6 Mac 2009

Isu Karpal : Siapa Yang Samseng dan Celaka?

Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini mendedahkan yang mereka kononnya ada mempunyai bukti kekecohan di pekarangan Parlimen pada 26 Februari lalu dimulakan oleh wakil rakyat DAP.

Setelah mereka ditempelak oleh Yang Dipertua Dewan Negara yang menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang tragis dan tidak patut berlaku di Parlimen tetapi disebabkan kebodohan kumpulan tertentu dan setelah Dewan Rakyat telah meluluskan usul untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat aduan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) melompatlah mereka bersama para pembela mereka.

Yang jelas dan yang nyata mereka tidak ada sedikit hak pun untuk menahan Karpal Singh di perkarangan Parlimen walau apa alasan sekalipun.

Karpal Singh telah berulang-kali meminta supaya beliau diberikan laluan tetapi pemuda-pemuda samseng ini enggan memberinya laluan tetapi sebaliknya mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya disuarakan.

Seorang pemuda didengari telah berkata: "Tak payah masuk parlimen, you masuk parlimen buat kacau dunia saja..." jelas merupakan kata-kata biadab yang tak sepatunya dikeluarkan kerana Karpal Singh seorang yang telah menang di dalam pilihanraya dan ia perlu dihormati.

Kita tidak sepatutnya melangkaui jauh sehingga menimbulkan api perkauman dan hal inilah sebenarnya yang telah ditegah di dalam titah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong sewaktu membuka Parlimen baru-baru ini. Baginda telah melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu.

Karpal Singh sebelumnya didakwa telah menuduh Pemuda menghantar peluru kepadanya. Karpal membuat telah membuat tuduhan berdasarkan kepada perkembangan di waktu itu di mana beberapa hari sebelum beliau menerima peluru itu, Pemuda UMNO di beberapa buah negeri telah keluar untuk membuat perarakan menyatakan beliau seorang penderhaka.

Seseorang boleh mengesyaki "suspek" sesuatu kejadian dan ini tidak bersalahan dengan undang-undang. Polis apabila membuat soal-siasat sering bertanya kepada mangsa sesuatu kejadian samada mangsa ada mengesyaki sesiapa kerana dengan cara itu ia akan memudahkan sesuatu siasatan.

Jika pemuda tidak menghantar peluru tersebut mengapa tiba-tiba melompat macam kera seolah-olah terpentik di batang hidung?

Sedangkan pemuda UMNO sendiri melakukan provokasi yang begitu hebat pada awal bulan Februari dengan membawa kenyataan-kenyataan yang jauh dari "kesopanan dan kesuliaan" seperti yang dituntut oleh mereka apabila di"celaka"kan oleh Karpal Singh? Karpal telah menarik balik perkataannya di Parlimen di hadapan Timbalan Speaker Wan Junaidi. dan ia boleh dilihat di dalam hansard parlimen.

Sedang mereka memulakan dahulu perkataan "Karpal Celaka" pada 9 Februari 2009 sewaktu pemuda UMNO berarak ke balai polis untuk membuat laporan ke atas Karpal Singh. Jika Karpal telah menarik balik perkataan celaka yang dikeluarkan, kita belum mendengar Pemuda ada menarik balik perkataannya itu.

Jadi mengapa Pemuda UMNO boleh lakukan kepada orang lain tetapi tak sanggup menerima apa yang orang lain lakukan kepada mereka? Kalau tak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah!

Allahyarham P.Ramli di dalam Filem Seniman Bujang Lapok pernah mengisahkan satu sketsa bagaimana pemuda-pemuda nak mencari kerja tetapi menggunakan bahasa "hoi, hoi" kepada seorang Benggali (Singh) yang menjadi "jaga" pada masa itu. Akhirnya pemuda bujang lapok bertiga itu ditegur: "Nama saja orang Melayu, adab pun tak tahu.."

Meminjam kata-kata Ahmad Nisfu pula di dalam filem Seniman Bujang Lapok arahan P.Ramli: "kecik-kecik tak nak mampus, dah besar menyusahkan orang!"



Tiada ulasan: