

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa dirinya menjadi mangsa “kambing hitam” dimanipulasi untuk kepentingan politik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Semalam Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Mohamad Khir dan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan berhubung kes rasuahnya.

“Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah,” kata beliau dalam tulisan di blognya www.drkhir.com.

“Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya,” tambah beliau lagi.

Menurut Dr Mohamad Khir, beliau didakwa melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh jawatan kuasa teknikal.

“Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun SPRM dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti kerajaan serius membanteras rasuah,” katanya.

Semalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan tidak membuat apa-apa kesilapan dalam membuat keputusan berhubung kes rasuah bekas menteri besar Selangor itu.

Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin bagaimanapun membenarkan peguam perayu Datuk Seri Mohamad Shafee Abdullah agar menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menantikan keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Azahar Mohamed yang membacakan penghakimannya selama hampir dua jam berkata panel tiga hakim yang turut dianggotai Datuk Aziah Ali telah sebulat suara berpendapat bahawa tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan mengganggu dapatan fakta serta penyabitan yang dibuat oleh hakim mahkamah tinggi pada 23 Disember, 2011.

Beliau berkata setelah meneliti semua rekod rayuan, serta hujah daripada kedua-dua pihak, panel bersetuju bahawa hakim perbicaran telah membuat keputusan yang tepat dan tidak terkhilaf dalam menyabitkan Dr Mohamad Khir dengan pertuduhan itu.

Dr Mohamad Khir didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember, 2011 kerana dikatakan membeli dua bidang tanah dan rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam lebih murah dari harga sebenar di pasaran.

Beliau didapati bersalah menggunakan pengaruhnya sebagai menteri besar untuk membeli kediaman mewah dan tanah sehingga potongan sebanyak RM3 juta lapan tahun lalu.

Peguamnya, Muhammad Shafee memberitahu pemberita semalam beliau akan memfailkan satu notis rayuan di pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan hari ini. TMI

Ulasan GB GB sudah ulas di Khir Toyo Bakal Habiskan Sisa Hidupnya Dalam Penjara?

Tak apalah Khir. Tuan pun dah lama "sapu" bersih wang rakyat semasa menjadi MB. Mungkin di dalam penjara tuan boleh "berriadah" memperbanyakkan ibadah menyuci diri dan kemudiannya siapa tahu diterima semula ke dalam masyarakat macam Mokhtar Hashim yang pernah jadi seorang Menteri kabinet kemudian, dihukum gantung sampai mati, kemudian mendapat keampunan dari Yang Di Pertuan Agong dengan cuma dipenjara seumur hidup. Kemudian setelah menjalani 10 tahun dalam penjara, beliau mendapat keampunan daripada Agong untuk dibebaskan.

Waytha Mula Bersuara: "Gantung Tugas Polis Yang Terlibat"


Waytha mahu anggota polis terbabit digantung tugas

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy mengecam tindakan yang dianggap ringan terhadap anggota polis yang sedang disiasat berhubung kematian N Dharmendran dalam tahanan, dengan berkata langkah itu hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada pasukan tersebut.

Sambil menegaskan bahawa kes pembunuhan merupakan suatu kesalahan tidak boleh dijamin, Waythamoorthy berkata, empat anggota polis berkenaan sepatutnya telah digantung tugas dan ditahan reman sehingga siasatan selesai, dan bukan hanya ditugaskan melakukan kerja pejabat.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini atas sifatnya sebagai Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf).

"Undang-undang adalah sama bagi anggota polis serta orang awam. Oleh itu apa-apa tindakan yang kurang, hanya akan terus mengecewakan orang ramai kerana amalan dwi-standard terhadap anggota polis dengan kekebalan secara terang-terangan diberikan kepada mereka.

"Tindakan yang tidak berkesan seperti ini oleh pegawai atasan mereka dalam pasukan polis hanya akan terus merendahkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis dan integriti mereka dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk kepentingan awam,"
kata kenyataan itu.

Waythamoorthy juga mempersoalkan bagaimana polis hendak mengharapkan untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap "profesionalisme, kecekapan dan keberkesanan" mereka dalam mengurangkan jenayah, jika mereka tidak dapat mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang disyaki.

Tambahnya, tindakan seumpama itu mencerminkan kurangnya rasa hormat pihak polis terhadap "hak asasi dan nilai kehidupan manusia", seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Tindakan memastikan tiada lagi kematian dalam tahanan di kalangan kaum India, adalah antara tuntutan Hindraf apabila menandatangani perjanjian bersejarah dengan BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak pada bulan April, satu langkah yang menyebabkannya menjadi sasaran kritikan. -mk

[KEMASKINI] Safwan Anang Dibebaskan Jam 10.20 Pagi Tadi


Aktivis pelajar yang enggan diikta jamin, Safwan Anang telah dibebaskan tepat jam 10.20 pagi tadi.

Beliau dibebaskan dari penjara Sungai Buloh selepas bersetuju menandatangani borang ikat jamin.

“Safwan bersetuju untuk tanda tangan ikat jamin. Dia akan dibebaskan jam 9 pagi ini dari penjara Sungai Buloh,” kata Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath membuat pengesahan, lapor Keadilandaily.

Pada 29 Mei lalu, Safwan menolak ikat jamin sebagai bantahan kepada kerajaan berhubung isu tangkapan bermotif politik. Safwan didakwa dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan berhubung ucapannya di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu.

Turut didakwa ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, penyelaras Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim, aktivis Pas, Tamrin Ghafar, aktivis sosial Hishamuddin Rais dan pimpinan mahasiswa Adam Adli.

Kesemua mereka diikat jamin dengan jumlah RM 5,000 setiap seorang dan mahkamah menetapkan 2 Julai bagi pendengaran kes.

Sementara itu, Khalid Ismath memaklumkan, satu serahan memorandum bantahan akan dibuat di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya jam 2.30 petang ini.

“Kami mendesak Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Zahid Hamidi menghentikan tangkapan bermotif politik yang melampau,” katanya.


Safwan Anang dibebas dengan ikat jamin RM5 ribu


Aktivis mahasiswa Muhammad Safwan Anang hari ini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM5,000, kata isterinya Mastura Abu Bakar.

Menurut Mastura, Safwan dijamin oleh adik lelakinya sendiri di mahkamah dekat Jalan Duta, pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Safwan yang juga pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dituduh bersama pemimpin politik dan aktivis NGO Naib presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim pada 29 Mei lalu.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

Mahkamah membenarkan keempat-empat individu tersebut diikat jamin RM5,000 setiap seorang. Bagaimanapun Safwan enggan diikat jamin dan dibawa ke penjara Sungai Buloh.

Ketika dihubungi Malaysiakini tengahari ini, Mastura berkata suaminya pada asalnya, enggan diikat jamin selepas dituduh di bawah akta tersebut.

Bagaimanapun, Mastura berkata, Safwan menukar fikirannya selepas mempertimbang peranan yang boleh dilakukannya di luar penjara sebagai aktivis mahasiswa.

"Beliau merasakan beliau boleh melakukan lebih banyak perkara di luar penjara berbanding di dalam penjara," kata Mastura.

Tambahnya lagi, Safwan kini sedang berehat sebentar di rumah mereka dan akan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya petang ini.

Menurutnya, Safwan bersama beberapa aktivis pelajar lain akan menyerahkan memorandum membantah penangkapan aktivis dan pemimpin politik oleh polis kepada kementerian itu. -mk