Mahfuz: 'Nasha telah cabar keputusan Majlis Syura'
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah "menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.
Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, kata Mahfuz, Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara ini.
Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.
"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.
Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, sebagai sebuah parti politik, Pas memang memerlukan kuasa dan usaha ini diteruskan dari dahulu sehingga sekarang.
"Dari dahulu kita hendakkan kuasa, dan sekarang kita hendak kuasa yang lebih meluas untuk menggantikan Umno, bagi menegakkan Islam, Umno telah gagal dalam peranannya," kata Mahfuz lagi.
Mahfuz mengulas kenyataan Nasharudin petang semalam, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.
Beliau yang juga ahli Majlis Syura Pas berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Kata Nasharudin, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.
"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir?
"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata beliau pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, semalam.
Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.
Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau tidak tahu mengapa sekarang Nasharudin bercakap begitu sekarang.
Apabila ditanya sama ada Pas akan membincangkan isu berkenaan memandangkan ada yang melihat Nasharudin telah mempertikaikan dasar parti, Mahfuz berkata: "Oleh kerana beliau telah menyentuh dasar dan keputusan parti, terserah kepada Majlis Syura membincangkan isu ini.
"
Bagaimanapun tegas beliau, "Pas tidak pernah mengambil pendirian meminggirkan Nasharudin.
"
Akhir Ogos lalu, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyerahkan isu Nasharudin yang meminta Pas keluar dari PR, berhubung isu hukum hudud, kepada Majlis Syura untuk membincangkannya.
Majlis Syura yang mengadakan mesyuarat awal bulan lalu dilaporkan tidak membincangkan kedudukan Nasharudin itu.
Islam bukan kuasa, Nasha gesa Pas
LUMPUR - Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehinggakan sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.
Beliau yang juga ahli Majlis Syura Pas berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Menurutnya lagi, beliau turut berasa hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.
"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir?
"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata beliau pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, hari ini.
Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.
"Saya pernah bertanya dua kali kepada seorang pemimpin Islam, adakah dalam sejarah kemenangan umat Islam, pernah dibantu oleh orang bukan Islam?
"Beliau menjawab kemenangan Islam dari dulu sampai bila-bila berada di tangan umat Islam sendiri sahaja," katanya.
Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.
Perikatan itu dibentuk selepas PRU12 empat tahun lalu.
Nasharudin tewas dalam usahanya mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Pas tahun lalu.
Ulasan GB
Persis bukan ahli PAS lagi layaknya, sehingga memisahkan agama dengan politik, memisahkan Islam dari kekuasaan, sedangkan perjuangan Rasulullah saw ialah menegakkan "kekuasaan" Islam dengan sehingga berlaku beberapa siri peperangan.
Islam bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan naik haji ke Mekah.
Jikalah Islam hanya sekadar itu, Rasulullah saw tidak perlu nak berperang. Orang Quraisy sudah lama memberi ruang kepada Rasulullah saw untuk melaksanakan kelima-lima perkara tersebut tanpa ganggu gugat, malah sanggup melantik Rasulullah sebagai "Raja". Tetapi Rasulullah tolak semua itu. Kerana apa?
Kerana Islam itu perlu ada daulahnya, perlu menegakkan sistem pemerintahannya agar hukum-hukum Islam itu dapat dijalankan dan berkembang serta risalah Islam itu dapat disampaikan kepada seluruh umat manusia.
"Kekuasaan" itu juga penting di dalam Islam supaya kebenaran dan keadilan dapat diletakkan ke tempatnya yang sebenar.
Kerana tanpa kekuasaan, Islam itu lemah, Islam itu hamba, Islam itu diperdayakan musuhnya. Di dalam kaedah usul-fiqh telah dinyatakan :
ma laa ya'timul wajibu illa bihi fahuwa wajib.
tidak dapat ditegakkan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib.
Iaitu jika tidak dapat ditegakkan kesempurnaan Islam itu seluruhnya kecuali dengan kekuasaan, maka memiliki (memperjuangkan) kekuasaan itu adalah menjadi wajib pula.
Justeru itu GB melihat, saranan Nasya itu sudah jauh kesasar. Seolah-olah menyuruh kita berjabat tangan dengan UMNO dan kemudian membiarkan kuasa itu diboloti UMNO untuk terus memperkosa Islam. Saranannya itu sungguh merbahaya untuk Islam dan umat Islam!