7 Mac 2009

Kenyataan PM Satu Tamparan Kepada Polis

Banyak pihak merasakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman perlu meletakkan jawatan serta merta kerana tindakan polis yang keterlaluan di dalam tindakan mereka terhadap peserta yang berarak membantah perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) petang tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri telah mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.

Datuk Seri Abdullah berharap agar keputusan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat segera bagi mengelakkan tercetusnya isu yang lebih besar.

"Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanan-tekanan dan tindakan-tindakan NGO (Badan Bukan Kerajaan) akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan novel "Dragon Fire Hammer" di sini hari ini.

Tepat sekali kata-kata TG Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan sebelum ini : "Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti."

Kita amat terkilan dengan tindakan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang dengan ganas dan zalim melepaskan semburan asid kepada orang ramai yang telah bersurai terutama di perkarangan Masjid Negara.

Ini menunjukkan bahawa mereka sebenarnya BUKAN untuk menyuraikan perhimpunan tetapi lantaran sikap biadab, ganas dan zalim mereka terhadap mereka yang berhimpun petang ini. Jika bertujuan menyuraikan perhimpunan mengapa setelah peserta bersurai pun mereka masih lagi memburu seperti yang berlaku di Masjid Negara? Kita juga sedang mengumpulkan bukti-bukti bergambar tentang tindakan polis berpakaian biasa yang melakukan prokavasi di dalam perhimpunan tersebut.

Mereka sepatutnya bekerjasama dengan peserta perarakan tersebut dengan mengawal lalulintas apabila mereka mengetahui DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sendiri telah memperkenankan kehadiran rakyat ke Istana Negara untuk menerima memorandum tersebut, tetapi tiba-tiba polis-polis ini menjadi pihak yang menghuru-harakan perhimpunan dengan perlakuan-perlakuan provokasi, menghalang di pertengahan perarakan, melemparkan bom asap serta menembak air berkimia kepada para peserta.

Di dalam kejadian yang berlaku petang ini juga, pihak polis dilaporkan telah menahan kira-kira 130 orang.

Lebih daripada 40 pertubuhan NGO terlibat di dalam perhimpunan yang berlansung petang ini. Mereka termasuklah:

1. Kumpulan Prihatin
2. Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
5. Majlis Profesor Sains Dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia
6. Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
7. Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM)
8. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
9. Institut Alam Tamadun Melayu,Ukm (ATMA)
10. Persatuan Penulis Nasional (PENA)
11. Persatuan Eksekutif & Usahawan Bumiputera Malaysia (PESUMA)
12. Persatuan Bekas Pelajar ITM (PBP-ITM)
13. Persatuan Suluh Budiman (PSB)
14. Persatuan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PMITT)
15. Persatuan Pengajian Melayu Malaysia (PPMM)
16. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman)
17. Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)
18. Teras Pengupayaan Melayu (Teras)
19. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
20. Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi)
21. Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (Pasas)
22. Kesatuan Sekerja DBP
23. Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam)
24. Persatuan Penulis Johor (PPJ)
25. Persatuan Penulis Muar
26. Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (Pumpp)
27. Gabungan Mahasiswa Darulaman (Persada)
28. Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (Bersatu)
29. Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat(Kgmmb)
30. Persatuan Sains Keadaan Pepejal (Pskp)
31. Persatuan Biologi Gunaan Malaysia
32. Persatuan Sains Matematik Malaysia
33. Majlis Profesor Sains Dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia
34. Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP)
35. Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ)
36. Gamis
37. Persatuan Pendidik Insan Negeri Sembilan (PPINS)
38. Ikatan Pengkajian Islam Pahang (Ikatan)
39. Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan Dan Selangor Darul Ehsan (Pepias)
40. Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Negeri Kedah (Persida)
41. Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (Perkepis)
42. Kesatuan Pelajar Islam Melaka (KPIM)
43. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK)
44. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Pinang (Pembimbing)
45. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP)
46. Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)
47. Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)
48. Institut Peradaban Melayu, UPSI



Bantahan PPSMI Akan Diteruskan.

Gelombang Putih - itulah namanya! 7 Mac 2009 satu lagi tarih yang akan terpahat di dalam lipatan sejarah negara ini selepas 42 tahun peristiwa penting dalam perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu yang pertama kali pernah diperjuangkan pada 3 Mac 1967 itu bagi membantah Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diknelai dengan nama "Keranda 152".

Hari ini, gerakan aktivis bahasa menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencipta sejarah apabila turun ke jalan raya, mengulang peristiwa perarakan Keranda 152.

Seperti perhimpunan Bersih dulu hari ini langit persis merestui dan mengasihani rakyat yang berhimpun, mencurahkan hujan rahmat disamping membersihkan kotoran gas pemedih mata yang disemburkan oleh anggota FRU ke arah mereka, sementara laluan ke Istana Negara sekalipun sesak dengan lautan manusia, dipermudahkan jalannya oleh Allah s.w.t. untuk peserta-peserta perhimpunan tiba menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Dipertuan Agong.

Inilah rakyatmu Tuanku, yang datang dari pelbagai ceruk bandar dan desa, tiba ke Istanamu setelah menempuh pelbagai susah payah, halangan, ujian dan dugaan, ingin memohon simpati dan belas ikhsan tuanku, agar mendengar aduan dan rayuan kami tentang salahlaku kerajaan yang ada terhadap pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kelaknya akan menjadi Bahasa Melayu terpinggir di tanah melayu sendiri.

Pak Samad Said menyatakan: "Kami jelaskan bahawa gerakan kami adalah gerakan sopan, bukan gerakan garang. Ia adalah gerakan hati nurani bagi menghidupkan bahasa, yang mesti dijaga, bukan ditetak,"

Tambah Pak Samad lagi, tujuan gerakan ini ialah bagi menyedarkan pihak kerajaan dalam upayanya untuk mencapai kemajuan melalui sains dan matematik, yang penting sama ada laluan itu akan merencatkan lestari bahasa ibunda.

"Dalam tempoh 50 tahun, bahasa Melayu yang dikuncup akan nazak dan akan dikuburkan. Inilah yang kami runsingkan," keluh beliau.

Bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad sendiri mengakui wujud kecelaruan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun tujuan pelaksanaannya adalah baik.

Menurutnya PPSMI bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia tetapi sepanjang enam tahun pelaksanaannya ia dilihat seperti tidak mencapai sasarannya disebabkan kecelaruan itu.

Sesungguhnya perhimpunan aman 100 ribu rakyat membantah PPSMI pada hari ini sangat besar makna dan implikasisnya kepada masa depan budaya dan politik Malaysia. Inilah Gelombang Kedua Reformasi rakyat Malaysia, yang bakal membawa banyak perubahan kepada negara ini. Para pemimpin Umno yang memandang remeh kepada gerakan rakyat menuntut dimansuhkan dasar PPSMI ini, akan menyesal tidak sudah.

Dato' Hassan Ahmad, Pengerusi GMP, sudah menyatakan bahawa Himpunan 100 Ribu hari ini bukanlah matlamat akhir perjuangan GMP. Ia hanyalah himpunan untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sahaja. Maknanya agenda perjuangan GMP akan diteruskan lagi selepas 7 Mac.

Matlamat GMP ialah untuk melihat dasar PPSMI dimansuhkan oleh kerajaan, dan bahasa Melayu didaulatkan semula sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Memang ia hanya persoalan bahasa. Tetapi persoalan bahasa sebenarnya bukanlah sekadar alat untuk bercakap atau berkomunikasi sahaja. Bahasa itu jiwa bangsa. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah lama menjadikan ungkapan ini sebagai moto atau slogannya. Bangsa yang tidak menghormati bahasanya adalah bangsa yang tidak menghormati jiwa bangsanya sendiri, sekali gus tidak tahu nilai harga diri suatu bangsa.


Rakyat Kutuk Tindakan Polis

Walau apa pun alasan yang diberikan oleh Polis untuk mewajarkan mereka menggunakan kekerasan seperti menembak gas pemdih mata ke arah peserta anti-PPSMI, ia tidak dapat diterima sebagai tindakan yang waras kecuali hanya menjelaskan lagi kebenaran bahawa polis yang ada pada hari ini adalah polis yang berpihak kepada kerajaan UMNO-BN.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyatakan, kumpulan itu yang pada awalnya diketuai oleh Pengerusi Gapena Datuk Hassan Ahmad, Datuk A Samad Said dan Dr. Shaharil Md Zain, bersetuju untuk tidak mengadakan perhimpunan atau demonstrasi semasa perbincangan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohd Sabtu Osman.

“Mereka bersetuju menghantar wakil ke Istana selepas solat Zohor tetapi bila parti PAS dan PKR telibat, ia bertukar menjadi satu perhimpunan haram."

“Kami tiada pilihan kecuali menembak gas pemedih mata untuk menyurai mereka yang tak mendengar arahan polis,” tambahnya.

Kenyataan Ketua Polis Negara berkenaan telah ditentang oleh beberapa orang pemimpin PAS dan PKR yang turut hadir di dalam perhimpunan petang ini.

"Apakah kerana PAS dan PKR turut serta maka ia bertukar menjadi perhimpunan haram? Tetapi jika UMNO turut serta ia automatik menjadi halal?" tanya seorang pemimpin PKR.

"Jelas sangat melalui kenyataannya, Musa Hassan ini pengampu kepada UMNO-BN. Beliau bukan Polis untuk seluruh rakyat Malaysia. Beliau awal-awal sudah ada persepsi negatif terhadap Pakatan Rakyat," tambahnya.

Seorang pemimpin PAS menyatakan bahawa tindakan polis yang menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan peserta adalah mengikut arahan pihak atasan mereka yang takut dan malu kepada menteri UMNO-BN.

"Sebenarnya tindakan polis yang membuat sekatan jalanraya sana-sini yang menyebakan berlakunya kesesakan lalulintas, bukan disebabkan oleh peserta-peserta perhimpunan," tambahnya mengulas kenyataan Musa yang menyatakan perhimpunan itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Pihak peserta perhimpunan mendesak pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir supaya membawa hal ini ke Parlimen untuk mengusulkan satu bantahan keras terhadap kenyataan Ketua Polis Negara berkenaan yang jelas bersifat berat sebelah dan prejudis.

"Semua hal yang karut dari polis ini mesti dihentikan segera. Beliau tak ada kelayakan untuk memegang jawatan sepenting itu di dalam negara kita. Seorang Ketua Polis Negara mesti seorang yang waras fikiran dan bukan bertindak mengikut kepentingan parti pemerintah semata-mata," jelas seorang pensyarah dari fakulti Bahasa dari sebuah universiti tempatan.

"Amat memalukan bila polis Malaysia bertindak macam binatang ke atas kelompok cendekiawan dan golongan berilmu. Maaf ler saya kata mereka macam binatang sebab mereka anggap rakyat ni macam binatang yang mereka boleh lakukan sesuka hati mereka," jelas seorang peserta.

A Samad Said Ditangkap.

Terkini menurut Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman yang berada di lokasi berhampiran Istana Negara memaklumkan bahawa Sasterawan Negara A. Samad Said ditangkap oleh pihak polis di depan pintu istana.

FRU kini katanya telah melancarkan tembakan gas pemedih mata kepada para peserta himpunan dan dalam masa yang sama pasukan anggota polis kelihatan mengejar beberapa para peserta di lokasi berdekatan stesen Keretapi KTM berdekatan Istana Negara.

Menurut beliau, kawasan sekitar Istana Negara kelihatan 'memutih' kerana lebih 100,000 orang ramai masih bertahan sungguhpun terasa bahang gas pemedih mata yang dilancarkan oleh FRU.

"Saya sudah tak nampak kawasan sekitar, mata sangat pedih kena tembakan gas...saya akan maklumkan kemudian," katanya singkat ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Dilaporkan Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan PAS termasuk para pejuang bahasa yang lain turut berada di sekitar kawasan istana negara.

Sebelum mereka berarak kira-kira jam 2.10 petang tadi, kelihatan ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dato' Baha Zain dan naib presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid sejak sebelum solat zohor, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Kira-kira jam 3.15 petang Lutfi memaklumkan bahawa ribuan orang ramai sudah mula berundur dari Istana Negara ke Masjid Negara kerana 'asakan' dan serangan yang dilakukan oleh pihak FRU dan para peserta di minta berkumpul ke sana.

Hrakahdaily

Lintas Lansung Perarakan PPSMI 7 Mac 2009

Terkini: 3.25 petang: Sebahagian peserta himpunan tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid oleh pihak polis.

3.15 petang : Pihak berkuasa mula menyembur pancutan air daripada 'Water Cannon' dan melepaskan gas pemedih mata kepada orang ramai yang sedang berehat di Masjid Negara.

3.10 petang : Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad menyerahkan memorandum anti-PPSMI kepada penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang tadi.

3.02 petang : Masih ada peserta yang seang berjalan menuju Istana Negara berdekatan Public Bank dan pihak polis telah menembak meriam air kearah mereka.

Kelihatan helikopter berlegar-legar rendah di ruang udara.

3.00 petang: Ustaz Riduan Mohd Nor mengajak orang ramai untuk kembali semula ke Masjid Negara memandangkan pihak polis masih bertalu melepaskan gas pemedih mata. Perbuatan polis yang melepaskan gas pemedih mata dilihat sebagai perbuatan yang disengajakan untuk menimbulkan provokasi dan huru-hara.

2.55 petang: Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said kelihatan berada di pintu pagar Istana Negara.

2.50 petang : Harakahdaily melaporkan dianggarkan lebih 150 ribu orang sedang berusaha untuk menembusi sekatan FRU di jalan menghala ke Istana Negara. Polis masih terus melepaskan gas pemedih mata. Dalam masa yang sama amaran dikeluarkan agar semua bersurai jika tidak tangkapan akan dilakukan.

2.45 petang : Polis bertindak menembak gas pemedih mata. Perarakan diteruskan sehingga ke Jalan Syed Putra, kedudukan sekarang sudah menghampiri Istana Negara.

2.40 petang : Hampir 50 ribu penyokong bantah PPSMI sedang menuju ke Istana Negara di ketuai oleh bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Hassan Ahmad dan A Samad Said. Hujan yang renyai-renyai telah turun, perarakan diteruskan dengan penuh semangat.

Walaupun pihak polis sedang menyekat perarakan tersebut namun penyokong tetap merempuh dan terus berjalan menuju ke Istana Negara. Perarakan tersebut telah sampai ke Bangunan Koperasi Polis.

Kelihatan Ketua Pemuda PAS pusat, serta wakil Ketua Angkatan Muda KeADILan dan Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan Badrul Hisham Shahrin juga berada di tengah-tengah asakan orang ramai yang menuju ke Matlamat mereka.

Kenderaan yang lalu lalang juga membunyikan hon masing-masing dengan berirama tanda memberi sokongan kepada penyokong bantahan PPSMI itu. Terdapat kekecohan di sini sana dengan pasukan polis yang cuba menghalang pergerakan.

Kumpulan daripada Sogo yang berarak telah mula bersatu dengan kumpulan daripada Dayabumi, dianggarkan lebih 5,000 orang ketika ini sedang bergerak ke arah Istana Negara.

2.36 petang : Polis dilaporkan melepaskan gas pemedih mata kepada penentang dasar PPSMI di jalan menuju istana.

Tembakan gas pemedih mata juga kelihatan di lebuh raya tersebut, dekat jejantas di atas Jalan Syed Putra.

2.35 petang : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut kelihatan bersama para peserta.

2.30 petang: Polis kelihatan berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana.

Untuk memintas sekatan polis di situ, ribuan peserta telah bergerak melalui jejantas depan masjid menuju Kampung Attap, dekat istana.

2.25 petang: Kelihatan Ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan naib presiden PAS Mohamad Sabu ada bersama di Masjid Negara

2.20 petang: Dianggarkan lebih 1,000 orang sedang berarak daripada Pasar Seni ke arah dataran Merdeka dengan dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Chik.

2.16 petang: Sementara di Pasar Seni, Ustaz Abu bakar Chik sedang membaca doa dan pihak polis telah membenarkan kumpulan di situ untuk berarak.

2.15 petang: Namun, rantaian sekatan yang dibuat FRU telah dirempuh oleh rakyat yang berhimpun dengan laungan 'Allahuakbar'!

2.05 petang: Pihak polis sedang menghalang beberapa kumpulan di Pasar seni daripada berhimpun dan berarak ke Masjid Negara.

2.00 petang: Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat sertai AJK GMP sedang berucap untuk menaikkan semangat rakyat yang hadir agar berarak ke Istana Negara.

1.52 petang: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub,Dr Syed Azman, Dato' Mahfuz Omar sedang memimpin perarakan daripada Kompleks Sogo bersama lebih 1,000 orang yang menyokong untuk membantah dasar PPSMI.

Walaupun,hujan turun namun semua bersemangat dengan meneriak pelbagai slogan.

1.50 ptg Para peserta perarakan yang sedang berada di Sogo dan Pasar Seni menunggu untuk berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan memo tentangan mereka terhadap PPSMI.

Dilaporkan sebelum ini DYMM Yang DiPertuan Agung telah mengarahkan Bendahara Istana untuk menerima memorandum dari rakyat ini secara rasmi.

Perarakan akan bermula sebentar lagi

1.40 ptg Dua buah bas yang membawa orang asli daripada Tapah,Perak telah ditahan pihak polis di Damansara dan dibawa ke Balai Polis Sentul untuk disoal siasat.

1.25 petang: Sekumpulan wakil daripada Chinese Assembly Hall telah tiba di pekarangan Masjid Negara dan turut menyatakan sokongan terhadap bantahan PPSMI.

Di Sogo setiap 20 meter kawasan sekeliling Sogo dikawal dan dipantau oleh pihak polis beruniform dan preman namun tidak kelihatan pasukan serta trak FRU seperti di belakang kawasan Dataran Merdeka di mana siap siaga tiga buah trak dan pasukan unit beruniform itu.

1.15 petang: Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said melahirkan kekecewaan dengan sistem demokrasi negara apabila dilaporkan dua buah bas telah ditahan polis daripada datang ke Masjid Negara.

1.10 petang: Pihak polis mengarahkan sepanduk membantah PPSMI diturunkan di Masjid Negara.

1.00 petang: Dato' Dr Hassan Ahmad melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai hari ini dan ia jelas menandakan PPSMI ditolak oleh rakyat.

Dalam pada itu, Dr Hassan memaklumkan setelah berunding dengan wakil GMP,pihak polis hanya membenarkan sebanyak 7 orang dengan 3 buah kereta bergerak ke Istana Negara selepas solat Zohor (sekitar jam 2.00 petang). Turut serta adalah beberapa wakil NGO berbangsa Cina. Namun, pihak polis masih melarang untuk diadakan sebarang perarakan,tetapi perhimpunan hanya dibenarkan di kawasan masjid sahaja.

1.00 petang:Kira-kira 10,000 orang sudah mula berhimpun di sekitar kawasan Masjid Negara dengan memakai baju berwarna putih.

Lebih 1,500 orang daripada Kelantan telah tiba di KL Sentral melalui keretapi dan kini telah bergerak ke tiga lokasi yang ditentukan oleh pihak penganjur. - maklumat harakahdaily

12.45 tghari:Keadaan di Masjid Negara masih terkawal,namun anggota polis dianggarkan lebih 50 orang ditempatkan sekitar kawasan masjid. - maklumat harakahdaily

12.30 tghari : Jalan dari arah Jalan Klang Lama dan Parlimen telah ditutup oleh pihak polis.

12.20 Tgh hari - Puluhan polis berseragam berada di perkarangan bangunan MAA berhadapan Gapema. Kenderan bergerak perlahan di sepanjan jalan dari kedua arak ke Istana Negara.

12.08 Tgh hari - Kawasan sekitar Pasar seni mula gamat dengan anggota polis yang ditambah lebih 100 orang. Sementara itu, di hadapan bangunan Jawi kelihatan 3 buah trak 'Water Cannon'.

Beberapa kumpulan kecil aktivis sedang bergerak dari Sogo ke Masjid Negara .

11.45 pagi -Semangat yang ditunjukkan oleh aktivis-aktivis setakat yang hadir berhimpun amat membanggakan. Mereka tidak langsung menghiraukan polis yang rata-rata cuba mengawal dan menghalang perhimpunan menjadi kumpulan yamg lebih besar.

Terkini, seramai lebih 20 orang aktivis yang memakai kemeja-T putih GMP berada di tengah-tengah aktivis lain.

Tanpa menghiraukan kehadiran polis, kelihatan puluhan aktivis unit amal mula berkumpul di perkarangan Sogo bersiap sedia memulakan acara yang di rancang terlebih awal lagi.

Sekumpulan kecil aktivis juga kelihatan berkumpul di Pasar seni dan Masjid Negara untuk bersiap sedia memulakan perarakan yang di jangka akan bermula pada masa yang dijadualkan.

Beberapa laluan utama ke ibu negara terlibat dalam sekatan kali ini. Sebanyak 16 sekatan diadakan di ibu negara bagi mengawal keadaan.

Ratusan pasukan polis berseragam dan puluhan pegawai cawangan khas yang tidak berseragam berada di persekitaran Sogo bertujuan mengawal perhimpunan tersebut.

Kelihatan juga helikopter terbang rendah di persekitaran kawasan ini.

Sentiasa dikemaskini
kredit: harakahdaily
pahangdaily
suarakeadilan
mstar
malaysiakini


Perjuangan Nizar Seiring Penentangan Terhadap PPSMI

Hari ini, 7 Mac 2009. Selepas kita berbicara dengan hebat mengenai krisis politik Perak - topik kita beralih kepada PPSMI.

Namun PPSMI ini ada kaitan yang erat dengan Nizar.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa anak Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin telah terlebih awal berjuang di dalam menentang PPSMI.

Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar Jamaluddin, 10 telah menyaman kerajaan pada tahun 2006 beserta beberapa pelajar sekolah yang lain kerana melaksanakan dasar yang menyebabkan sebilangan besar para pelajar khususnya kaum Melayu tercicir dalam mencapai kejayaan di kedua-dua mata pelajaran itu.

Demikian dijelaskan Nizar di dalam satu ceramah di Felcra Kg. Serigala beberapa minggu lalu.

Katanya PPSMI membawa kesan yang negatif ke atas pencapaian keputusan peperiksaan pelajar-pelajar Melayu khususnya di luar bandar

"Kita dalam Pakatan Rakyat sudah lama membantah PPSMI dan memperjuangkan bahasa rasmi yang juga ingin dilenyapkan oleh Umno seperti mana yang berlaku ke atas tulisan jawi.

"Anak saya dan beberapa yang lain telah bertindak menyaman kerajaan kerana mencabuli perlembagaan negara yang melindungi bahasa ibunda," katanya yang turut dibantu dan diwakili oleh tujuh peguam antaranya Hanipa Maidin dan Amiruddin.

Sehingga kini katanya, kes tersebut masih dikesampingkan oleh Umno-BN yang jelas tidak menitik beratkan masalah yang dihadapi oleh para pelajar khususnya luar bandar dan mengabaikan tanggungjawab mendaulatkan Bahasa Melayu.



P.Ramlee Derhaka Kepada Sultan dan UMNO?

Sebuah karya filem yang bermutu biasanya mengandungi beberapa unsur utama seperti: hiburan, didaktik, imaginasi, emosi, intelek dan teknik.

HIBURAN (entertainment) merupakan fungsi asas bagi sesebuah filem. Perfileman juga berupaya dan mampu menjadi bahan hiburan yang bermutu.

Kategori “hiburan” adalah berbeza antara seorang pembaca dengan seorang pembaca lain. Malah sebuah filem dengan pelbagai unsur ketegangan masih boleh diterima sebagai sebuah filem yang menghiburkan. Ia tidak pula menjatuhkan nilai dan martabat filem berkenaan. Sebaliknya menunjukkan betapa filem berkenaan bersifat subjektif dan fleksibel.

Selain menghibur, filem juga harus berupaya mendidik penonton. Dalam hal ini, filem seharusnya memiliki unsur DIDAKTIK (moral). Unsur pengajaran lazimnya disampaikan secara halus melalui mesej yang tersirat dan tidak secara berkhutbah.

Nilai, moral dan tatasusila yang diterapkan melalui filem biasanya disampaikan secara tidak langsung.

Ini dapat kita lihat di dalam filem-filem karya Allahyarham P.Ramlee.

Sesungguhnya seniman agung P.Ramlee memang ‘agung’ dengan imuniti besar kerana biar berkali-kali menghina, mengutuk dan melecehkan Sultan, tiada siapa berani berkata arwah seorang yang menderhaka.

Malah P.Ramlee pernah menyamakan Sultan dengan setan dalam Seniman Bujang Lapuk. Menyamakan UMNO dengan golongan sarkis. Klasik sekali. Filem-filem arwah terus menjadi evergreen dan tidak jemu di tonton berulang kali. Juga isinya sesuai untuk sepanjang zaman.

Berdasarkan rekod karya-karya seni P. Ramlee, kesemua penghasilan beliau merupakan aset yang begitu berharga dan tiada wang ringgit mahupun segunung intan yang mampu menggantikannya.

Dunia semakin berubah dan tiada siapa yang dapat menjangkakan sampai bila nama P.Ramlee akan terus bersemadi dan tersemat di jiwa kita lewat filem-filem yang telah dihasilkannya.

Kes Saman Nizar Ke Mahkamah Tinggi

Hakim Lau Bee Lan memutuskan kes saman yang dikemukakan oleh Hj Nizar terhadap Zambry Abdul Kadir akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan. Menurut beliau, kes saman Hj Nizar yang melibatkan isu-isu perlembagaan lebih senang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Saman mencabar keabsahan pelantikan Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar baru Perak difailkan oleh Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Sebelum ini, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Hj Nizar membantah perkara itu dirujukkan ke Mahkamah Persekutuan. Sebaliknya, beliau memohon Hakim Lau mendengar saman tersebut. Manakala Kamaluddin yang mewakili pejabat Peguam Negara berhujah bahawa perkara itu membabitkan penafsiran Artikel 16 (6) Perlembagaan Negeri Perak yang harus didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Hakim Lau memutuskan terdapat kes membabitkan persoalan perlembagaan, seperti yang terkandung di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA). Berikutan itu, Hakim Lau, memutuskan untuk merujuk kes tersebut terus kepada Mahkamah Persekutuan.

Dato' Seri Hj Nizar menghormati keputusan tersebut walaupun beliau berharap mahu kes tersebut didengar terlebih dahulu. Walau bagaimanapun beliau mahu penafsiran yang betul dibuat dalam isu tersebut. Dalam samannya itu Hj Nizar memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar Perak yang sah.

Beliau juga memohon penafsiran Artikel 16(6) Perlembagaan Perak sama ada jawatan menteri besar boleh dikosongkan setelah beliau sebagai Menteri besar telah menasihatkan Sultan supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya Tuanku meminta Hj Nizar meletakan jawatan, tiada usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar di Dewan Undangan negeri dan Hj Nizar sendiri tidak pernah kemukakan surat perletakan jawatan.

Sidang mahkamah ditangguhkan ke petang Selasa depan.

Misbahul Munir



6 Mac 2009

BN Cuba Tutup Kes Najib & Altantuya di Parlimen

Di parlimen kelmarin Ahli parlimen Barisan Nasional enggan memberi laluan kepada wakil Parti Pakatan Rakyat Saifuddin Nasution untuk menengahkan laporan akhbar Perancis yang menunjukkan Najib dan Altantuya saling mengenali.

Datuk Seri Najib Razak didakwa pernah bergambar bersama mereka berdua, yang didakwa pasangan kekasih, bertentangan dengan penafian tokoh politik itu sebelumnya.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution, menggemparkan Dewan Rakyat apabila menimbulkan perkara tersebut yang mana di dalam laporan itu menyatakan ia diperolehi dari sumber yang bocor dari polis Malaysia. Saifuddin telah membaca petikan kisah bagaimana Altantuya telah memohon bantuan dimana dikatakan mangsa waktu itu sedang mengandung sebelum dia ditembak mati.

Najib sebelum ini menafikan pernah mengenali atau bertemu wanita Mongolia itu yang mati dibunuh di sebuah belukar di Shah Alam.

Beliau juga pernah bersumpah mengenali wanita itu sewaktu diserang hebat oleh pembangkang pada pilihanraya kecil Permatang Pauh, Ogos tahun lepas.

Keputusan kes bunuh tersebut yang melibatkan dua anggota pasukan elit Unit Tindakan Khas (UTK) akan diketahui awal bulan depan.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang menggulung perbahasan menjunjung titah DYMM Yang Dipertuan Agong, menyatakan bahawa dakwaan itu tiada kaitan dengan kementeriannya.

“Apa juga maklumat boleh bocor namun dakwaan yang ini hanyalah spekulasi.” tambahnya.

Saifuddin walaubagaimana pun menyatakan akhbar tersebut mempunyai pembaca yang ramai di Eropah dan telah mencemarkan imej negara.

Banyak pihak mempersoalkan kenyataan Rais tersebut kerana telah dilaporkan di dalam akhbar tersebut bahawa Steve Shaaribu (bapa kepada Altantuya) mendakwa “Kerajaan Malaysia langsung tidak membalas surat-surat yang dihantar oleh Kementerian Luar Mongolia.”

Ini jelas satu pengabaian terhadap hubungan diplomatik kedua-dua negara oleh pihak Kementerian Luar Malaysia dan ia benar-benar mencalarkan imej negara.

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee pula tidak membenarkan Saifuddin untuk meneruskannya kerana perkara tersebut masih dibicarakan di mahkamah.


Setiausaha Politik Azalina Ditahan SPRM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said mengesahkan terdapat seorang pegawai kanan menteri persekutuan ditahan oleh suruhanjaya itu berhubung dakwaan terlibat dengan rasuah.

Difahamkan pegawai kanan itu ditahan lewat malam Rabu lalu berhubung dakwaan politik wang melibatkan lebih RM70,000.

Difahamkan lelaki tersebut ditahan lewat malam Rabu lalu dan dibebaskan beberapa jam kemudian selepas SPRM merekodkan kenyataan daripadanya.

GB difahamkan bahawa Setiausaha Politik yang dimakasudkan ialah ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said iaitu Sdr Amran Mat Noor.

Amran berasal dari Kelantan dan pernah menjadi wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising apabila mengalahkan calon PAS Saiful Bahrin Bin Mohd dalam pilihan raya umum 2004. Pada Pilihanraya 2008, Amran bertanding di kerusi Parlimen Pasir Puteh tetapi tewas di tangan calon PAS Muhammad Bin Hussain.

Azalina Othman Said adalah salah seorang calon yang akan bertanding sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno (MT).

Penahanan Amran dipercayai ada kaitan dengan politik wang namun tidak dapat dipastikan samada wang sebanyak RM70 ribu itu kepunyaan beliau atau Menterinya.

Telah menjadi tradisi di dalam pemilihan pimpinan UMNO, calon-calon yang yang bertanding terutama di peringkat Majlis tertinggi akan menaburkan wang kepada perwakilan untuk membeli undi.



Isu Karpal : Siapa Yang Samseng dan Celaka?

Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini mendedahkan yang mereka kononnya ada mempunyai bukti kekecohan di pekarangan Parlimen pada 26 Februari lalu dimulakan oleh wakil rakyat DAP.

Setelah mereka ditempelak oleh Yang Dipertua Dewan Negara yang menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang tragis dan tidak patut berlaku di Parlimen tetapi disebabkan kebodohan kumpulan tertentu dan setelah Dewan Rakyat telah meluluskan usul untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat aduan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) melompatlah mereka bersama para pembela mereka.

Yang jelas dan yang nyata mereka tidak ada sedikit hak pun untuk menahan Karpal Singh di perkarangan Parlimen walau apa alasan sekalipun.

Karpal Singh telah berulang-kali meminta supaya beliau diberikan laluan tetapi pemuda-pemuda samseng ini enggan memberinya laluan tetapi sebaliknya mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya disuarakan.

Seorang pemuda didengari telah berkata: "Tak payah masuk parlimen, you masuk parlimen buat kacau dunia saja..." jelas merupakan kata-kata biadab yang tak sepatunya dikeluarkan kerana Karpal Singh seorang yang telah menang di dalam pilihanraya dan ia perlu dihormati.

Kita tidak sepatutnya melangkaui jauh sehingga menimbulkan api perkauman dan hal inilah sebenarnya yang telah ditegah di dalam titah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong sewaktu membuka Parlimen baru-baru ini. Baginda telah melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu.

Karpal Singh sebelumnya didakwa telah menuduh Pemuda menghantar peluru kepadanya. Karpal membuat telah membuat tuduhan berdasarkan kepada perkembangan di waktu itu di mana beberapa hari sebelum beliau menerima peluru itu, Pemuda UMNO di beberapa buah negeri telah keluar untuk membuat perarakan menyatakan beliau seorang penderhaka.

Seseorang boleh mengesyaki "suspek" sesuatu kejadian dan ini tidak bersalahan dengan undang-undang. Polis apabila membuat soal-siasat sering bertanya kepada mangsa sesuatu kejadian samada mangsa ada mengesyaki sesiapa kerana dengan cara itu ia akan memudahkan sesuatu siasatan.

Jika pemuda tidak menghantar peluru tersebut mengapa tiba-tiba melompat macam kera seolah-olah terpentik di batang hidung?

Sedangkan pemuda UMNO sendiri melakukan provokasi yang begitu hebat pada awal bulan Februari dengan membawa kenyataan-kenyataan yang jauh dari "kesopanan dan kesuliaan" seperti yang dituntut oleh mereka apabila di"celaka"kan oleh Karpal Singh? Karpal telah menarik balik perkataannya di Parlimen di hadapan Timbalan Speaker Wan Junaidi. dan ia boleh dilihat di dalam hansard parlimen.

Sedang mereka memulakan dahulu perkataan "Karpal Celaka" pada 9 Februari 2009 sewaktu pemuda UMNO berarak ke balai polis untuk membuat laporan ke atas Karpal Singh. Jika Karpal telah menarik balik perkataan celaka yang dikeluarkan, kita belum mendengar Pemuda ada menarik balik perkataannya itu.

Jadi mengapa Pemuda UMNO boleh lakukan kepada orang lain tetapi tak sanggup menerima apa yang orang lain lakukan kepada mereka? Kalau tak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah!

Allahyarham P.Ramli di dalam Filem Seniman Bujang Lapok pernah mengisahkan satu sketsa bagaimana pemuda-pemuda nak mencari kerja tetapi menggunakan bahasa "hoi, hoi" kepada seorang Benggali (Singh) yang menjadi "jaga" pada masa itu. Akhirnya pemuda bujang lapok bertiga itu ditegur: "Nama saja orang Melayu, adab pun tak tahu.."

Meminjam kata-kata Ahmad Nisfu pula di dalam filem Seniman Bujang Lapok arahan P.Ramli: "kecik-kecik tak nak mampus, dah besar menyusahkan orang!"



Teori RAHMAN: N Untuk Nizar (?)

Satu ketika orang heboh perkatakan teori R.A.H.M.A.N yang menjadi semakin benar jika melihat arah-aliran nama-nama Perdana Menteri Malaysia bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj.

Kini selepas Abdullah Ahmad Badawi, muncul huruf N.

N pula membawa dua nama di tengah gelanggang berdasarkan senario politik negara yang begitu signifikan sekarang ini.

Yang pertama ialah Najib. Dan sememangnya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Abdullah akan melaksanakan pelan peralihan kuasanya secara rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri sekalipun terpaksa menelan hati kerana hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri selama dua penggal tidak kesampaian.

Namun kini di dalam senario politik tanahair muncul N yang kedua. Nizar namanya. Nama NIZAR tiba-tiba meniti dari bibir ke bibir rakyat Malaysia ekoran tindakan durjana Najib yang merampas kuasa kerajaan Nizar di Perak.

Sepertimana rakyat Malaysia tidak menduga bahawa selepas Mahathir ialah Abdullah kerana waktu itu nama yang menjadi sebutan pada peringkat awal bukanlah Abdullah. "A" yang dimaksudkan pada masa itu ialah ANWAR yang merupakan Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Anwar hanya tertinggal setapak sahaja lagi waktu itu untuk naik sebagai Perdana Menteri yang apabila tiba-tiba musibah menimpanya menyebabkan nama Perdana Menteri yang naik ialah "ABDULLAH".

Najib yang kini terbelenggu dengan pelbagai masalah, malah sudah ada banyak tanda-tanda di waktu kakinya mula melangkah menaiki takhta Perdana Menteri hujung bulan ini, sudah begitu ramai mempersoalkan kelayakannya untuk menjadi PM sekalipun beliau telah memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding di dalam pemilihan UMNO tahun ini.

Rakyat Perak rata-rata menolaknya. Malah satu ketika beliau sendiri telah dinasihatkan oleh Polis jangan menjejakkan kakinya ke Perak kerana pihak Polis tidak berupaya untuk mempastikan keselamatannya di negeri itu.

Beliau dianggapkan oleh seorang tokoh politik sebagai seorang yang tidak bersifat negarawan apabila melakukan rampasan kuasa di Perak. Beliau dilaporkan juga bakal "ditelanjangkan" jika berani mengheret seorang pemimpin PKR yang telah mendedahkan isu rasuah Najib yang cuba menaburkan jutaan ringgit bagi mendapatkan perkhidmatannya memjuk ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat untuk melompat parti.

Ada orang yang begitu phobia jika disebutkan nama Najib. Ada yang dah pijak-pijak gambar Najib. Ada yang dah sembut cat kat wajahnya di lebuhraya. Ada juga yang dah bercita-cita yang menunggu ketibaannya dengan hadiah lemparan sepatu buruk.

Begitu dasyat kebencian rakyat kepada Najib. Belum pernah berlaku terhadap mana-mana bakal Perdana Menteri.


Kini muncul semula kes Altantuya yang mati dibunuh secara kejam yang rata-rata masyarakat terpandang wajah Najib semula sebagai orang yang turut serta terlibat di dalam konspirasi itu apabila namanya disebut di dalam sebuah majalah antarabangsa semalam.


Dalam masa yang sama nama Nizar tiba-tiba muncul di persada politik nasional. Nizar yang telah berjaya memimpin kerajaan Pakatan Rakyat di Perak begitu dicemburui oleh musuh politiknya iaitu UMNO-BN sehingga wujud komplot keji menjatuhkan kerajaannya dengan taktik dan teknik paling kotor di dalam sejarah politik negara semenjak merdeka selepas tragedi yang sama berlaku di Kelantan pada 1978. Belum sempat satu tahun dia menjadi MB, musuhnya dah tak tahan untuk terus berusaha menjatuhkannya.

Perak ialah sebuah negeri yang multi-racial, heterogeneous. Ia adalah sebuah mini-Malaysia yang sifatnya juga multi-racial dan heterogeneous. Tidak mudah untuk mengepalai sebuah kerajaan yang rakyatnya sebegitu rencam. Jika tidak dengan titah perletakan jawatan oleh Sultan Perak terhadap Nizar, tidak begitu ramai pula yang mengetahui kehebatan seorang "menteri besar" yang low-profail ini.

Berdasarkan keputusan pilihanraya umum ke 12 yang lalu, undi popular di Semenanjung (tak masuk Sabah dan Sarawak) Pakatan Rakyat memperolehi 51% berbanding Barisan Nasional yang hanya memperolehi 49%.

Dan jika Malaysia ini sebuah negara republik seperti Amerika, jika dua N ini dipertemukan di dalam pemilihan Presiden mewakili dua parti yang berbeza, berdasarkan undi popular PRU12 dan berdasarkan senario politik mutakhir, yang bakal menerajui negara ialah NIZAR.

Dipandang apa sudut sekalipun, dari aspek positifnya, Nizar akan menerima markah yang lebih banyak dari Najib jika kedua-dua N ini di nilai sebelah menyebelah.

Mungkin teori bersahaja ini tidak diterima kerana persis seolah-olah sukar untuk menjadi kenyataan. Namun saya melihat apa yang menimpa Nizar sekarang ini ialah sebagai satu ujian untuk beliau naik semula ke tempat yang lebih tinggi di masa muka. Itu perjalanan perjuangan pemimpin-pemimpin yang hebat di sepanjang zaman.

Satu hari, cepat atau lambat, dengan ketrampilan yang ada pada Nizar, saya meyakini beliau akan menerajui negara kita Malaysia. Ketrampilannya apa? Bacanya kat sini.


Polis Dicabar Tangkap Nizar dan Semua ADUN PR

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdulah dengan nada angkuh telah menyatakan polis akan menyiasat kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat di Perak, termasuk Speaker DUN V Sivakumar, berhubung satu perhimpunan sebelum persidangan tergempar bawah pokok kelmarin.

Malah beliau berkata mereka semua, termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, akan dipanggil atas dakwaan berhimpun secara haram dekat pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kenyataan beliau semalam telah mendapat riaksi spontan dari rakyat seluruh negara khususnya di negeri Perak yang menganggap kenyataan itu sbagai satu kenyataan yang begitu biadab, angkuh dan tidak bertanggungjawab.

"Apa yang berlaku ialah penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis sendiri. Yang dituduhnya orang lain," kata seorang pemimpin PAS Kawasan yang turut berada di tempat kejadian semasa peristiwa itu berlaku.

Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Syed Abd Hamid Albar sendiri di dalam kenyataannya mengakui bahawa polis melakukan kesilapan dalam mengendalikan situasi krisis politik di Perak dua hari lepas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Majlis Peguam bahawa pihak polis tidak bertindak adil semasa menjalankan tugas mereka menyuraikan ADUN Perak dari bersidang.

"Satu sudut perkara itu, kita akan melihat kesilapan yang dilakukan oleh pihak polis, tetapi saya fikir Majlis Peguam sepatutnya melihat keadaan itu dari sudut undang-undang. Undang-undang adalah undang-undang-undang dan apabila kita dipilih kita tidak (boleh) berada di atas undang-undang", kata Syed Hamid seeperti yang dilaporkan dalam star online.

Sekalipun kenyataan menteri berkenaan jelas tidak betul apabila mempertikaikan tindakan Majlis Peguam yang mempersoalkan tindakan polis menghalang ahli dewan undangan negeri dari memasuki bangunan Perak Darul-Ridwan, namun kesediaannya untuk mengakui di satu sudut berlakunya kesilapan polis membuktikan bahawa tindakan polis Perak memang keterlaluan di hari tersebut.

Mereka secara biadab mengkasari ADUN-ADUN Pakatan Rakyat sedangkan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat datang ke bangunan tersebut untuk menghadiri sidang tergermpar yang telah dipanggil oleh Speaker.

"Soal samada sidang itu sah atau tidak, dapat perkenan Sultan atau pun tidak, itu bukan tugas polis memutuskan untuk dijadikan alasan menghalang wakil-wakil rakyat itu untuk mengadakan persidangan," bentak seorang pemimpin PKR.

"Kita ada undang-undang tetapi yang jelas, polis meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka untuk melakukan apa saja kepada rakyat," tambahnya lagi.

Perbuatan menyoalsiasat ADUN-ADUN Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin jelas menunjukkan Ketua Polis berkenaan terlalu biadab dan tidak menghormati seseorang yang telah dipilih secara sah oleh rakyat.

"Kami meminta Ketua Polis itu meletakkan jawatan dan kemudian bertanding di dalam pilihanraya jika merasa dirinya telah terlalu hebat dan jika nak sangat jadi jaguh," katanya.

Malah beliau dicabar menahan dan menangkap semua ADUN-ADUN pakatan Rakyat jika Polis merasakan tindakan mereka tidak salah.

"Jangan tangkap satu dua orang, tangkap semua termasuk Datuk Seri Nizar dan jika dia boleh, tangkap semua rakyat yang sokong Pakatan Rakyat di Perak," tegasnya lagi.

Episod yang berlaku menampakkan kepada mata dunia bagaimana polis Malaysia tidak profesyenal malah sebenarnya menjadi alat kepada pihak tertentu di dalam menjalankan tugasnya.

Membelakangkan fakta bahawa di dalam menjalankan tugas mereka juga sepatutnya mematuhi undang-undang, tetapi apa yang berlaku polis menjadikan mereka superhero meneruskan tradisi membelasah rakyat.

"Mereka sanggup mengKugankan sesiapa saja untuk menunjukkan kuasa, bukan untuk menjaga ketenteraman awam," tambahnya dengan merujuk kepada tindakan polis berkenaan tidak ubah seperti tindakan polis ke atas Kugan yang mati didera dan dibelasah oleh pihak polis semasa Kugan berada di dalam tahanan.


Berita Hari Ini 6 Mac 2009

SIVAKUMAR DIHALANG LANTIK PEGUAM SENDIRI

Mahkamah Tinggi Ipoh sekali lagi memutuskan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar hanya boleh diwakili oleh pegawai undang-undang negeri dan bukan peguam persendirian yang dilantiknya.

Keputusan tersebut dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim selepas mendengar hujah dalam kamarnya. Mahkamah mendengar permohonan yang difail oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas yang menyokong BN terhadap Sivakumar kerana mengisytiharkan bahawa kerusi mereka kosong. (Ulasan lain di hujung artikel)

POLIS SIASAT 28 ADUN PAKATAN RAKYAT

Polis dilaporkan akan menyiasat kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat di Perak, termasuk Speaker DUN V Sivakumar, berhubung satu perhimpunan sebelum persidangan tergempar bawah pokok kelmarin.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata mereka semua, termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, akan dipanggil atas dakwaan berhimpun secara haram dekat pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

YB NGEH KOO HAM : POLIS BERTINDAK BERAT SEBELAH

Ahli parlimen Sitiawan YB Ngeh Koo Ham menyifatkan tindakan polis berat sebelah di dalam mengangani krisis politik Perak. Polis juga telah menyalahgunakan kuasanya di dalam mengepung dan menutup pintu bangunan Perak Darul-Ridwan.

"Kami hanya ingin akses ke bangunan, oleh itu menuduh kami berhimpun secara haram walhal Polis yang bertindak secara tidak sah dan menyalahi undang-undang menghalang kami dan memaksa kami berada di luar pagar adalah lansung tidak boleh diterima.

STATUS ELIZABETH WONG DIKETAHUI SELEPAS 15 MAC

Keputusan mengenai kedudukan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, (gambar) yang gambar separuh bogelnya disebarkan melalui media baru-baru ini, akan diketahui selepas menamatkan cutinya pada 15 Mac ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan negeri membenarkan Wong, yang juga Anggota Exco Kerajaan Negeri, bercuti selama sebulan bagi menenangkan fikiran akibat kontroversi itu.

RAMAI CALON BEBAS UNTUK BUKIT SELAMBAU

Lima individu, iaitu ahli perniagaan, M Khanapathy, 49; Pengurus Pemasaran, L Sarala, 33; pelakon drama sambilan Tamil, RPS Kalaimani, 52; kontraktor, R Loganthan, 43, dan ahli perniagaan yang juga bekas Penasihat Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Thasleem Mohd Ibrahim, 59, menawarkan diri bertanding sebagai calon bebas pilihan raya kecil itu.

Ada yang sengaja isytihar bertanding calon bebas dengan harapan mereka akan dibeli semasa penamaan calon dan ada yang ditaja untuk memecahkan undi.

POLIS BENARKAN HIMPUNAN ANTI-PPSMI

Polis membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Bagaimanapun perhimpunan hanya dibenarkan diadakan di Masjid Negara jam 2 petang, sementara dua lokasi lagi yang dirancang - Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo - tidak jelas.

KES LIWAT ANWAR KE MAHKAMAH TINGGI

Selepas tujuh bulan menjadi perhatian, kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara tersebut kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.

Sementara itu, salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan tersebut, namun terpaksa menerimanya. Beliau berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan esok bagi semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

TVANTARA: RIDWAN PAKSA SIVAKUMAR GUNA KHIDMAT PENASIHAT UNDANG-UNDANG NEGERI

Mahkamah Tinggi Ipoh sekali lagi menafikan Speaker V.Sivakumar daripada mengguna khidmat peguam pilihannya dalam menghadapi saman daripada tiga bekas ADUN Pakatan Rakyat.

Keputusan itu telah dipertikaikan oleh pelbagai pihak sebagai tidak menasabah. Hakim tiada hak untuk memaksa seseorang untuk diwakili oleh mana-mana peguam. Ia jelas satu pencabulan terhadap hak kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan.



100% Kata Usaha Atasi Banjir Tak Berkesan

Undian SMS Edisi 7 menunjukkan bahawa rakyat berpendapat perancangan pihak berkuasa untuk mengatasi banjir di Kuala Lumpur tidak memberi kesan.

Beribu-ribu warga kota terperangkap samaada dalam bangunan, di jalan raya atau di stesen bas dan LRT ekoran hujan lebatsejak pukul 3 petang yang menyebabkan banyak jalan ditenggelami air antara satuhingga dua meter kelmarin.

Di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kira-kira 1,000 pengunjung dan kakitangan yang bertugas di tingkat 2, bangunan itu terperangkap berikutanbekalan elektrik terputus serta beberapa batang jalan di sekitar bangunan ituditenggelami air.

Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam Left Muda Shahrul Kamar Mohd Johariberkata hujan lebat yang luar biasa menyebabkan air dari sungai Klang yang terletak bersebelahan PWTC melimpahi tebing dan membanjiri jalan sekitar.

Beberapa jalan utama di sekitar ibu kota seperti Jalan Ipoh Jalan Tun Ismail, Jalan Rahmat, Jalan Sentul, Jalan Kasipillay dan Jalan Duta dinaiki air sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk.

Tinjauan sekitar Jalan Ipoh mendapati deretan kedai dan ratusan kenderaan ditenggelami air apabila Sungai Batu melimpahi tebing.

Antara bangunan yang ditenggelami air ialah Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Klinik Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak dan Klinik Kesihatan Jalan Ipoh dan bangunan MIC.

Tinjauan di Jalan Putra pula mendapati banyak kereta yang ditenggelami air sehingga ke paras bumbung.