21 Mac 2012

Hasbie Satar, Bekas SU Politik Hadapi 28 Pertuduhan

Shah Alam - Hasbie Satar, bekas setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 28 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi mendepositkan wang tunai berjumlah RM935,000 ke dalam akaun 11 individu termasuk anggota keluarganya.

Hasbie (gambar), 39, yang memakai sut kelabu membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa bank dan Tabung Haji di tiga lokasi iaitu di Salak Tinggi, Sepang, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya antara 4 Dis 2008 dan 18 Jun 2009.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dan Hazril Harun mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dan memohon kesemua 28 pertuduhan itu dibicarakan bersama.

Pihak pendakwaan turut memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang di mana tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan di bawah akta yang sama.

Permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah itu dibuat atas alasan kesemua 28 pertuduhan tersebut melibatkan seksyen yang sama dan kebanyakan saksi adalah saksi yang sama dalam kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Pada 10 Feb tahun lepas, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan memiliki wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM2,134,656 dan dia dibebaskan dengan jaminan RM60,000 serta dua orang penjamin.

Peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 atas alasan jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan terlalu tinggi memandangkan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kesemua 28 pertuduhan dibicarakan bersama tetapi menolak permohonan mereka untuk memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth. - Bernama

Ulasan GB

GB sudah ulas dahulu. Petikan:

Ini merupakan Setiusaha Politik kedua Mohd Nor Yaakob yang berdepan dengan kes rasuah. Yang pertama ialah Datuk Norza Zakaria.

Kita merasakan ada sesuatu di sebaliknya. Mohd Nor Yaakob adalah Menteri Kewangan Kedua. Apakah ia lubuk bagi pengumpulan kekayaan?

Wang RM2juta itu yang ditahan. Bagaimana dan berapa pula jumlah sebenar termasuk yang telah digunakan untuk membeli hartanah yang dilaporkan berlaku di sekitar lembah kelang.

Dan peranan Mohd Nor Yaakob itu sendiri perlu diberikan perhatian.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aak-agak berapa lama kes ini akan selesai tuan-tuan.

Tanpa Nama berkata...

28 tuduhan,dia masih mengorak senyum.Ini membuktikan dia tak gentar dengan 28 tuduhan tu kerana akan diselamnatkan oleh "Tuannya".

kahkah berkata...

Berapa lama kes ini akan selesai ?
ini jawapannya : 28 pertuduhan, 2 campur 8 = 10, tambah 1 ketua, bermakna 11 tahun belum tentu.....