Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di Parlimen Pekan tidak lebih menggambarkan beliau seorang yang setia kepada parti.
Harun berkata, apa dinyatakan Abdul Hadi itu menunjukkan dia akur bertanding mana-mana tempat diputuskan parti, namun beliau tidak terfikir Abdul Hadi akan bertanding di Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Bagaimanapun, beliau memberitahu tidak mengetahui maklumat sebenar mengenai perkara itu dan belum berjumpa Abdul Hadi untuk dapatkan kesahihannya.
“Saya tidak jumpa lagi dengan beliau sama ada sungguh atau tidak (mahu tanding di Parlimen Pekan), tetapi apa yang boleh dikatakan, ia bermakna kesetiaan beliau terhadap parti,” katanya, semalam.
Harun mengulas laporan berhubung kesediaan Abdul Hadi untuk bertanding di Parlimen Pekan, sekali gus menunjukkan kesediaan beliau melawan kerusi yang disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Abdul Hadi ketika ini penyandang kerusi Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang.
Harun berkata, Pas sudah tentu akan beri kerusi ‘sesuai dan munasabah’ kepada Abdul Hadi.
Menurutnya, parti akan buat keputusan bijaksana sesuai dengan jawatannya dalam usaha membawa hala tuju parti selepas pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut Harun berkata, hanya kerusi Parlimen Marang dilihat sesuai untuk Abdul Hadi.
“Buat masa ini (Abdul Hadi sesuai) di Parlimen Marang, bukan Maran,” katanya.
Mengenai sama ada Abdul Hadi masih bertanding dua kerusi sebagaimana pilihan raya sebelumnya, Harun menegaskan urusan calon terpulang kepada parti. -SH
Nik Aziz beri lampu hijau Hadi tanding Pekan
KOTA BHARU - Hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu bertanding di Parlimen Pekan, Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) disambut baik dan direstui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Abdul Aziz semalam memberi 'lampu hijau’ kepada Ahli Parlimen Marang itu dan menyokong kenyataannya bertanding PRU13 menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Dia (Abdul Hadi) adalah presiden parti, jadi apa (hasrat) yang dicakapkan kita akan turut dan sokong demi kebaikan parti serta perjuangan Islam.
“Saya sangat menyokong sekiranya Abdul Hadi benar- benar mahu bertanding di Pekan pada pilihan raya akan datang untuk menentang mereka yang mengagun-gagungkan perjuangan kebangsaan daripada memilih agama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Nik Aziz yang juga Pengerusi Majlis Syura Ulama Pas tidak terkejut dengan pengumuman Abdul Hadi yang ingin berhijrah ke Pahang walaupun tidak dapat memberi jaminan sepenuhnya sama ada kemenangan memihak kepada parti mahupun pihak lawan.
“Sekarang ini menang atau kalah itu lain hal, apa yang penting adalah sokongan kepada beliau setelah menunjukkan keberanian untuk bertanding di kerusi disandang Perdana Menteri,” katanya.
Tanpa menunjukkan kebimbangan terhadap kerusi Parlimen Marang sekiranya dilepaskan Abdul Hadi nanti dengan penghijrahannya ke Pekan, Nik Aziz mengharapkan perjuangan tersebut disokong penuh.
Nik Aziz juga Menteri Besar Kelantan turut menyuarakan kebimbangan sekiranya pilihan raya yang berlangsung di Pekan tidak dilaksanakan dengan adil.
“Saya minta ketika pilihan raya nanti tidak ada pengundi- pengundi hantu yang mempengaruhi keputusannya,” katanya.
Dalam masa sama, Nik Aziz juga turut memuji keberanian Abdul Hadi itu untuk melawan mana-mana calon yang dilihat menolak kepada perjuangan Islam -SH