31 Mei 2013

[KEMASKINI] Safwan Anang Dibebaskan Jam 10.20 Pagi Tadi


Aktivis pelajar yang enggan diikta jamin, Safwan Anang telah dibebaskan tepat jam 10.20 pagi tadi.

Beliau dibebaskan dari penjara Sungai Buloh selepas bersetuju menandatangani borang ikat jamin.

“Safwan bersetuju untuk tanda tangan ikat jamin. Dia akan dibebaskan jam 9 pagi ini dari penjara Sungai Buloh,” kata Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath membuat pengesahan, lapor Keadilandaily.

Pada 29 Mei lalu, Safwan menolak ikat jamin sebagai bantahan kepada kerajaan berhubung isu tangkapan bermotif politik. Safwan didakwa dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan berhubung ucapannya di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu.

Turut didakwa ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, penyelaras Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim, aktivis Pas, Tamrin Ghafar, aktivis sosial Hishamuddin Rais dan pimpinan mahasiswa Adam Adli.

Kesemua mereka diikat jamin dengan jumlah RM 5,000 setiap seorang dan mahkamah menetapkan 2 Julai bagi pendengaran kes.

Sementara itu, Khalid Ismath memaklumkan, satu serahan memorandum bantahan akan dibuat di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya jam 2.30 petang ini.

“Kami mendesak Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Zahid Hamidi menghentikan tangkapan bermotif politik yang melampau,” katanya.


Safwan Anang dibebas dengan ikat jamin RM5 ribu


Aktivis mahasiswa Muhammad Safwan Anang hari ini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM5,000, kata isterinya Mastura Abu Bakar.

Menurut Mastura, Safwan dijamin oleh adik lelakinya sendiri di mahkamah dekat Jalan Duta, pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Safwan yang juga pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dituduh bersama pemimpin politik dan aktivis NGO Naib presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim pada 29 Mei lalu.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

Mahkamah membenarkan keempat-empat individu tersebut diikat jamin RM5,000 setiap seorang. Bagaimanapun Safwan enggan diikat jamin dan dibawa ke penjara Sungai Buloh.

Ketika dihubungi Malaysiakini tengahari ini, Mastura berkata suaminya pada asalnya, enggan diikat jamin selepas dituduh di bawah akta tersebut.

Bagaimanapun, Mastura berkata, Safwan menukar fikirannya selepas mempertimbang peranan yang boleh dilakukannya di luar penjara sebagai aktivis mahasiswa.

"Beliau merasakan beliau boleh melakukan lebih banyak perkara di luar penjara berbanding di dalam penjara," kata Mastura.

Tambahnya lagi, Safwan kini sedang berehat sebentar di rumah mereka dan akan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya petang ini.

Menurutnya, Safwan bersama beberapa aktivis pelajar lain akan menyerahkan memorandum membantah penangkapan aktivis dan pemimpin politik oleh polis kepada kementerian itu. -mk

Tiada ulasan: