11 Okt 2012

[BERGAMBAR] Salehuddin Bidas Najib: Jumpa Soros Boleh, Jumpa SAR Tak Mahu!



PAS mempersoal sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin BN lain yang enggan bertemu dengan aktivis dan pelajar sekolah agama rakyat (SAR) yang datang ke parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, berkata amat malang apabila seorang Perdana Menteri lebih sanggup bertemu George Soros berbanding para pelajar sekolah agama yang juga rakyat sendiri.

"Kalau Najib dilaporkan sanggup memperuntukkan masanya untuk bertemu Soros di New York, mengapa tidak boleh jumpa aktivis dan pelajar tersebut? "Aktivis dan pelajar itu sudah datang ke hadapan Parlimen dan tidak perlu ke tempat-tempat mereka untuk berjumpa, mengapa tidak ada seorang pun pemimpin Umno BN yang turun bertemu mereka?" Salahuddin mempersoalkan.

Pagi tadi dianggarkan hampir 1,000 aktivis dan pelajar SAR berhimpun di hadapan bangunan Parlimen untuk menuntut peruntukan kepada sekolah mereka dalam Belanjawan 2013.

Mereka turut menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Salahuddin.

Salahuddin menyifatkan apa yang berlaku itu menceritakan dengan jelas tentang perbezaan layanan kerajaan Umno BN kepada rakyat berbanding dengan layanan kepada Soros.

Malaysiakini hari ini melaporkan, Najib telah mengadakan pertemuan peribadi dengan Soros kira-kira dua tahun lalu.

Menurut portal berita itu, pertemuan Najib-Soros itu telah disahkan dengan satu sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenainya.

Pertemuan Perdana Menteri dengan Soros yang dituduh membiayai NGO Malaysia untuk perubahan rejim, berlaku pada 27 September 2010 lalu, lapor Malaysiakini.

SAR: 1,000 guru, pelajar ke parlimen tuntut peruntukan

KUALA LUMPUR: Beberapa wakil pendidik dan NGO berkaitan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh Malaysia ke Parlimen hari ini menyerahkan memorandum bantahan berhubung pengabaian peruntukan kepada sekolah agama dalam pembentangan belanjawan 2013.

Memorandum tersebut menuntut Perdana Menteri dan Ahli Mesyuarat Jemaah Menteri memperuntukkan wang yang sewajarnya bagi pembangunan dan pengurusan untuk semua kategori sekolah agama.

Selain itu, tuntutan juga dibuat agar kerajaan menambah geran bantuan per kapita yang sedia ada, bantuan modal, buku teks, bantuan guru akademik dan bantuan-bantuan lain bagi melicinkan pentadbiran SAR.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, ketiadaan peruntukan untuk SAR membuktikan kefahaman Kerajaan BN terhadap pendidikan Islam masih terbatas dengan menganggap ia sebagai mata pelajaran sahaja, bukan sebagai institusi penting dan menyeluruh.

"Kerajaan BN sudah tidak layak untuk memerintah negara kerana selama 50 tahun tidak peduli terhadap Sekolah Agama Rakyat. Mereka tidak bersedia dan tidak mampu membangunkan pendidikan Islam.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh dan ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS untuk dipanjangkan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Exco Pendidikan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali menyatakan kekesalan terhadap pengabaian terhadap SAR sedangkan ia di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

"Di Selangor, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta peruntukan tahunan untuk Sekolah Agama Rakyat kerana kita faham keperluan SAR kepada rakyat," katanya.

Turut bersama, Exco-exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Abdul Rani Osman dan Ronnie Liu, Pengerusi Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman, Pengerusi Majlis Pemuafakatan Pendidikan Islam Selangor (Mappis), Dr. Zainal Abidin Kidam dan beberapa wakil NGO lain.

Lebih 1,000 berkumpul hadapan Parlimen

Sementara itu, kira-kira 1,000 pelajar termasuk guru-guru SAR dari seluruh Malaysia berkumpul di hadapan bangunan parlimen seawal jam lapan pagi sebagai tanda solidariti mereka.

Mereka membawa kain rentang, sepanduk dan poster menuntut kerajaan memberi perhatian terhadap SAR.

Beberapa ahli Parlimen turut bersama iaitu Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang) yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr.

Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat, Muhammad Husin (Pasir Putih) dan beberapa ahli parlimen lain.
-Hrkh




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1-Ia memasamkan muka dan berpaling,
2-Kerana ia didatangi orang buta.
3-Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)!
4-Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.
5-Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran),
6-Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya